10 Daya Tarikan Kuala Lumpur - Jiran

10 Daya Tarikan Kuala Lumpur

Bukan sekadar kota raya yang penuh dengan hutan konkrit. Flora dan fauna pun ada!

By Saifuddin (Melantak TV) Published on 30 March 2021

Ramai yang menganggap Kuala Lumpur hanya dipenuhi bangunan pencakar langit dan pusat beli-belah sahaja. Sebenarnya, ibu negara kita mempunyai banyak tempat menarik yang boleh kita terokai.

1. Planetarium Negara

10 daya dover image 1

Setiap pengunjung yang datang ke Planetarium Negara akan terpegun dengan pameran dan aktiviti menyeronokkan yang ada di sini. Segalanya memang unik dan tidak ada di tempat lain! Antaranya teater yang terletak di bahagian kubah yang menayangkan cerita berunsurkan planet dan galaksi.

2. Menara Kuala Lumpur

10 daya dover image 2

Salah satu destinasi yang terkenal di kalangan pelancong. Di sini terdapat restoran berputar yang sangat unik. Sambil menikmati juadah di sini, anda juga dapat melihat pemandangan ibu kota.

Selain itu, Skydeck, Skybox dan Observation Deck juga menjadi buah mulut pengunjung yang datang untuk merasai pengalaman melihat panorama bandar raya Kuala Lumpur yang menakjubkan.

3. Taman Tema Berjaya Times Square

10 daya dover image 3

Berjaya Times Square adalah sebuah kompleks beli-belah yang juga menempatkan taman tema tertutup (indoor) terbesar di Malaysia. Sekali pergi mesti mahu lagi! Terdapat berbagai-bagai jenis permainan untuk semua peringkat umur. Jadi, kalau anda datang ke Kuala Lumpur, bolehlah singgah ke sini!

4. Masjid Negara

10 daya dover image 4

Masjid ini boleh menampung seramai 15,000 jemaah dan merupakan salah satu masjid terbesar di Asia Tenggara. Siap dibina pada tahun 1965, reka bentuk Masjid Negara menerapkan ciri-ciri seni bina tempatan dan moden yang memikat setiap orang yang melihatnya. Ia sering menarik minat pelancong pelbagai bangsa dan agama yang ingin melawat tempat ibadah umat Islam.

5. Taman Botani Perdana

10 daya dover image 5

Taman rekreasi yang cukup dikenali di Kuala Lumpur kerana keistimewaan landskapnya. Para pengunjung datang ke sini bukan sahaja untuk bersenam, tetapi ramai juga yang datang untuk melakukan sesi penggambaran kerana taman ini sangat luas dan cantik.

6. Plane in the City

10 daya dover image 6

Rindu untuk menaiki kapal terbang? Anda boleh merancang untuk melawat Plane in the City. Di sini, anda berpeluang untuk merasai pengalaman ‘menaiki’ kapal terbang Boeing 737. Ada sebuah restoran di dalamnya dan anda boleh pilih pakej yang disediakan seperti Economy Class, Business Class dan First Class.

7. Taman Eko Rimba Kuala Lumpur

10 daya dover image 7

Taman Eko Rimba terletak di Hutan Simpan Bukit Nanas iaitu hutan simpan tertua di Semenanjung Malaysia. Walaupun terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, khazanah alam ini kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Anda boleh ke sini untuk menghirup udara segar, melakukan aktiviti riadah dan sebagainya.

8. Taman Burung Kuala Lumpur

10 daya dover image 8

Di taman berkeluasan 20.9 ekar ini, anda dapat melihat sendiri banyak spesies unggas yang unik dan eksotik. Lawatan ke lokasi ekopelancongan ini sesuai untuk dijadikan aktiviti hujung minggu bersama anak-anak kecil kerana mereka dapat melakukan aktiviti menarik, contohnya pertunjukan burung dan banyak lagi.

9. Masjid Wilayah Persekutuan

10 daya dover image 9

Menggabungkan seni bina Turki dan juga Melayu, masjid ini dikelilingi air pancut dan juga tumbuhan hijau yang dijaga dengan baik. Ia boleh memuatkan 15,000 jemaah pada satu-satu masa. Keindahan masjid ini tidak dapat diucapkan dengan kata-kata — anda kena datang sendiri dan alaminya dengan lebih dekat.

10. River of Life

10 daya dover image 10

Tersenarai di antara 10 waterfront terbaik di dunia, River of Life terletak berhampiran dengan Pasar Seni dan Chow Kit. Pemandangan di sini pasti membuatkan anda terpegun. Selepas pukul 8 malam, lampu di sepanjang kawasan ini mula menerangi suasana. Keindahannya yang bermandikan cahaya berwarna-warni cukup terserlah, tambahan pula dengan latar belakang bangunan-bangunan pencakar langit.

Nak tau banyak lagi tempat menarik di Malaysia? Apa lagi, layari laman Facebook Melantak TV!

Sambil jalan-jalan di Kuala Lumpur, aktiviti membeli-belah sentiasa menjadi pilihan. Bermacam-macam jenis perkhidmatan dan perniagaan di ibu kota disenaraikan di laman web Yellow Pages. Jom klik sekarang juga!