5 Aktiviti Menarik yang Boleh Anda Cuba di Lembah Klang - Jiran

5 Aktiviti Menarik yang Boleh Anda Cuba di Lembah Klang

Luangkan masa berkualiti bersama yang tersayang di beberapa destinasi hebat!

Published on 29 November 2021

Malaysia mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi seperti tempat riadah, lokasi pengembaraan dan taman tema yang menakjubkan. Kini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilonggarkan dan mereka yang telah lengkap dua dos vaksin dapat kembali menjalani kehidupan harian seperti biasa walaupun masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ini merupakan peluang yang baik untuk anda mencuba pelbagai aktiviti menarik.

Lembah Klang memang terkenal dengan pusat membeli-belah dan bangunan pencakar langit tetapi pastinya lebih bermakna jika anda terokai tempat yang menawarkan aktiviti yang mencabar. Tingkatkan keseronokan dengan aktiviti ringkas mahupun ekstrem untuk mencipta lebih banyak memori indah dan memenuhi masa lapang.

Jom kita tengok beberapa destinasi yang anda boleh kunjungi dan masukkan dalam bucket list anda.

ATV Adventure Park Kuala Lumpur

jiran aktiviti ATV

Pusat rekreasi ini ditubuhkan pada tahun 2006. Terletak di Kampung Kemensah, Hulu Kelang, ia menawarkan kembara kenderaan pelbagai permukaan atau all-terrain vehicle (ATV) dalam suasana denai hutan. Aktiviti sukan ATV ini sesuai untuk sesiapa sahaja yang sukakan kegiatan lasak. Terdapat beberapa pakej yang boleh anda pilih bergantung kepada kesesuaian dan harga.

Menariknya, lokasi ini serta aktiviti yang dijalankan di sini telah diberi pengiktirafan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor sebagai ikon prospek dalam kategori ekopelancongan.

District 21

jiran aktiviti district21

Taman permainan tertutup ini dikhususkan untuk orang dewasa. Ia terletak di IOI City Mall, Putrajaya dan mempunyai keluasan sebanyak 70,000 kaki persegi. District 21 menawarkan pelbagai aktiviti lasak untuk dicuba. Bagi menjamin keselamatan pengunjung, taman ini menetapkan had ketinggian dan berat.

Taman rekreasi ini menyediakan lebih daripada 10 aktiviti yang disesuaikan mengikut keupayaan dan peringkat umur pengunjung. Tempat ini juga menjadi tumpuan syarikat atau perusahaan yang mahu mengendalikan program bina diri atau merapatkan silaturahim di antara rakan sekerja. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah Go-Pedal, Maze, Sky Trail, Tubby Ride dan banyak lagi.

TraXion Karting

jiran traxion karting

Terletak di X Park Sunway Serene, Petaling Jaya, litar go-kart tertutup ini adalah yang terbesar di Asia Tenggara. Ada sesi 10 minit untuk orang dewasa dengan pilihan go-kart biasa atau go-kart yang mempunyai tempat duduk penumpang. Untuk si kecil pula, terdapat pakej ‘Kiddie Kart’ iaitu trek perlumbaan mini.

Hauntu

jiran aktiviti hauntu

Lawan perasaan takut anda di Hauntu yang terletak di The LINC KL. Tarikan yang menyeramkan ini cukup mencabar bagi mereka yang takutkan alam paranormal. Rumah hantu selalunya hanya popular ketika sambutan Halloween. Keistimewaan Hauntu ialah ia boleh dikunjungi pada bila-bila masa. Hauntu juga menampilkan persembahan teater secara langsung yang unik dan mampu membuat bulu roma meremang. 

Lakonan dan penceritaan yang disajikan memberikan pengalaman seram yang maksimum buat pengunjung, lebih-lebih lagi jika anda datang secara berkumpulan atau bersama rakan-rakan. Pakej di sini menampilkan pelakon sebenar yang berinteraksi dengan penonton, permainan yang rumit dan jalan cerita misteri yang saling bersangkut paut. Ia berlatarkan sebuah hotel kolonial yang penuh dengan elemen mistik. Pengunjung bukan sahaja boleh ikut serta memainkan peranan dalam jalan cerita malah turut berkesempatan memilih pengakhiran cerita. 

KidZania

jiran aktiviti kidzania

Ingin mendedahkan anak-anak kepada dunia pekerjaan yang sebenar? KidZania Kuala Lumpur menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan kerjaya dan kewangan untuk kanak-kanak. Di samping mengasah kemahiran hidup mereka, anak-anak kecil juga diberi peluang untuk berhibur sambil belajar tentang selok-belok pekerjaan profesional. Mereka juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam menguruskan kewangan dengan menggunakan mata wang Kidzania yang digelar “kidZos”. 

Taman tema ini ideal untuk ibu bapa yang berhasrat memberikan pengalaman bekerja seperti orang dewasa kepada anak-anak selain mencabar keberanian anak-anak mendalami bidang pekerjaan yang berbeza. Sepanjang aktiviti berlangsung, mereka akan berada di bawah pengawasan kakitangan KidZania. Ibu bapa dapat berehat sambil menunggu anak mereka selesai “bekerja” di kawasan istirahat yang disediakan.

Nak tahu tempat menarik di kawasan kejiranan anda? Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan juga Twitter untuk maklumat terkini.