5 Bangunan Ikonik dan Bersejarah di Kuala Lumpur - Jiran

5 Bangunan Ikonik dan Bersejarah di Kuala Lumpur

Kesemua binaan ini memiliki identiti dan kisah yang tersendiri. Memang menarik untuk dihayati!

Published on 10 February 2022

Apabila bercakap tentang Kuala Lumpur, pasti ramai terbayangkan kemodenan seni bina pelbagai bangunan pencakar langit di sini. Sebenarnya, Kuala Lumpur mempunyai banyak binaan bersejarah yang wajar menjadi kebanggaan setiap anak Malaysia. Mari kita susuri cerita di sebalik keunikan beberapa bangunan warisan di ibu kota

1. Pasar Seni

jiran Kuala Lumpur Central Market 1200x800 03

Pasar Seni atau Central Market ialah sebuah tarikan istimewa di Kuala Lumpur khususnya buat pengunjung yang menggemari kraf tangan. Ia terletak berhampiran Sungai Klang dan dahulunya beroperasi sebagai pasar harian yang dipanggil Pasar Besar Kuala Lumpur. Pasar tersebut menawarkan pelbagai barangan basah dan runcit bagi penduduk setempat yang terdiri daripada pelombong bijih timah waktu itu.

Ketika Kuala Lumpur mula pesat membangun pada tahun 1970-an, terdapat ura-ura bahawa bangunan ini akan dirobohkan. Namun, Badan Warisan Malaysia (BWM) tampil bertindak membuat petisyen untuk membantah rancangan tersebut.

Pada tahun 1985, pasar ini telah diubah suai menjadi sebuah pusat pameran dan pembangunan kesenian, kebudayaan dan kraf tangan di Malaysia. Pasar Seni juga pernah meriah dengan kehadiran para seniman yang berkumpul di sini untuk mengekspresikan jiwa seni mereka seperti Sasterawan Negara A. Samad Said, Datuk M. Nasir, Pyan Habib dan ramai lagi.

2. Carcosa Seri Negara

jiran Kuala Lumpur Carcosa Seri Negara 1200x800 02

Carcosa Seri Negara siap dibina pada tahun 1896 oleh Sir Frank Swettenham dan menjadi kediaman rasmi beliau. Beliau berpindah masuk pada tahun 1904 dan menamakannya sebagai “Carcosa” iaitu hasil gabungan dua perkataan dalam bahasa Itali — “cara” dan “cosa” yang bermaksud ‘tempat yang amat disayangi’.

Sir Frank Swettenham juga membina King’s House di tepi bukit bersebelahan Carcosa yang kemudiannya dinamakan sebagai Seri Negara. Tujuan ia dibina adalah untuk melindungi kesemua Gabenor Negeri-Negeri Selat serta para tetamu Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan golongan berpengaruh ketika itu.

Carcosa pernah menjadi kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British di negeri-negeri Melayu dari tahun 1904 sehingga 1941. Semasa Perang Dunia Kedua, Carcosa dijadikan Dewan Mesyuarat Pegawai Kanan Tentera Jepun.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Carcosa diubah menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British manakala Seri Negara pula menjadi rumah tetamu rasmi. Carcosa akhirnya diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 1987.

Untuk pengetahuan, Carcosa Seri Negara telah menjadi salah satu set penggambaran filem Crazy Rich Asians pada tahun 2017.

3. Masjid Jamek

jiran Kuala Lumpur Masjid Jamek 1200x800 04

Mengikut sejarah, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad telah dibina pada zaman penjajahan British oleh para pedagang Islam dari India. Ia terletak di persimpangan dua sungai utama di Kuala Lumpur iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Siap dibina pada tahun 1909, masjid ini adalah antara masjid tertua di Kuala Lumpur. Tujuan Masjid Jamek dibina berhampiran dengan pusat pentadbiran iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad pada ketika itu adalah bagi memudahkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam untuk mengerjakan solat fardu dan solat Jumaat.

Seni bina masjid ini merupakan hasil rekaan seorang individu bernama A.B. Hubback. Beliau ialah arkitek yang banyak mengambil inspirasi daripada seni bina Moghul dan reka bentuk masjid di India Utara bagi menghasilkan seni bina Masjid Jamek yang dapat kita lihat pada hari ini. Masjid ini berfungsi sebagai masjid utama di Kuala Lumpur sehinggalah pembinaan Masjid Negara selesai pada tahun 1965. Antara fakta menarik tentang Masjid Jamek ialah ia tidak boleh diperbesarkan kerana kedudukannya di antara Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Masjid Jamek kini dibuka kepada para pelancong yang ingin mengenali cara umat Islam beribadah. Pengunjung juga berpeluang mempelajari sejarah pembinaan Masjid Jamek. Segala aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di Masjid Jamek masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini.

4. Rumah Penghulu Abu Seman

jiran Kuala Lumpur Rumah Abu Seman 1200x800 06

Sekiranya anda menetap di sekitar Kuala Lumpur, anda pasti pernah terlihat akan rumah tradisional yang terletak di Jalan Stonor ini. Meskipun ia sudah tidak berpenghuni, keaslian struktur seni binanya masih kekal terpelihara.

Siap dibina sekitar tahun 1910 setelah melalui beberapa fasa pembinaan, rumah ini kemudiannya dibeli dan dimiliki oleh seorang individu yang dikenali sebagai Penghulu Abu Seman pada tahun 1924.

Selang beberapa tahun selepas itu, rumah tersebut diubah suai bagi kerja-kerja penambahan di ruang tengah, balai dan beranda. Pengubahsuaian tersebut sesuai dengan fungsinya sebagai rumah seorang penghulu yang banyak menerima lawatan orang-orang kenamaan serta rakyat setempat.

Selepas kematian Penghulu Abu Seman, dikhabarkan bahawa rumah tersebut didiami oleh anaknya, Ibrahim. Selepas kematian Ibrahim pada tahun 1980, rumah tersebut tidak terjaga selama hampir 15 tahun sebelum BWM mengambil inisiatif untuk mengambil alih dan membaik pulih keadaan strukturnya pada tahun 1996. Struktur binaan rumah ini dibuat hanya menggunakan bahan kayu berkualiti seperti cengal, meranti dan balau.

Apa yang menariknya, kediaman ini asalnya berada di Kedah. Ia telah dipindahkan ke Kuala Lumpur atas usaha BWM yang mahu menyelamatkan seni bina rumah berkenaan sekali gus mengekalkan budaya warisan masyarakat Melayu tradisional.

5. Muzium Negara

jiran Kuala Lumpur Muzium Negara 1200x800 05

Muzium Negara yang tersergam indah hari ini sebenarnya dibina di atas bekas tapak Muzium Selangor. Menurut sejarah asalnya, ia dibina oleh pihak British dan kerajaan Selangor pada tahun 1898 semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, sayap kanan muzium ini telah musnah dibom Tentera Bersekutu. Kesemua koleksi pameran di dalam muzium pada waktu itu terpaksa dipindahkan sementara ke Muzium Perak di Taiping.

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Perdana Menteri kita yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mendapat ilham untuk membina semula sebuah muzium khas bagi menempatkan khazanah sejarah dan budaya negara. Struktur Muzium Selangor telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan sebuah muzium yang baharu.

Pembinaan Muzium Negara bermula pada tahun 1962 dan siap pada tahun 1963. Ia mula dibuka kepada orang awam pada 31 Ogos 1963 setelah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-3, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Reka bentuk muzium ini mendapat sentuhan seorang arkitek bernama Ho Kok Hoe. Seni binanya diilhamkan daripada gabungan seni bina istana diraja Melayu serta seni bina vernakular Melayu.

Pameran di Muzium Negara banyak tertumpu kepada subjek sejarah tempatan, budaya, tradisi, seni dan kraf di Malaysia. Kini, Muzium Negara terbahagi kepada empat galeri tetap yang mempunyai tema tersendiri iaitu Sejarah Awal, Kerajaan-Kerajaan Melayu, Era Kolonial dan Malaysia Kini. Ia membuka peluang kepada generasi muda dan pelancong luar untuk mempelajari asal-usul Malaysia serta corak hidup dan budaya masyarakat setempat.

Berminat untuk melawat tempat-tempat menarik di Kuala Lumpur? Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk maklumat terkini!