5 Cara Untuk Memulakan Perniagaan di Facebook - Jiran

5 Cara Untuk Memulakan Perniagaan di Facebook

Kami senaraikan tip mudah yang dapat anda amalkan!

Published on 17 May 2020

Mahu memulakan perniagaan di Facebook tapi tidak tahu bagaimana? Berniaga di Facebook ini tidaklah begitu rumit. Namun, jika anda mahu berjaya, anda perlu tahu beberapa perkara asas untuk berniaga di platform ini.

Ikuti tip di bawah:

1. Cipta akaun Facebook untuk perniagaan

Sebelum anda mula mempromosikan bisnes atau produk anda, anda perlulah mencipta akaun Facebook untuk perniagaan anda terlebih dahulu. Akaun ini akan digunakan sebagai base anda. Segala informasi tentang bisnes anda termasuklah nombor telefon, e-mel dan juga gambar produk-produk anda hendaklah dipaparkan dengan jelas untuk tatapan bakal pelanggan anda nanti. Anda juga akan menggunakan akaun ini untuk berkomunikasi dengan pelanggan anda.

2. Kenal pasti nama dan visual yang menarik dan sesuai

Berniaga di laman Facebook bukanlah seperti menjual pisang goreng di depan rumah. Jika anda sudah mendaftar akaun Facebook untuk perniagaan anda, anda perlulah berikan ia sebuah nama yang bukan saja sedap didengar atau glamor, tapi juga yang membawa maksud yang baik dan senang diingat. Jom kita ambil contoh laman di bawah:

https://www.facebook.com/sisterskopitiamTTDI/?ref=br_rs

Image 1 1 8
Imej oleh Sisters Place

Kedai ini diberi nama Sisters Kopitiam kerana diurus oleh dua adik-beradik yang sangat mahir memasak. Maksud namanya jelas dan ringkas. Jika anda pernah menjamu selera di sini, sudah pasti anda mengingati namanya!

Visualnya pula sangat menggiurkan. Pada pandangan kami, Sisters Kopitiam sangat terkenal dengan kekuatan produk mereka, sebagai contoh: char kuetiau. Jadi, kebanyakan visual mereka fokus kepada menu lazat tersebut dan saiz hidangannya yang besar.

NAMA dan VISUAL merupakan nadi identiti bisnes anda dan mampu membuatkan pelanggan lebih setia bersama jenama anda. Cuba elak daripada menggunakan gambar-gambar yang diambil dari Google. Gunalah gambar makanan anda sendiri agar para pelanggan dapat mengetahui keunikan yang ada pada bisnes anda.

3. Kenal pasti kehendak pelanggan dan platform di mana mereka aktif

Selepas anda sudah berpuas hati dengan nama dan visual yang diciptakan, tiba masanya untuk mengenal pasti ‘pelanggan’ anda. Siapa sebenarnya yang akan berminat dengan produk anda?

Jom kita ambil contoh kedai ini:

https://www.facebook.com/ustazshopdamansarahq/

Pasti ramai yang kenal Kedai Ustaz yang menjual barang kelengkapan elektronik yang murah. Kedai ini unik kerana pengusahanya sangat faham dengan kehendak pelanggannya. Pelanggan Kedai Ustaz mahukan produk yang kebiasaannya murah. Mereka juga mahu membeli kelengkapan elektronik ini di satu tempat sahaja. Jadi Kedai Ustaz mengambil peluang untuk menyediakan bermacam-macam jenis kelengkapan, termasuklah beberapa servis untuk memenuhi kehendak pelanggannya.

Bijak, kan?

Tetapi anda haruslah aktif dalam mencari lubuk pelanggan yang sesuai. Kami sarankan anda sertai kumpulan-kumpulan kejiranan ataupun kumpulan-kumpulan peniaga di sekitar anda untuk mencari pelanggan yang mungkin berminat dengan produk atau servis anda.

4. Promosikan produk anda dengan beretika dan jujur

Dalam mempromosikan produk anda, ada adab dan etikanya. Perkara yang anda patut jauhi adalah SPAMMING, kerana bukan saja anda bakal ditendang keluar dari kumpulan tersebut, malah group mate anda juga tidak akan berminat dengan produk anda. Cara promosi anda haruslah beretika.

Yang paling penting, anda perlulah jujur dalam bab promosi. Sekiranya anda hanya mampu menghantar 30 bungkusan kuih tepung pelita di Wangsa Maju misalnya, janganlah overpromise dan menabur janji manis yang tidak kesampaian.

Kejujuran dalam berkomunikasi adalah elemen yang sangat penting untuk berjaya dalam bisnes. Sebagai peniaga, ukurlah baju di badan sendiri dan promosikan servis dan produk anda dengan cara yang jujur.

5. Jangan hard-sell saja

Terma hard-sell ini ditujukan kepada peniaga-peniaga yang hanya fokus kepada menjual barangan mereka. Ada masanya untuk kita jual barang dan ada juga masanya untuk kita bina jenama kita. Dalam usaha mengukuhkan jenama, kita haruslah juga menyediakan pengisian yang bukan berbentuk direct selling tapi boleh menghiburkan hati pelanggan-pelanggan kita.

Contohnya, kalau anda menjual nasi lemak, janganlah hanya posting tentang nasi lemak anda. Mungkin anda boleh kongsikan artikel tentang nasi lemak, khasiatnya ataupun cerita asal usul resepi anda. Berniaga ini bukanlah komunikasi satu hala, tapi ekosistem maklumat dan transaksi yang lebih menyeluruh.

Berminat untuk mengetahui inisiatif kejiranan yang lain? Ikuti media sosial Jiran di Facebook, Instagram dan Twitter!

Manfaatkan penyelesaian pemasaran digital Yellow Pages untuk mengembangkan perniagaan anda. Klik pautan ini sekarang.