5 Cerita Tentang Shah Alam Yang Mungkin Anda Tidak Tahu - Jiran

5 Cerita Tentang Shah Alam Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Rumah agam Mona Fandey, Arsenal, Anuar Zain dan macam-macam lagi!

Published on 9 June 2020

Bila sebut pasal Shah Alam, mungkin visual pertama yang muncul di minda anda adalah jumlah roundabout atau bulatan yang banyak.

Hakikatnya, keistimewaan ibu negeri Selangor ini bukan terletak pada kemudahan awamnya semata-mata. Hampir kebanyakan jalan raya di Shah Alam redup diteduhi pohon-pohon yang besar. Shah Alam juga bandar universiti yang serba lengkap. Ia turut menjadi destinasi utama orang ramai yang ingin mendapatkan kelengkapan Aidilfitri (selain Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur).

Setiap kawasan kejiranan pasti ada kisah tersendiri yang kurang diketahui ramai. Hari ini kita akan kupas cerita-cerita yang anda mungkin tidak pernah dengar tentang Shah Alam.

1. Shah Alam dahulunya…pangkalan tentera Jepun?

Image 1 1 4
Imej oleh Booking.com

Macam-macam spekulasi tentang asal-usul Shah Alam. Sebenarnya, Shah Alam dahulunya dipanggil Sungai Renggam yang merupakan kawasan ladang kelapa sawit selepas era kemerdekaan. Kawasan ini dipilih untuk dibangunkan kerana kedudukannya yang strategik di antara Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur. Kemudian, Sultan Selangor ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah memberikan nama baru kepada Sungai Renggam iaitu Shah Alam yang kita kenali sekarang, sebagai penghormatan kepada ayahanda baginda, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Jadi jika ada gosip yang mengatakan Shah Alam dahulunya pangkalan tentera Jepun, ia tidak benar sama sekali.

2. Masjid Biru

Buat anak-anak jati Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali dengan nama panggilan Masjid Biru merupakan mercu tanda kebanggaan negeri Selangor. Masjid ini adalah masjid terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Yang menariknya tentang masjid ini bukan sahaja saiz dan infrastrukturnya, tetapi juga taman dan tasik berdekatan. Kelihatan seakan-akan masjid ini mempunyai ekosistemnya sendiri yang serba lengkap termasuklah taman refleksologi, trek joging, ruang senaman, padang bola dan gerai-gerai makan. Orang Shah Alam pasti ada memori berkelah di sini!

3. Cerita seram rumah agam Mona Fandey

Image 3 1 3
Imej oleh Dunia Seram

Kalau anda selalu lepak dengan warga Shah Alam, pastinya anda pernah mendengar cerita-cerita hantu di sini. Salah satunya ialah cerita mengenai rumah agam yang dikatakan milik Mona Fandey yang pernah menggemparkan Malaysia dengan kes pembunuhan suatu masa dahulu. Rumah ini terletak di Seksyen 12 dan pernah menjadi tarikan utama peminat-peminat paranormal di sekitar Lembah Kelang.

Menurut mereka yang pernah mengunjungi rumah agam ini, mereka pernah terdengar bunyi pelik dan ternampak figura berwarna hitam yang berlegar-legar di ruangan kosong rumah tersebut. Cerita-cerita ini hanyalah khabar angin semata-mata kerana tiada bukti untuk menyokong dakwaan pengujung-pengunjung tersebut.

Kami tidak dapat mengesahkan bahawa rumah agam ini benar-benar milik Mona Fandey seperti yang didakwa oleh orang ramai, tetapi kini infrastruktur tersebut sudah pun dirobohkan.

4. Arsenal FC pernah melawat sebuah sekolah di Shah Alam

Image 4 8
Imej oleh Getty Images

Kelab bola sepak gergasi dari London, Arsenal FC pernah melawat sebuah sekolah di Shah Alam. Ketika itu, Arsenal FC sedang mengadakan kembara dunia dan Malaysia merupakan salah satu destinasinya. Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 pula telah memenangi sebuah pertandingan yang dianjurkan oleh Nike, jadi jenama tersebut membuat kejutan kepada para pelajar di sana dengan menghantar enam pemain Arsenal FC ke sekolah mereka. Tonton video di bawah:

5. Anuar Zain dan hab seni Shah Alam

Walaupun Anuar Zain lahir di Merlimau, Melaka, beliau dibesarkan di Shah Alam. Anuar Zain dan kakaknya, Ziana Zain merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Seksyen 2. Ramai juga barisan artis dan seniman yang menetap di sekitar Shah Alam seperti Jihan Muse, Fara Fauzana dan Nash Lefthanded.

Shah Alam juga dikenali sebagai hab atau pusat kebudayaan dan kesenian. Kugiran-kugiran seperti Hujan dan Sekumpulan Orang Gila serta penyanyi Yuna pernah menempa nama di sini sebelum mencapai kejayaan hebat dalam industri hiburan.

Jika Shah Alam tersohor sebagai lokasi beli-belah, kawasan kejiranan anda juga tentu ada barangan keluaran tempatan yang unik dan bermutu. Tak kenal maka tak cinta! Jom singgah laman web Yellow Pages Malaysia untuk berikan sokongan kepada peniaga kecil dan sederhana di sekitar anda.