5 Jenama Kecantikan Halal yang Popular di Malaysia - Jiran

5 Jenama Kecantikan Halal yang Popular di Malaysia

Berita baik untuk pengguna Muslimah! Ketahui produk kosmetik dan penjagaan kulit berstatus halal keluaran usahawan tempatan

Published on 21 June 2022

Apabila bercakap tentang produk halal, ia bukan sahaja melibatkan makanan dan minuman. Halal juga merangkumi produk kecantikan dan penjagaan kulit. Di Malaysia, sijil pengesahan halal bagi produk kosmetik dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Bahan mentah, peringkat penyediaan, pemprosesan dan penyimpanan juga perlu mematuhi syarak bagi mendapatkan status halal JAKIM. 

Para Muslimah pastinya mementingkan isi kandungan produk yang mereka gunakan. Kami senaraikan lima jenama kecantikan yang dijamin halal di Malaysia. 

1. SimplySiti 

jiran produk halal simplysiti
 Imej: SimplySiti 

Apabila bercakap tentang SimplySiti, pastinya nama penyanyi tersohor, Dato’ Sri Siti Nurhaliza bermain di minda. Jenama ini diasaskan beliau pada tahun 2010.  

SimplySiti mempunyai kilang di Korea Selatan dan memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM. Antara produk keluaran jenama ini ialah alat solek, produk penjagaan kulit dan minyak wangi. SimplySiti boleh didapati dengan mudah di pasar raya atau secara dalam talian. 

2. Breena Beauty 

jiran breena beauty 1
Imej: Breena Beauty 

Jenama Breena Beauty dibangunkan oleh seorang penulis blog kecantikan iaitu Sabrina Tajuddin pada tahun 2014. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan produk kosmetik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh golongan wanita di Malaysia. 

Salah satu produk awal yang diperkenalkan kepada pengguna ialah berus solekan sintetik. Selain bulu berus yang lembut, ia juga dapat melancarkan sapuan solekan pada wajah pengguna. Breena Beauty mahu memberi solusi yang praktikal kepada pelanggan kerana terdapat lambakan berus solekan di pasaran yang dikhuatiri tidak suci kerana diperbuat daripada bulu khinzir. 

Menyedari permintaan yang tinggi terhadap kosmetik mesra wuduk, Breena Beauty turut menampilkan beberapa produk kosmetik seperti bedak asas, gincu, maskara dan palet pembayang mata. Kesemua rangkaian kosmetiknya adalah vegan, tidak diuji ke atas haiwan dan hanya menggunakan rumusan yang dibenarkan. 

3. PrettySuci 

jiran produk halal prettysuci
Imej: PrettySuci 

PrettySuci asalnya sebuah portal yang menjual produk kosmetik halal dari dalam dan luar negara. Kini, ia telah berjaya memasarkan rangkaian produknya sendiri. Portal ini diasaskan oleh dua wanita, Tunku Dato’ Kaiyisah dan Natasha Ozeir. Ia menawarkan pelbagai pilihan produk bermutu tinggi yang halal. Antara produk PrettySuci yang terkenal ialah soft matte lipstick dan lip cream

4. Sugarbelle 

jiran produk halal sugarbelle
Imej: Sugarbelle 

Sugarbelle merupakan gabungan dua butik iaitu Sugarscarf dan Bella Ammara. Kedua-dua jenama ini sememangnya tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air. Idea untuk menghasilkan jenama kosmetik Sugarbelle ialah satu langkah besar untuk mengembangkan sayap perniagaan pengasas kedua-dua jenama tersebut iaitu Bella Al-Yahya dan Eyqa Sulaiman. 

Hanya lima warna gincu dijual di Sugarbelle sewaktu awal penglibatannya dalam industri kosmetik tanah air pada tahun 2014 dahulu iaitu Nude Kisses, Lust Red, Pink Paris, High Class Red dan Sugar Pink. Hari ini, Sugarbelle terkenal dengan kepelbagaian warna gincu serta produk kecantikan lain seperti rangkaian penjagaan kulit dan wangian. Kesemua produknya mesra wuduk, vegan dan bebas paraben. 

5. Orkid Cosmetics 

jiran produk halal orkid cosmetics
Imej: Orkid Cosmetics 

Diasaskan oleh Fatin Johanna dan Raeesa Sya, Orkid Cosmetics menawarkan produk kosmetik halal dengan harga berpatutan. Selain itu, produk Orkid Cosmetics sangat mesra pada kulit dan tidak menyebabkan iritasi. Ianya juga vegan dan dirumus dengan bahan-bahan berkualiti tinggi dari Jepun dan Eropah dan dikilangkan di Malaysia. Produk gincu berbentuk cecair (liquid lipstick) jenama ini juga mengandungi vitamin E agar bibir sentiasa lembap dan tidak melekit. 

Menurut Fatin dan Raeesa, untuk mendapatkan pensijilan halal, mereka perlu memastikan kilang yang mengeluarkan produk mereka disahkan halal, begitu juga dengan pembekal dan bahan yang digunakan. Oleh itu, proses pengiktirafan halal ini mengambil masa. Namun, segalanya penting bagi memastikan semua produk yang mereka hasilkan berkualiti tinggi dan dijamin selamat. 

Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mengenali jenama buatan Malaysia dengan lebih mendalam. 

Kunjungi unifi Business Club (uBC) dan pelajari cara membangunkan perniagaan yang berjaya.