5 Kedai Kopi yang Sedap dan Murah di Kajang - Jiran

5 Kedai Kopi yang Sedap dan Murah di Kajang

Teringin minum kopi yang enak pada harga berpatutan? Kami senaraikan beberapa kedai kopi menarik untuk anda lawati di sekitar Kajang

Published on 14 October 2021

Berita baik buat peminat kopi tegar apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan di seluruh negara. Kini anda boleh keluar untuk menikmati udara segar dan membeli kopi yang dibancuh di kafe tanpa terpaksa berpuas hati dengan kopi segera atau kopi uncang lagi.

Berbicara tentang kopi, pastinya penggemar kopi mempunyai pilihan biji kopi kegemaran yang tersendiri. Terdapat pelbagai jenis biji kopi yang terkenal antaranya biji kopi Arabika yang menguasai 60% saiz pasaran berbanding biji kopi yang lain.

Kopi bukan sahaja sedap untuk dinikmati malah ia dapat membantu mengurangkan tekanan, menstabilkan emosi serta menenangkan minda yang berserabut.

Sudah bersedia untuk meneroka pilihan kedai kopi yang sedap dan murah? Jom kita ke Kajang dan terokai senarai kedai kopi yang kami sediakan.

Kopi Kisah Kita

jiran Kopi Kisah Kita
Imej: Instagram @kopi.kisahkita_official

Kedai kopi ini menjadi tular di media sosial kerana pemiliknya memaparkan kata-kata puitis pada menu dan bekas minuman yang digunakan. Dengan slogan “Kopi Menusuk Kalbu”, pastinya ia menjanjikan keunikan tersendiri kepada penggemar kopi dan puisi. Antara menu yang popular adalah Kopi Single yang disertakan dengan bait puisi seperti “pahit dan kelam, seperti malamku yang ditemani sepi dan angin malam”. Ajak rakan-rakan anda yang masih single untuk nikmati kopi lazat pada harga serendah RM4.90 sahaja. Kedai ini terletak di Lot GL-08 Metropoint Kajang. Selain menikmati kopi, anda juga boleh meluangkan masa membeli-belah di sana.

Kopi Jiran

jiran Kopi Jiran1
Imej: Instagram @kopi.jiran

Dekorasi kedai berkonsepkan taman botani dengan gaya penuh klasik ini pastinya dapat mencuri perhatian orang ramai. Berbekalkan teknik pembuatan kopi menggunakan cerek Moka, pemilik kedai ini mencipta kelainan buat pelanggan. Keistimewaan cerek rekaan Itali ini dapat membancuh biji kopi supaya ia lebih pekat. Proses tapisan ini juga bersesuaian dengan konsep klasik yang ingin ditampilkan. Di samping itu, sajian kuih-muih tradisi serta nasi lemak juga pasti membuka selera pengunjung.

Pulut & Kopi

jiran Pulut Kopi
Imej: Instagram @pulutdankopi

Diusahakan oleh dua sahabat karib dengan menu hidangan nostalgia zaman dahulu, gerai ini mendapat sambutan hangat dan menjadi bualan orang ramai. Sajian pilihan di sini semestinya minuman kopi dan pulut. Gerai ringkas yang dibuka di tepi jalan dengan menggunakan sebuah van lama sebagai latar pastinya menarik minat sesiapa sahaja untuk mencuba. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati minuman kopi Latte Gula Melaka dan Latte Laici Ais yang menjanjikan rasa yang unik dan tersendiri. 

Kopi Dua Darjat

jiran Kopi Dua Darjat
Imej: Instagram @kopiduadarjat

Gerai kopi ini dikenali ramai kerana ia mempunyai sebanyak 30 cawangan di sekitar Lembah Klang. Minuman yang dijual dengan harga antara RM3 dan RM7 membuatkan kedai ini popular dalam kalangan pengunjung setempat. Antara tiga menu yang laris dan wajib dicuba ialah Kopi Darjat, Kopi Warisan dan Coklat Warisan.

Rumah Kopi Purnama

jiran Kopi Purnama
Imej: Instagram @rumahkopipurnama

Warung ini terkenal dengan keunikan tersendiri dari segi dekorasi. Apa yang menarik, anda perlu membuat pesanan melalui sebuah tingkap sahaja. Walaupun ia terletak di kawasan perumahan yang tersorok, kedai ini mendapat sambutan yang luar biasa sehingga para pelanggan sanggup beratur panjang menunggu giliran. Cuba menu menarik seperti Milo Nugget Frappe dan Vanilla Popcorn Frappe yang pastinya enak. 

Jangan lupa untuk mencuba dan membeli kopi dari kedai kopi yang diusahakan oleh rakyat Malaysia. Dengan ini, kita sama-sama dapat membantu dan menyokong usahawan lokal.

Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi cerita tentang perniagaan tempatan dan jenama buatan Malaysia.