5 Restoran Francais Hasil Usaha Anak Malaysia - Jiran

5 Restoran Francais Hasil Usaha Anak Malaysia

Dekati beberapa jenama tempatan yang berjaya menempa nama dalam sektor makanan dan minuman (F&B) di dalam negara dan pasaran luar

Published on 26 January 2022

Bukan mudah untuk menjayakan perniagaan berasaskan makanan dan minuman (F&B). Banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dicurahkan demi membangunkan jenama dan mengukuhkan kedudukannya di mata umum.

Hakikatnya, masih banyak perusahaan F&B tempatan yang kurang mendapat perhatian berbanding jenama luar negara. Tanpa sokongan rakyat Malaysia, sukar untuk jenama lokal bersaing dengan produk antarabangsa.

Kami kongsikan lima restoran francais tempatan untuk anda kunjungi bersama keluarga dan sahabat handai. Setiap restoran ini telah membuktikan bahawa syarikat yang diterajui anak tempatan tidak kurang hebatnya! Di samping pilihan menu yang lazat, pelbagai keunikan lain turut tersedia. Jom kenali semua francais ini dengan lebih dekat lagi.

1. Churitto’s Fresh Mex

jiran churittos francais

Dah jemu dengan masakan atau lauk-pauk yang sama setiap hari? Apa kata beralih kepada sajian yang menawarkan kelainan. Churitto’s Fresh Mex mengetengahkan menu makanan Mexico seperti tacos, burritos, nachos dan quesadilla.

Lebih mengujakan apabila anda boleh memilih jenis inti mengikut cita rasa anda. Himpunan inti terdiri daripada sayur-sayuran segar, hirisan ayam dan daging yang empuk, kekacang serta beraneka sos istimewa. Harga yang dikenakan juga mampu milik iaitu bermula daripada RM5.00.

Biarpun baru sahaja bertapak dalam bidang perniagaan francais, Churitto’s Fresh Mex kini memiliki lima cawangan iaitu di SS15, Publika, The Sphere, 3 Damansara dan 1 Utama. Klik pautan laman web Churitto’s Fresh Mex untuk pesan menu secara dalam talian!

2. Ramly Halal Kiosk

jiran ramly halal kiosk

Ramly adalah antara jenama produk makanan sejuk beku yang sangat popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Sungguhpun begitu, mungkin ada yang tidak tahu bahawa Ramly juga memiliki beberapa rantaian restoran yang dipanggil Ramly Halal Kiosk.

Konsepnya sama sahaja seperti restoran makanan segera lain. Namun, apa yang membuatkannya unik adalah Ramly Halal Kiosk menawarkan pilihan makanan yang dimasak menggunakan barisan produk yang dihasilkan sendiri oleh syarikat ini yang tidak dijual di mana-mana pasaraya.

Antara menu istimewa yang disediakan buat para pelanggan ialah Sate Kambing, Ayam Panggang, Burger Udang, Lamb Rack dan banyak lagi. Paling utama, produk keluaran Ramly sememangnya dijamin halal!

Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan. Anda boleh kunjungi mana-mana cawangan Ramly Halal Kiosk untuk merasai sendiri keenakan setiap hidangan. Layari laman web rasmi Ramly menerusi pautan di bawah untuk semak cawangan yang terdekat dengan anda.

3. Kyros Kebab

jiran kyros kebab francais

Jika anda penggemar tegar hidangan kebab, boleh cuba sendiri menu ala Mediterranean yang ditawarkan di Kyros Kebab. Untuk pengetahuan semua, jenama ini telah melancarkan perniagaan francais sejak tahun 1996. Kyros Kebab juga telah melebarkan sayap francaisnya ke serata Asia termasuklah Singapura, China, Indonesia dan Brunei.

Selain sajian roti kebab yang diperbuat daripada kepingan roti Lubnan serta hirisan daging segar, ada juga pilihan lain seperti Lamb Kebab with Rice, Chicken Spaghetti with Black Pepper Sauce, Chicken Croissant, Chicken Tandoori Sandwich dan Garden Salad with Chicken Kebab. Menu vegetarian pun ada ditawarkan! Harga bermula serendah RM6.10. Banyak cawangan Kyros Kebab yang boleh anda kunjungi, antaranya di MyTOWN, SOGO, RekaScape Cyberjaya dan Berjaya Times Square. Klik pautan laman web Kyros Kebab untuk maklumat lanjut.

4. I Love Yoo

jiran ILoveYoo francais

Tulisan pada logonya membuatkan ramai menyangka francais ini ialah restoran untuk pelanggan bukan Islam walhal ia telah memiliki sijil halal JAKIM sejak tahun 2017 lagi, selari dengan permintaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. I Love Yoo mengetengahkan menu nostalgik yang mampu mengimbau kenangan sesiapa yang menikmatinya. Restoran ini sememangnya sangat sesuai untuk dijadikan lokasi menjamu selera bagi individu yang sukakan sajian ringkas, terutamanya penggemar comfort food.

Antara menu wajib yang perlu anda cuba di sini ialah Bubur Nasi, Pau Goreng Kacang Merah, Cakoi, Nasi Kari Ayam Kapitan, Mi Kantin, Tau Foo Fah dan Air Soya. Selain itu, ada bermacam-macam lagi hidangan ala kopitiam yang bukan sahaja enak, malah cukup mengenyangkan!

Terdapat lebih 60 cawangan I Love Yoo di seluruh Malaysia. Harga menu di sini juga sangat berpatutan dan bermula daripada RM2.20. Untuk maklumat lanjut berkenaan cawangan I Love Yoo berhampiran anda, klik pautan laman web yang dikongsikan.

5. Dave’s Deli

jiran daves deli

Terkenal dengan sajian ayam panggang, Dave’s Deli kini boleh dianggap antara restoran francais kebanggaan Malaysia. Pada asalnya, ia cuma kedai yang menjual sandwic di Bangsar, Kuala Lumpur sebelum menerokai bidang francais makanan sejak tahun 1989.

Hanya menggunakan ramuan segar terpilih, antara menu popular di Dave’s Deli ialah Grilled 8 Herb Chicken, Spicy Mexican Rice, Footlong Chicken Sausage, Grilled NZ Lamb Chops, aneka sandwic dan pasta. Harga hidangan utama bermula daripada RM15.80.

Bagi penggemar pai pula, jangan ketinggalan untuk mencuba seleksi pai sejuk beku Dave’s Deli yang mudah dipanaskan di rumah dengan menggunakan ketuhar atau alat penggoreng kering (air fryer).

Ada beberapa cawangan Dave’s Deli di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang termasuklah Ara Damansara, Subang Parade, Atria Shopping Gallery, IOI City Mall, Design Village dan Queensbay Mall. Untuk maklumat tentang lokasi cawangan, klik pautan di bawah.

Dapatkan perkembangan terkini tentang lubuk makanan menarik di Malaysia. Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter hari ini!