5 Sambutan Aidilfitri di Seluruh Dunia - Jiran

5 Sambutan Aidilfitri di Seluruh Dunia

Meraikan bulan Syawal dengan budaya yang berbeza

Published on 28 May 2020

Bila radio memainkan lagu ‘Dendang Perantau’ saja, terus kita terkenangkan memori menyambut Hari Raya di kampung. Tahun ini sedikit berbeza kerana kita terpaksa akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kebaikan kita semua. Akan tetapi, memori-memori inilah yang menjadikan Aidilfitri sebuah perayaan yang bermakna dalam kehidupan kita.

Kita mungkin sudah biasa dengan cara orang Malaysia menyambut Aidilfitri, tapi pernah tak anda tertanya bagaimana umat Islam di negara lain menyambutnya? Adakah mereka juga bakal menikmati rendang tok seperti kita?

Mari kita tengok bagaimana mereka menyambut hari yang mulia ini!

1. Aidilfitri di Arab Saudi

Di Arab Saudi, Aidilfitri hanya disambut selama satu hari sahaja iaitu 1 Syawal. Pada hari tersebut, warga Arab Saudi akan pulang ke kampung halaman belah lelaki dan menyambut Aidilfitri dengan keenakan Mugalgal, masakan kambing yang menjadi ‘rendang’ mereka. Perayaan ini juga tidak akan lengkap tanpa Debyazah, pencuci mulut kekacang dan juga duit raya versi Arab Saudi — dua perkara yang amat digemari oleh kanak-kanak di sana.

Image 2 1 9
Imej oleh Paktales

Walau bagaimanapun, kebanyakan warga Saudi tidak menyambut Aidilfitri di pagi raya seperti kita. Selalunya, mereka menyambutnya pada waktu tengah hari atau malam.

2. Aidilfitri di Indonesia

Aidilfitri di Indonesia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan sambutan Hari Raya di Malaysia. Kebanyakan anggota masyarakat yang beragama Islam di Malaysia memang ‘serumpun’ dengan penduduk yang majoritinya beragama Islam di negara jiran kita ini. Yang menarik tentang Indonesia adalah kepelbagaian cara dalam menyambut Aidilfitri. Bagi orang Jawa, menu pentingnya adalah ketupat bersama dengan Ayam Ungkep, manakala untuk orang Padang pula Rendang Padang yang menjadi inspirasi kepada variasi rendang di Malaysia.

Image 3 1 9
Imej oleh RojakDaily

Jika kita berbaju Melayu, rakyat Indonesia pula menggayakan pelbagai jenis baju raya tersendiri mengikut tradisi masing-masing. Ramai juga dalam kalangan warga Indonesia yang akan menggayakan pakaian berwarna putih bagi melambangkan kesucian daripada dosa (selepas Ramadan).

3. Aidilfitri di United Kingdom

Walaupun United Kingdom sebuah negara Barat, ramai di antara penduduknya merupakan saudara-saudara Islam kita. Sambutan Aidilfitri di sana juga selalunya meriah. Tahun lepas, Datuk Bandar London Sadiq Khan, yang juga seorang Muslim, telah mengadakan sebuah majlis perayaan Aidilfitri secara besar-besaran di Trafalgar Square yang dikunjungi oleh ribuan masyarakat setempat.

Juadah Aidilfitri di United Kingdom banyak diinspirasikan daripada makanan India dan Pakistan seperti Shahi Briyani, Sheer Khurma dan Haleem.

4. Aidilfitri di Turki

Turut dikenali sebagai Seker Bayrami, perayaan Aidilfitri telah disambut oleh warga Turki sejak zaman Uthmaniyah lagi. Warga Turki juga seperti kita: selalunya mereka akan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama kaum keluarga. Mungkin sedikit berbeza kerana mereka tiada dendangan lagu raya seperti ‘Balik Kampung’ oleh Sudirman dalam versi Turki.

Sajian tradisi mereka seperti Baklava, Kunefe dan juga Kofta sangat lazat dan bukanlah hidangan asing bagi warga Malaysia yang gemar dengan masakan Timur Tengah. 

5. Aidilfitri di China

Seperti rakyat Malaysia, kaum Hui dari negeri Gansu juga menyambut Aidilfitri dengan pesta makanan dan muzik. Keturunan penduduk Gansu kebanyakannya merupakan para peniaga di Laluan Sutera (Silk Road) yang cukup dikenali dalam sejarah peradaban manusia. Di Laluan Sutera inilah Islam telah berkembang melalui pedagang-pedagang dari Timur Tengah dan warga Islam Xinjiang.

Image 6 5
Imej oleh Global Times

Mereka juga popular dengan mi tarik daging lembu yang menjadi santapan harian mereka dan juga ketika perayaan seperti Hari Raya.

Beginilah cara bulan Syawal disambut oleh saudara seagama kita di merata dunia.

Bagaimanakah pula Aidilfitri anda tahun ini bersama jiran tetangga serta komuniti setempat?

Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya, jangan lupa untuk terus memberi sokongan kepada peniaga kecil di seluruh negara. Terokai senarai perniagaan tempatan di Yellow Pages Malaysia