5 Sebab Anda Perlu Dapatkan Geran Digitalisasi PKS - Jiran

5 Sebab Anda Perlu Dapatkan Geran Digitalisasi PKS

Raih manfaat daripada inisiatif ini. Senang saja nak mohon!

Published on 8 June 2021

Lebih setahun berlalu, namun impak wabak COVID-19 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih terasa.

Geran Digitalisasi PKS telah dilancarkan untuk membantu PKS tempatan memanfaatkan ekonomi digital dan bangkit mengatasi cabaran dalam era pandemik. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik Kementerian Kewangan dengan Bank Simpanan Nasional, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan SME Bank.

Persoalannya, sebagai pemilik perniagaan PKS, patutkah anda memohon geran ini?

Ketahui 5 sebab mengapa anda perlu dapatkan Geran Digitalisasi PKS sekarang!

1. Peluang mengembangkan bisnes anda ke dunia digital

Meluaskan empayar perniagaan adalah impian dan objektif utama setiap usahawan. Dalam misi merancakkan lagi ekonomi Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif ini khas buat pemilik PKS bagi membolehkan anda beralih ke platform digital.

Transformasi digital amat penting untuk memastikan perniagaan PKS kekal lestari dalam situasi COVID-19. Dengan geran ini, anda boleh menerapkan proses digitalisasi dalam pelbagai aspek perniagaan anda.

2. Bantuan geran padanan 50% atau maksimum RM5,000 kepada 100,000 pemohon yang pertama

Geran Digitalisasi PKS menawarkan geran padanan sebanyak 50% sehingga RM5,000 bagi membolehkan anda mempromosikan perniagaan di alam maya. Contohnya, anda boleh mendigitalisasikan aktiviti pemasaran, sistem pengurusan perhubungan pelanggan, e-dagang dan memanfaatkan lain-lain produk operasi digital yang disenaraikan oleh panel Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) MDEC.

3. Manfaat sistem e-POS

Sistem e-POS atau nama panjangnya Electronic Point of Sale adalah sistem pembayaran tanpa sentuhan. Demi menjaga keselamatan anda sebagai pemilik perniagaan dan juga melindungi kakitangan dan pelanggan anda, transaksi contactless ini sangat digalakkan. Selain menyenangkan operasi syarikat anda, pelanggan juga tidak perlu lagi mengeluarkan wang dari mesin ATM untuk membeli produk anda — semuanya cashless sahaja!

4. Pakej pemasaran digital yang menarik

Jika dahulu, PKS yang berhijrah ke dunia perniagaan digital mampu mengatur strategi dengan mudah untuk mencapai sasaran penjualan secara online hanya melalui media sosial. Tetapi kini, perubahan algoritma media sosial membuatkan kebanyakan strategi yang digunakan sebelum ini sukar dilaksanakan.

Strategi yang berkesan dan relevan diperlukan untuk menawan hati pelanggan. Mujurlah Geran Digitalisasi PKS ini membolehkan anda menguasai selok-belok meluaskan lagi bisnes anda di ruang digital.

Pakej pemasaran yang ditawarkan oleh TSP seperti TM Info-Media merangkumi pengiklanan di Facebook dan Google yang memudahkan anda untuk berhubung dengan pengguna dalam talian yang berpotensi menjadi pelanggan anda. Tak percaya? Jom cuba!

5. Penggunaan e-perolehan dan perisian ERP

Dalam mengendalikan sesebuah perniagaan, perolehan (procurement) dan pembayaran cukai merupakan proses yang penting dan kadangkala rumit untuk diselesaikan. Dengan adanya Geran Digitalisasi PKS, proses tersebut dapat didigitalisasikan untuk menjadikannya lebih teratur, mudah dan sistematik.

Begitu juga dengan sistem ERP iaitu Enterprise Resource Planning. Perisian atau software ini boleh membantu anda menguruskan bisnes, akaun, stok dan bermacam-macam lagi dengan lebih lancar.

Perlukan gambaran yang mudah difahami? Rujuk infografik di bawah:

Infographic 5 Sebab Geran Digitalisasi PKS Final 1

Jangan tunggu lagi! Mohon Geran Digitalisasi PKS di https://biz.yp.my/microsite/smegrant/

Ingin ketahui lebih lanjut? Klik pautan ini untuk baca artikel berkaitan dan tonton video tentang Geran Digitalisasi PKS. Cara untuk memohon pun ada!