5 Tip Penting Jika Anda Mahu Berpindah Rumah - Jiran

5 Tip Penting Jika Anda Mahu Berpindah Rumah

Perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum pindah ke tempat baharu

Published on 12 June 2020

Ingin mencari rumah baru? Rumah bukanlah sekadar tempat berteduh daripada hujan dan panas atau kesejukan malam. Ia adalah ruang di mana anda dan keluarga anda akan mencipta pelbagai memori bersama. Jadi, rumah idaman anda wajar memenuhi keperluan dan kehendak anda.

Sebelum anda memilih rumah baru, anda harus:

1. Kenal pasti jenis rumah

Ada bermacam-macam jenis hartanah yang ada di pasaran. Jika anda mementingkan keselesaan dan ahli keluarga anda sudah bertambah, mungkin rumah teres atau berkembar sesuai untuk anda. Ada anak-anak yang masih kecil? Mungkin anda perlu menyediakan ruang untuk mereka bermain dengan selamat agar mereka tidak berlegar-legar di tempat yang berbahaya seperti di dapur.

Image 1 1 2
Imej oleh 123rf

Jika anda mahu berpindah seorang diri pula, sebuah apartmen dengan kelengkapan asas sudah memadai. Ini semua terpulang kepada cita rasa anda.

2. Kenal pasti lokasi dan suasana

Bagi ahli ‘kelab suka buat hal sendiri’, kondominium atau apartmen yang tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota merupakan rumah idaman mereka. Dan ada plus point jika rumah anda terletak berhampiran dengan stesen LRT atau mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam.

Image 2 1 3
Imej oleh Mark Griffiths

Sebab itulah pentingnya untuk mengambil kira faktor lokasi dalam pemilihan rumah. Jika tidak, bersiap sedialah untuk menempuh kesesakan jalan raya semasa pergi dan pulang dari tempat kerja setiap hari!

Image 3 1 2
Imej oleh Filepic

Pastikan rumah yang baru ini akan menyenangkan hidup anda. Jangan hanya berpindah kerana stail atau mengikut trend semata-mata.

3. Komuniti setempat dan institusi masyarakat

Semangat kekitaan merupakan tulang belakang sesebuah masyarakat. Sekiranya anggota komuniti tidak berganding bahu menjaga kebajikan bersama, banyak kesulitan yang terpaksa dihadapi. Perubahan yang anda akan hadapi jika anda berpindah tempat tinggal bukan sahaja terhad kepada lingkungan kawasan kediaman anda, tetapi perubahan dari segi kemasyarakatan juga.

Image 4 7
Imej oleh Miera Zulyana

Kaji sedikit tentang komuniti setempat di kawasan rumah anda termasuklah institusi pendidikan seperti sekolah, kedai, program rukun tetangga dan banyak lagi.

Bagi ibu bapa yang bercadang untuk membesarkan anak-anak kecil di kawasan yang baru, anda perlu lebih peka tentang persekitaran kejiranan bagi menjamin masa depan anak-anak anda.

4. Keselamatan dan kesihatan

Faktor keselamatan dan kesihatan juga antara aspek yang penting dalam pemilihan rumah. Pertamanya, rumah anda perlulah selamat untuk didiami dan tidak terdedah kepada elemen-elemen yang berbahaya seperti binatang buas atau tanah runtuh. Sistem pengudaraan juga perlu tip-top supaya proses memasak atau menggoreng tidak menyebabkan rumah anda dicemari kepulan asap.

Bagi yang berminat untuk menyewa atau membeli unit apartmen pula, pastikan apartmen anda dilengkapi dengan inisiatif keselamatan seperti pemasangan CCTV, rondaan pasukan keselamatan dan juga pengawalan keluar masuk pelawat di pintu masuk kompaun. Inisiatif-inisiatif ini dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan memastikan anda sekeluarga sentiasa dilindungi.

Image 5 8
Imej oleh FingerWorld

Seterusnya, jangan lupa untuk menitikberatkan faktor kesihatan. Jika anda sudah menentukan unit rumah yang anda inginkan, pastikan anda tahu di mana lokasi hospital atau klinik di kawasan rumah baru anda. Dengan ini, anda boleh mengelakkan suasana panik ketika berlaku kecemasan.

5. Kemudahan

Setelah meneliti segala aspek keselamatan dan kesihatan, barulah anda boleh memikirkan tentang kemudahan-kemudahan yang anda boleh gunakan di sekitar kawasan rumah anda. Untuk penghuni unit kondominium, kemudahan seperti gim, kolam renang dan sauna itu semestinya kemewahan yang boleh dinikmati jika anda berkemampuan. Pastikan juga kemudahan-kemudahan penting yang lain seperti lif, ruang parkir OKU dan perkhidmatan kawalan keselamatan tersedia di kondominium baru anda nanti.

Image 6 2
Imej oleh LBS

Jika anda berminat dengan rumah teres pula, mungkin anda perlu meninjau dahulu kemudahan awam yang berdekatan seperti trek joging dan taman permainan kanak-kanak.

Image 7
Imej oleh Aht YomYai

Apabila anda sudah menemui rumah yang anda impikan, janganlah lupa untuk ‘merasmikan’ rumah baru tersebut dengan majlis doa selamat (bagi yang beragama Islam) ataupun majlis makan-makan untuk mengenali jiran-jiran baru anda. Harap tip kami berguna untuk anda!

Masih mencari kediaman idaman? Jangan bimbang. Dapatkan khidmat ejen hartanah di Yellow Pages Malaysia hari ini.