6 Bangunan Lama yang Telah Dibaik Pulih untuk Aktiviti Pelancongan - Jiran

6 Bangunan Lama yang Telah Dibaik Pulih untuk Aktiviti Pelancongan

Terokai seni bina ikonik yang diberi nafas baharu

Published on 12 January 2022

Meskipun secara relatifnya Malaysia ialah sebuah negara yang agak kecil, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai jenis seni bina yang artistik. Bangunan-bangunan lama yang wujud di negara ini ‘menceritakan’ kisah sejarah tempatan kepada generasi masa kini agar peristiwa yang pernah berlaku suatu masa dahulu tetap terpahat dalam ingatan.

Tidak semua individu gemar menikmati percutian santai di pulau sambil ditemani deruan angin serta bunyi pukulan ombak. Hakikatnya, ada golongan yang lebih teruja untuk mengembara sambil meneroka warisan sejarah di segenap destinasi yang dikunjungi.

Mahu jejaki lokasi binaan yang mampu menghubungkan kita dengan masa lampau? Ikuti senarai enam bangunan lama yang telah dibaik pulih untuk tujuan pelancongan.

1. Muzium Warisan Baba & Nyonya, Melaka

jiran muzium warisan baba nyonya melaka

Diubah suai menjadi muzium pada tahun 1985, tiga unit bangunan dua tingkat ini dahulunya merupakan kediaman milik Baba Chan Cheng Siew sejak tahun 1861. Beliau ialah seorang hartawan yang berasal dari daerah Tong’An di wilayah Fujian, selatan China yang menjalankan aktiviti perdagangan di Melaka dan memiliki beberapa estet gambir sebelum beralih kepada perusahaan ladang getah yang mendapat permintaan tinggi pada ketika itu.

Di kediaman inilah Cheng Siew banyak mengadakan majlis mewah bagi meraikan para kenalannya yang terdiri daripada golongan bangsawan. Beliau dikatakan mati secara mengejut pada tahun 1919 dan meninggalkan seorang anak lelaki yang menjadi satu-satunya pewaris harta peninggalan dan semua estet miliknya.

jiran muzium warisan baba nyonya interior

Jika anda ingin melihat keindahan seni bina dan memahami adat dan budaya masyarakat Baba dan Nyonya, jangan lepaskan peluang keemasan untuk merasai sendiri pengalaman luar biasa menyusuri kehidupan di Tanah Melayu pada abad ke-19 yang penuh nostalgik di muzium ini.

Reka bentuk rumah dan perabot asal masih lagi dikekalkan, malahan pengurusan muzium ini juga masih dikendalikan oleh keturunan Cheng Siew.

Alamat: 48 & 50, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka

2. Macalister Mansion, Pulau Pinang

jiran mcalister mansion outdoor

Siapa sangka, bangunan yang berusia hampir 150 tahun ini masih tersergam megah. Pada akhir abad ke-19, seorang jutawan bernama Choong Lye Hock tinggal di sini bersama keluarga dan ibunya. Beliau dikhabarkan mempunyai seramai 20 orang kakitangan yang terdiri daripada orang suruhan, tukang kebun dan tukang masak yang diupah untuk menguruskan rumah agam ini.

Terdapat 41 buah bilik dan lima buah tangga termasuklah sebuah tangga jenis berlingkar yang menghubungkan aras bawah dengan menara tinjau di aras tiga.

Selepas kematian Choong Lye Hock pada tahun 1960, rumah agam ini dipajakkan sebagai pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang selama 10 tahun sebelum dijadikan bilik pameran kedai perabot dan butik pengantin.

jiran mcalister mansion interior

Tahun 2011 menjadi saksi pemuliharaan Macalister Mansion oleh usahawan tempatan Dato’ Sean H’ng dan isterinya. Beberapa elemen penting rumah agam berkenaan telah dibaik pulih termasuklah tiang asal, tangga, gerbang rumah dan dinding.

Kini, orang awam berpeluang untuk menginap di Macalister Mansion yang sudah dinaik taraf menjadi hotel butik yang dilengkapi lapan bilik tetamu dan restoran mewah.

Alamat: 228, Jalan Macalister, 10400 Pulau Pinang

3. Istana Pelamin, Kedah

jiran istana pelamin outdoor

Bangunan ini merupakan monumen bersejarah yang telah wujud sejak abad ke-18 lagi. Istana Pelamin pernah menjadi salah satu pusat pemerintahan negeri Kedah selama 284 tahun, bahkan merupakan kediaman Sultan Kedah.

Istana Pelamin terbahagi kepada tiga bahagian utama. Ruang sebelah kanan dipanggil Rumah Pelamin, ruang tengah ialah kediaman wanita dan kanak-kanak, manakala ruang sebelah kiri pula pernah didiami oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah iaitu sultan terakhir yang menggunakan istana berkenaan pada penghujung 1950-an sebelum singgahsana dipindahkan ke Istana Anak Bukit.

jiran istana pelamin interior

Istana Pelamin mendapat namanya selepas berlangsungnya istiadat perkahwinan diraja yang paling meriah di Kedah iaitu perkahwinan lima putera dan puteri Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada tahun 1904. Sebuah panca persada setinggi tujuh tingkat juga dibina bagi menempatkan singgahsana mempelai diraja. Peterana atau singgahsana yang dihiasi ukiran naga emas tersebut khabarnya diimport khas dari Bangkok dan telah digunakan semasa upacara berinai dan bersiram.

Sebelum dibaik pulih pada tahun 1983 untuk dijadikan Muzium Diraja, istana ini pernah menjadi kediaman sementara tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Alamat: Medan Bandar, Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah

4. Hatter’s Castle, Selangor

jiran hatters castle outdoor

Rumah banglo berkonsep kolonial yang dibina sekitar 1920-an ini merupakan kediaman pengurus besar ladang di Pulau Carey. Nama “Hatter’s Castle” pula adalah bersempena bentuk bumbung rumah yang dilihat menyerupai topi.

Setelah melalui beberapa peristiwa penting termasuklah Perang Dunia Kedua, struktur asal bumbungnya telah rosak teruk dan terpaksa dibaik pulih dalam bentuk baharu yang lebih ringkas (seperti yang dapat dilihat kini) kerana kurangnya tenaga pakar dalam bidang pembinaan pada waktu itu.

jiran hatters castle interior

Pada tahun 2012, Hatter’s Castle telah digazetkan sebagai warisan negara hasil inisiatif Sime Darby Plantation Ecogardens. Orang ramai berpeluang mengunjungi dan melihat seni bina bangunan ini dengan lebih dekat. Ini sekali gus dapat memberi gambaran jelas kepada generasi muda tentang pembangunan ekonomi Tanah Melayu, terutamanya menerusi industri perladangan.

Hatter’s Castle pernah menjadi set penggambaran filem aksi Kabali yang dibintangi pelakon Tamil popular Rajinikanth pada tahun 2014. Sejak itu, Pulau Carey sering menjadi buah mulut orang ramai dan menjadi tumpuan pelancong.

Alamat: Sime Darby Plantation Ecogardens, Heritage Island, 42960 Pulau Carey, Selangor

5. Old Malaya, Kuala Lumpur

jiran old malaya outdoor

Mencari lokasi bersejarah yang menakjubkan di tengah kota raya Kuala Lumpur? Old Malaya ialah salah satu tempat yang harus dilawati.

Bangunan unik ini selesai dibina pada tahun 1919 dan pernah menjadi kediaman masyarakat Eurasia di Tanah Melayu pada masa itu.

Projek baik pulih bangunan ini tidaklah mudah kerana ia sudah lama terbiar dan hampir dirobohkan sebelum diambil alih oleh seorang usahawan ternama, Datuk Syed Mustaffa Shahabuddin bersama kenalan rapatnya, Kana Theva, pemilik syarikat restoran terkemuka Pampas Group.

jiran old malaya interior

Boleh dikatakan hampir keseluruhan struktur dan elemen bangunan asal dikekalkan dan projek membaik pulih Old Malaya ini dilaporkan menelan belanja sebanyak RM8 juta. Kini, ia merupakan destinasi yang menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar negara untuk bersantai sambil menikmati hidangan enak di beberapa buah restoran yang beroperasi di sini.

Alamat: Lorong Raja Chulan, 50250 Kuala Lumpur

6. Kuching Old Courthouse, Sarawak

jiran kuching old courthouse clock

Suatu ketika dahulu, Kuching Old Courthouse yang siap dibina pada tahun 1871 pernah menjadi pusat pentadbiran penting di Sarawak pada era pemerintahan Rajah Brooke. Ia menempatkan bilik mahkamah, pejabat pos, pejabat pemastautin, pejabat audit dan jabatan perbendaharaan. Menggabungkan ilham seni bina tempatan dan Eropah, bangunan asal Kuching Old Courthouse terdiri daripada tujuh bilik mahkamah sahaja sebelum ia diubah suai sebanyak lima kali dari tahun 1874 sehingga 1927.

jiran kuching old courthouse garden

Pada tahun 2000, bilik-bilik mahkamah sedia ada telah dipindahkan oleh pihak kerajaan negeri bagi memberi laluan kepada projek penambahbaikan dan pemuliharaan yang bertujuan untuk mengguna semula ruang mahkamah tersebut sebagai fasiliti kebudayaan berasaskan pelancongan. Usaha ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Kini, para pelawat ke Kuching Old Courthouse bukan sahaja boleh menghayati keunikan seni bina bangunan warisan serta menikmati panorama sungai di Kuching Waterfront, malah mereka turut berpeluang menyelusuri sejarah dengan melawat muzium di situ.

Dua buah kafe iaitu Commons by Food Journal Group dan Roots Bistronomy juga tersedia untuk pengunjung menghilangkan lapar dan dahaga.

Alamat: 7, Jalan Barrack, 93000 Kuching, Sarawak

Selami pengalaman bermakna lagi menyeronokkan yang dipaparkan di laman Nostalgia kami. Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk cerita terkini!