6 Jenama Pelitup Muka Tempatan Yang Anda Harus Tahu - Jiran

6 Jenama Pelitup Muka Tempatan Yang Anda Harus Tahu

Cantik bergaya, selamat dan selesa

Published on 2 September 2021

Sebelum era pandemik, penggunaan pelitup muka adalah agak asing buat rakyat Malaysia. Ia lebih sinonim dengan mereka yang bekerja di sektor perubatan. Pemakaiannya di tempat awam bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Namun begitu, setelah tersebarnya wabak COVID-19 ke seluruh dunia, hampir semua negara telah mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam. 

Setelah hampir dua tahun kita menjalani kehidupan norma baharu ini, pelitup muka kini menjadi keperluan penting yang wajib digunakan hampir setiap masa. Mengambil kira gaya, keselesaan dan perlindungan yang lebih baik daripada jangkitan COVID-19, syarikat tempatan mula menghasilkan pelitup muka yang bukan sahaja selamat tetapi juga cantik dan selesa dipakai.

Kami senaraikan enam jenama berkualiti tinggi untuk pilihan anda.

1. Hanya

Jiran pelitup muka Hanya
Imej: @shophanya

Hanya merupakan jenama tempatan yang sebelum ini memberi fokus kepada fesyen dan aksesori wanita. Hanya kini menghasilkan pelitup muka fabrik satin yang boleh diguna semula dan juga pelitup muka pakai buang empat lapis yang memenuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

2. Durio

Jiran durio face mask
Imej: @durioofficial

Durio merupakan pengeluar pelitup muka dan kain melt-down terbesar di Malaysia. Jenama ini menggunakan teknologi tinggi untuk mencapai keseimbangan sains, bahan dan fesyen yang mampu melariskan jualan produk mereka. Siri baharu Durio yang bertemakan ‘Warna Hidupmu’ kini lebih selamat dipakai dan bergaya. Durio juga telah melancarkan pelitup muka pakai buang empat lapis kanak-kanak bertemakan Ejen Ali, hasil kolaborasi dengan siri animasi terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan WAU Animation Sdn Bhd.

3. Komuniti Tukang Jahit

Jiran komuniti tukang jahit
Imej: @komunititukangjahit

Royal Culture adalah inisiatif Komuniti Tukang Jahit, sebuah perusahaan sosial yang memperkasakan wanita golongan B40 di Malaysia untuk menjana pendapatan melalui jahitan. Apa yang menarik tentang pelitup muka ini adalah corak batik pelbagai motif dan warna. Ia boleh dibasuh dan diguna semula serta sesuai digunakan sebagai pelitup muka berganda (double face mask). 

4. Inner Sejuk

Jiran Innersejuk fabric mask
Imej: @innersejuk

Pelitup muka Inner Sejuk diperbuat daripada kain yang sejuk dan antibakteria. Fabrik ini dihasilkan melalui teknologi DriChill yang memudahkan pengguna kerana ia senang dicuci dan lebih cepat kering jika dibandingkan dengan fabrik yang lain. Gelung telinga pelitup muka jenama ini boleh diubah suai mengikut keselesaan pemakai. Selain itu, terdapat juga jenis tie back (ikat di belakang kepala) yang sesuai buat wanita berhijab. Produk terbaru Inner Sejuk selesa digunakan bersama pelitup muka perubatan. 

5. Iconic Medicare

Jiran Icon Medicare Mask
Imej: @iconicmedicare

Iconic Medicare menghasilkan pelitup muka pakai buang pelbagai jenis daripada saiz dewasa hinggalah kanak-kanak. Apa yang menarik, pelitup muka pakai buang pelbagai corak kebiasaannya khas untuk kanak-kanak sahaja, tetapi Iconic Medicare turut menghasilkan pelitup muka tiga lapis pakai buang dengan corak menarik untuk orang dewasa. 

6. Himaya

Jiran pelitup muka Himaya
Imej: @himayamy

Himaya menghasilkan pelitup muka perubatan premium yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan wanita berhijab. Selain memberi keselesaan buat pemakai, Himaya juga merupakan jenama pertama yang direka khusus untuk wanita muslimah. Gelungan di kepala (head loop) memudahkan wanita berhijab memakainya. Selain itu, pelitup muka Himaya tidak menyebabkan cermin mata berkabus kerana dawai besi di dalamnya boleh dilenturkan mengikut kesesuaian. Himaya boleh didapati di rangkaian farmasi seperti Watsons dan Guardian. Anda juga boleh membelinya secara dalam talian di Shopee.

Berilah sokongan kepada jenama tempatan dan teruskan amalan memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah. Untuk kisah kejiranan dan perkembangan terkini, ikuti Facebook, Instagram dan Twitter kami.