6 Lokasi Popular di Lembah Klang untuk Beli Kelengkapan Hari Raya - Jiran

6 Lokasi Popular di Lembah Klang untuk Beli Kelengkapan Hari Raya

Bahang kemeriahan Syawal tahun ini makin terasa dengan adanya bazar Aidilfitri serta tempat membeli-belah serba lengkap di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya

Published on 21 April 2022

Orang ramai sudah mula membanjiri lokasi beli-belah bagi mendapatkan keperluan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi. 

Oleh kerana sudah tiada lagi halangan untuk balik kampung pada Aidilfitri kali ini, masyarakat tempatan terutamanya golongan ibu bapa telah merancang untuk melakukan persiapan awal bagi mengelak kesesakan yang lazimnya berlaku pada hari-hari terakhir Ramadan. 

Jiran senaraikan enam lokasi terbaik di Lembah Klang untuk anda kunjungi. 

Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur 

jiran lokasi popular hari raya jalantar
Imej: Facebook.com@Jalan.Tar.kl 

Sejak dahulu lagi, Jalan TAR menjadi tempat yang wajib dikunjungi penduduk setempat dan pengunjung dari luar Lembah Klang yang mahu membeli persiapan Aidilfitri. 

Suasananya yang meriah dengan kehadiran sejumlah besar peniaga yang menawarkan seribu satu pilihan membuatkan Jalan TAR cukup tersohor sebagai destinasi membeli-belah ikonik di ibu kota. Kawasan ini juga dianggap tempat beli-belah yang banyak menyimpan memori. Kebanyakan individu yang membesar di Kuala Lumpur dan Selangor pasti pernah ke sini untuk membeli baju raya. Tentunya banyak pengalaman nostalgik yang masih diingati sampai kini. 

Terdapat 216 buah tapak niaga disediakan buat para peniaga pada tahun ini. Pelbagai barangan dan kelengkapan Syawal seperti pakaian, songkok, barangan perhiasan wanita dan kuih raya ada dijual. 

Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 beroperasi di Jalan TAR bermula 9 April hingga 2 Mei. Gerai pakaian dan makanan di sini dibuka hingga jam 12 tengah malam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk datang membeli-belah selepas waktu berbuka. 

Bangi Sentral, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor 

jiran bangi sentral raya shopping

Bangi Sentral ialah sebuah pusat jualan yang menempatkan pelbagai butik pakaian. Bagi anda yang masih tidak tahu rekaan baju raya bagaimana yang hendak digayakan di pagi Syawal nanti, bolehlah datang ke Bangi Sentral. 

Kawasan ini menjadi pilihan pencinta fesyen dan dianggap sebagai syurga membeli-belah oleh kaum wanita. Terdapat bermacam-macam fesyen Muslimah yang boleh dibeli pada harga yang sangat berpatutan.  

Antara jenama pakaian wanita popular yang ada di Bangi Sentral ialah Creación & SimplySiti by Siti Nurhaliza, JannahNoe, Rico Rinaldi dan banyak lagi.  

Apabila sudah selesai memilih baju raya, jangan pula terlupa untuk membeli tudung. Dianggarkan terdapat lebih 50 buah kedai tudung yang boleh anda kunjungi di Bangi Sentral termasuklah Bawal Exclusive, Radiusite dan TudungPeople. 

Kenanga Wholesale City (KWC), Pudu, Kuala Lumpur 

jiran lokasi popular hari raya sme2
Imej: Facebook.com/KWCfashionwholesale 

Kenanga Mall atau KWC ialah sebuah pusat borong gergasi yang menempatkan 800 buah kedai yang menjual berjenis-jenis produk fesyen seperti pakaian, aksesori dan kasut.  

Setiap hari KWC menerima ribuan pengunjung dari segenap pelosok tanah air kerana konsepnya yang mesra keluarga. Tidak dinafikan, harga barangan yang dijual di sini juga adalah jauh lebih murah berbanding harga di pasaran utama. 

Ada barang yang ditawarkan dengan harga borong jika dibeli secara pukal. KWC merupakan tempat beli-belah kegemaran peniaga-peniaga dalam talian sehinggakan ada yang sanggup datang dari jauh untuk mengambil stok jualan mereka. 

KWC juga sesuai untuk seisi keluarga yang ingin mendapatkan pelbagai kelengkapan Syawal mengikut cita rasa dan bajet. Antara kemudahan yang disediakan untuk para pengunjung ialah tempat letak kereta yang luas, surau dan restoran.  

Seksyen 7, Shah Alam, Selangor 

jiran lokasi popular hari raya seksyen7 2
Imej: Facebook.com@jakelshahalam 

Andainya anda pernah menjalani pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, anda pasti sudah terbiasa dengan hiruk-pikuk dan kesesakan lalu lintas di sekitar Seksyen 7. Selain padat penduduk, ia merupakan salah satu kawasan paling sibuk di Shah Alam kerana dikelilingi beraneka tempat makan menarik serta premis yang menjual pelbagai pilihan fesyen. 

Seksyen 7 sesuai digelar lubuk buat mereka yang mencari baju raya idaman kerana kebanyakan unit kedai di sini beroperasi sebagai butik dan gedung pakaian tradisional. Antara jenama yang sering menjadi tumpuan ialah Jakel Mall, LosraVelda dan Minimalace.  

Kalau anda mahukan lebih banyak pilihan, jangan ketinggalan untuk berkunjung ke pusat beli-belah SOGO yang terletak bersebelahan taman tema i-City. Ada bermacam-macam pakaian berjenama untuk semua peringkat umur. Persekitaran yang dingin dan selesa semestinya memudahkan ibu bapa yang datang bersama anak-anak. 

GM Klang Wholesale City, Klang, Selangor 

jiran lokasi popular hari raya GM
Imej: Facebook.com@gmkwholesale 

Satu lagi pusat borong popular yang menampilkan banyak koleksi pakaian raya ialah GM Klang. Ia terletak di Bandar Botanik dan terbahagi kepada tiga blok utama iaitu Blok A, B dan C. GM Klang menempatkan lebih 2,500 buah perniagaan yang menyediakan pelbagai barangan seperti pakaian, perhiasan wanita, perkakas rumah dan produk runcit. 

Hampir 90% premis yang beroperasi di GM Klang ialah kedai yang menjual item fesyen termasuklah pakaian kasual, pakaian tradisional, barangan kulit dan aksesori. Bagi anda yang mahu mencari baju raya yang cantik dan murah, mari singgah di sini. 

Fasiliti awam seperti medan selera dan surau ada disediakan untuk kemudahan pengunjung yang datang membeli-belah sepanjang bulan Ramadan. 

Kesemua keperluan yang diingini pelanggan berada di bawah satu bumbung. Konsep gedung yang strategik sangat sesuai untuk seisi keluarga yang mahu mencari kelengkapan Syawal tanpa perlu bersesak-sesak.   

Anjung Syawal, Putrajaya 

jiran lokasi popular hari raya anjungsyawal
Imej: Facebook.com@putrajaya 

Anjung Syawal ialah festival jualan besar-besaran yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan di Dataran Putrajaya, Presint 3. Sejarah penganjurannya oleh Perbadanan Putrajaya bermula pada tahun 2013.  

Setelah terpaksa dihentikan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19, Anjung Syawal akhirnya kembali menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Ia menempatkan 200 buah gerai jualan yang menawarkan aneka produk dan kelengkapan Aidilfitri termasuklah kuih raya, aksesori serta pakaian tradisional untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak. 

Sekiranya anda merindui suasana membeli-belah di bazar, luangkan masa untuk datang dan alami sendiri pengalaman mencari keperluan raya di Anjung Syawal. Lokasinya berhadapan dengan Istana Kehakiman dan waktu operasi dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.  

Jangan risau kerana tempat letak kereta ada disediakan. Kesemua peniaga beroperasi di dalam kawasan berkhemah yang menjanjikan keselesaan buat para pengunjung. 

Nak tahu banyak lagi lubuk fesyen di Malaysia? Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter sekarang. 

Tak susah nak bangunkan bisnes kalau anda menggunakan saluran yang betul! Layari unifi Business Club (uBC) untuk panduan urus niaga yang lengkap.