6 Usahawan Wanita Tempatan yang Menjadi Sumber Inspirasi - Jiran

6 Usahawan Wanita Tempatan yang Menjadi Sumber Inspirasi

Kecemerlangan golongan wanita zaman sekarang dalam alam perniagaan tidak dapat dinafikan lagi. Para usahawan berjaya ini membuktikan tiada yang mustahil dalam mengejar aspirasi

Published on 31 March 2022

Kaum wanita di negara ini terbukti hebat dalam mengemudi dunia perniagaan. Ramai usahawan wanita tempatan yang telah berjaya menaikkan jenama dan produk mereka bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Mari kenali enam usahawan wanita yang menjadi contoh kepada sesiapa sahaja yang mempunyai minat dan keazaman untuk membangunkan perniagaan sendiri.

1. Awaeang Kwasin

jiran Usahawan Wanita Awaeang Kwasin
Image: Awaeang Kwasin

Berketurunan Bidayuh dan berasal dari Sarawak, Awaeang Kwasin merupakan pengasas produk berasaskan lada hitam yang dipasarkan di bawah jenama Nang Ori. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti Sains Malaysia ini telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan pengurusan sumber manusia sejak tahun 2005.

Awaeang yang pernah memenangi Anugerah Usahawan Aktif dan Kreatif di Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri pada tahun 2020 sentiasa mengutamakan sumbangan yang boleh disalurkan kepada masyarakat. Sejak jenama Nang Ori dilancarkan, beliau telah melatih lebih 100 usahawan kecil dan sederhana dalam selok-belok perniagaan makanan, contohnya bagaimana untuk membungkus dan memasarkan produk mereka di pasar raya besar. Selain itu, Awaeang juga merupakan wanita Bidayuh pertama yang memiliki lesen untuk mengeksport produk hiliran lada hitam Sarawak dan seterusnya menembusi pasaran Hong Kong dan China.

2. Nabilah Nazib

jiran Usahawan Wanita Nabilah Nazib 01
Imej: Facebook Sugardoll Singapore

Jika anda pernah mendengar jenama Sugardoll, anda pasti mengenali pengasas produk penjagaan rambut ini. Pada usia 23 tahun, Nabilah Nazib mengharungi pelbagai cabaran sebagai ejen insurans dan ibu yang berkerjaya. Menurut Nabilah, perjalanan bisnesnya bermula apabila beliau menghadapi masalah rambut gugur selepas bersalin. Semasa menjalankan kajian dan penyelidikan bagi menyelesaikan masalah tersebut, timbul idea untuk berkongsi apa yang dipelajarinya dengan mereka di luar sana yang mengalami masalah yang sama.

Namun, pada permulaannya ia bukanlah semudah yang disangka. Banyak rintangan yang dilalui bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan penjagaan rambut. Berkat usahanya yang tidak mengenal erti putus asa, kini produk Sugardoll sudah mula memasuki pasaran Asia Tenggara dan matlamatnya untuk menjadi jenama yang dikenali di arena global semakin hampir menjadi kenyataan.

3. Siti Fatimah Abdul Samat

jiran Usahawan Wanita Siti Fatimah
Imej: SABELLA

Jenama SABELLA yang sinonim dengan slogan Baju Kurung Tak Perlu Gosok diasaskan oleh Siti Fatimah Abdul Samat. Siti Fatimah memulakan perniagaan ini dari kediamannya di Ukay Perdana. Pada ketika itu, beliau merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Bagi menampung perbelanjaan keluarga, Siti Fatimah mengambil upah menjahit baju. Berbekalkan kemahiran yang dimiliki serta kerja keras dan impiannya untuk membantu suri rumah lain menjana pendapatan, beliau berjaya meletakkan SABELLA sebagai jenama yang dipercayai dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

4. Adlina Nadirah Mohd Sabri

jiran Usahawan Wanita Adlina Nadirah
Imej: Adlina Nadirah

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan pengasas jenama Velvet Vanity. Segalanya bermula apabila Adlina Nadirah menyedari tentang wujudnya keperluan dan permintaan untuk alat solek yang menawarkan harga mampu milik di Malaysia. Selain daripada itu, Adlina juga ingin mencipta jenama vegan yang tidak menjalankan ujian ke atas haiwan.

Adlina menggunakan bahan semula jadi seperti minyak Argan dan minyak kelapa serta vitamin C dan vitamin E dalam produk keluaran syarikatnya. Memainkan peranan sebagai pengarah kreatif di Velvet Vanity, beliau turut menghasilkan rangkaian warna gincu jenis matte. Apa yang menarik tentang barisan produk Velvet Vanity ini ialah ia kini dipasarkan ke seluruh dunia.

5. Riesha Dalene

jiran Usahawan Wanita Riesha Dalene
imej: SugaRie

Minat yang mendalam terhadap pembuatan biskut sudah bermula sejak Riesha Dalene masih di bangku sekolah lagi. Ketika itu, Riesha menjual biskut hasil air tangan sendiri kepada rakan-rakan. Semasa melanjutkan pengajian di universiti pula, Riesha terus menggunakan kemahirannya dalam membuat biskut sebagai salah satu cara untuk membayar yuran pengajiannya.

Sebaik sahaja tamat pengajian dalam jurusan perubatan, Riesha membuka SugaRie yang kini merupakan antara bakeri paling popular di Malaysia. Riesha turut mendapat sokongan keluarga dalam memulakan dan memajukan perniagaannya ini.

Seperti usahawan lain, pada mulanya Riesha berdepan cabaran dalam menarik pelanggan. Beliau tidak menyangka bahawa pilihan pembungkusan yang unik menjadi daya tarikan produk SugaRie. Riesha akhirnya berjaya mengembangkan perniagaannya dan memindahkan lokasi pembuatan biskut dari rumahnya ke sebuah lot komersial di Subang Jaya.

6. Deborah Henry

jiran Usahawan Wanita Deborah Henry
Imej: Fugeelah

Deborah Henry memulakan karier dalam industri fesyen seawal usia 15 tahun. Wanita kacukan Malaysia-Ireland ini berjuang untuk memperkasakan hak asasi manusia di samping berusaha membasmi kemiskinan yang dialami oleh golongan pelarian di Malaysia. Pada tahun 2009, Deborah mengasaskan Fugee School, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan membantu kanak-kanak pelarian dengan menawarkan peluang pendidikan dan pelbagai bentuk sokongan. Sehingga kini, institusi tersebut mempunyai seramai 200 orang pelajar yang berumur empat hingga 20 tahun.

Setelah menubuhkan Fugee School, Deborah berjaya melahirkan jenama barang kemas sulungnya yang dipanggil Fugeelah. Fugeelah berfungsi sebagai perusahaan sosial yang bermatlamat menyediakan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan kepada golongan pelarian sambil mengumpul dana untuk Fugee School.

Fugeelah kini menjadi platform bagi para pelajar di Fugee School untuk mendapat pendedahan tentang dunia keusahawanan serta mempelajari teknik pembuatan barang kemas. Dengan inisiatif ini, diharapkan mereka dapat menjana pendapatan peribadi dengan memanfaatkan ilmu pembuatan dan perniagaan barang kemas yang telah dipelajari di Fugee School. Mereka juga berpeluang meraih kemahiran komunikasi, kemahiran berinteraksi dengan pelanggan dan banyak lagi.

Ikuti laman sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk mengenali lebih ramai usahawan tempatan yang berjaya.

Kunjungi unifi Business Club (uBC) untuk panduan tentang mendigitalisasikan perniagaan anda.