7 Bazar Ramadan ‘Online’ Yang Anda Harus Cuba Tahun Ini! - Jiran

7 Bazar Ramadan ‘Online’ Yang Anda Harus Cuba Tahun Ini!

Inisiatif dalam talian yang menyediakan juadah kegemaran anda. Khas buat semua yang merindui suasana bazar

Published on 30 April 2020

Rindu bazar Ramadan? Kami juga. Apakan daya, pengorbanan ini dilakukan demi masa depan yang lebih sihat dan terjamin. Akan tetapi, anda tidaklah perlu menahan diri daripada ‘mengidam’ juadah bazar Ramadan. Terdapat banyak inisiatif dan projek dalam talian di luar sana yang menawarkan pelbagai hidangan berbuka puasa.

Sebagai jiran anda yang tidak kedekut ilmu, kami sediakan senarai ini khas untuk anda yang merindui suasana bazar Ramadan. Sekarang anda boleh menikmati juadah kegemaran anda tanpa perlu menjejakkan kaki keluar rumah!

1. Plats.com.my

Ini merupakan inisiatif kedua kerajaan Selangor yang telah mengumpulkan lebih 60 restoran khas untuk penggemar juadah bazar Ramadan dalam satu laman. Inisiatif ini juga menyediakan 77 pusat pengumpulan meliputi 10 dewan seliaan agar permintaan orang ramai dapat ditunaikan. 

2. Delivereat (Penang area)

Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan tarikan kulinarinya — tetapi apa akan jadi apabila bazar Ramadan terpaksa ditutup tahun ini? Jangan risau! Delivereat tampil di saat anda memerlukan! Ia merupakan sebuah perkhidmatan e-hailing yang menyediakan platform buat peniaga-peniaga makanan untuk meneruskan perniagaan mereka di bulan Ramadan.

3. Fashion Valet

Siapa tak kenal Fashion Valet, kan? Syarikat milik usahawan fesyen muda Vivy Yusof ini memang giat menganjurkan program-program amal. Kali ini, Fashion Valet mewujudkan sebuah platform bazar Ramadan dalam talian untuk peniaga-peniaga kecil. Ia menampilkan bermacam-macam jenis juadah dan produk yang boleh anda nikmati.

4. Bazaarcod oleh Mawar Rashid

Selalunya penjual barang-barang dalam talian saja yang menggunakan terma COD (cash on delivery), tapi kali ini bazar pun ada! Mawar Rashid, seorang pelakon dan usahawan terkenal, menyediakan sebuah ruang untuk peminat-peminat bazar Ramadan membuat tempahan makanan di kawasan-kawasan yang tertentu.

5. Iftar4u by Moovby

Moovby, sebuah aplikasi perkongsian kenderaan, telah melancarkan sebuah laman khas untuk anda membeli juadah iftar. Diberi nama ‘Iftar4u’, laman khusus ini membawakan pilihan yang menarik termasuklah laksa penang dan ayam penyet!

Selain inisiatif kerajaan setempat dan aplikasi, kumpulan-kumpulan peniaga kecil juga mempromosikan produk mereka melalui bazar Ramadan online di Facebook Groups. Kumpulan-kumpulan ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan yang telah lama mengidam makanan-makanan kegemaran daripada bazar Ramadan yang berdekatan dengan kediaman mereka. Antaranya contoh yang terdapat di bawah:

6. Bazar Ramadan Subang Jaya

Jika anda di Subang Jaya, pasti anda rindukan bazar USJ 4, nyanyian dan sahutan Chef Ammar dan juga Sotong Bakar Morib. Mungkin kali ini pilihan juadahnya sedikit berbeza, tapi produk-produk seperti sate, chicken chop dan burger tetap ada!

7. Bazar Ramadan Shah Alam

Bazar Ramadan yang cukup dikenali dengan tapak yang luas (juga digunakan untuk pasar tani) boleh didapati dalam talian. Makanan seperti Roti John, kuih tepung pelita dan popia carbonara boleh dibeli di sini.