7 Jenis Ulam yang Kaya dengan Khasiat dan Tinggi Antioksidan - Jiran

7 Jenis Ulam yang Kaya dengan Khasiat dan Tinggi Antioksidan

Pelengkap hidangan yang penuh manfaat untuk kesihatan

Published on 3 January 2022

Ulam-ulaman dimakan secara mentah, dicelur atau direbus dan dihidangkan bersama nasi dan lauk-pauk. Ulam juga biasanya dinikmati dengan sambal belacan, budu, cencaluk, air asam atau pencicah yang lain bagi menambah keenakannya. Antara bahagian ulam yang boleh dimakan ialah pucuk, batang, daun dan biji.

Sejak zaman dahulu kala lagi, masyarakat tempatan telah mengamalkan pemakanan seimbang dengan menjadikan ulam sebagai pelengkap hidangan. Dalam era serba moden pula, ramai yang mengambil produk suplemen untuk mendapatkan kulit yang sihat dan kelihatan awet muda. Padahal, pengambilan ulam-ulaman dalam diet harian merupakan pilihan yang lebih murah dan mudah.

Ingin tahu lebih lanjut tentang khasiat ulam? Kami senaraikan beberapa jenis ulam-ulaman yang terdapat di Malaysia.

1. Peria

jiran peria

Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia yang berasal dari Afrika ialah sejenis ulam yang pahit namun sangat popular di sekitar Asia Tenggara.

Ada dua jenis peria yang ditemui di Malaysia iaitu peria panjang dan peria katak. Kedua-duanya dikatakan mempunyai khasiat luar biasa, termasuklah mengawal kandungan gula dalam darah serta membantu menstabilkan kadar kolesterol.

Pengambilan peria dalam diet harian juga dipercayai mampu menurunkan berat badan. Ekstrak daripada peria pula dikatakan berkesan untuk mencegah penyakit kanser, contohnya menghalang pertumbuhan dan penyebaran sel kanser payudara.

2. Ulam raja

jiran ulam raja

Meskipun ulam ini terkenal dalam kalangan masyarakat Asia terutamanya di Malaysia, Brunei dan Indonesia, Cosmos caudatus atau ulam raja sebenarnya berasal dari Amerika Latin.

Ulam raja memiliki kandungan kalori yang rendah serta kaya dengan kompaun bioaktif seperti asid klorogenik dan asid askorbik yang berupaya membantu mengurangkan risiko penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung.

Kajian yang dijalankan ke atas pesakit kencing manis atau diabetes mendapati pesakit yang mengambil 15 gram ulam raja setiap hari selama lapan minggu berturut-turut telah menunjukkan paras bacaan gula dalam darah yang ternyata lebih baik dan terkawal berbanding pesakit yang tidak memakan ulam raja.

Efek antioksidan dan mineral yang terkandung dalam ekstrak ulam raja pula dipercayai mampu memelihara tulang manusia daripada penyakit osteoporosis (tulang rapuh), meningkatkan fungsi hati dengan meneutralkan kembali saluran perkumuhan serta menyingkirkan toksik dari tubuh secara semula jadi.

3. Kacang bendi

jiran ulam bendi

Kacang bendi (Abelmoschus esculentus) sedap dimasak sebagai kari atau dicelur begitu sahaja untuk dijadikan ulam. Umumnya, kacang bendi banyak digunakan dalam masakan kerana fungsi lendirnya yang memekatkan tekstur kuah dalam hidangan stew dan sup.

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam kacang bendi berfungsi menggalakkan penghasilan kolagen serta melambatkan proses penuaan kulit seperti kedutan dan bintik hitam, selain dapat meredakan asma. Manakala, kandungan seratnya pula dikatakan mampu menyokong proses pencernaan sekali gus membersihkan usus dan mengurangkan risiko kanser kolorektal.

4. Pegaga

jiran daun pegaga

Pegaga atau nama saintifiknya Hydrocotyle asiatica atau Centella asiatica tumbuh di Malaysia dan beberapa negara lain seperti Indonesia, India, Sri Lanka dan Iran. Terdapat tiga spesies pegaga iaitu pegaga salad, pegaga keriting dan pegaga biasa.

Dari sudut perubatan tradisional, ekstrak pegaga dikatakan berkesan untuk menyembuhkan luka. Kajian mendapati pegaga boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan pembentukan kolagen dan menebalkan kulit di bahagian luka.

Amalan meminum air rebusan pegaga atau jus pegaga pula dipercayai dapat menjadikan wajah kelihatan awet muda kerana ia menyokong pembentukan kolagen yang mengelakkan kulit menjadi kendur atau kehilangan lembapan semula jadi.

Pegaga turut mempunyai sifat antibakteria yang berupaya melawan selesema, jangkitan saluran kencing dan batuk kering.

5. Jantung pisang

jiran jantung pisang

Buah pisang bukanlah asing dalam kalangan masyarakat kita. Tahukah anda bahawa jantung pisang juga lazat dijadikan ulam? Hanya perlu rebus dan cicah dengan air asam, tentu membuka selera.

Antara khasiat jantung pisang ialah ia mengandungi serat terlarut dan serat tidak terlarut yang boleh mengurangkan masalah pencernaan seperti kembung perut, pedih ulu hati, angin atau sembelit. Jantung pisang juga kaya dengan magnesium yang dapat membantu tubuh badan manusia berehat secara semula jadi dan menyebabkan tidur seseorang menjadi lebih lena.

6. Kacang botor

jiran kacang botol

Kacang botor (Psophocarpus tetragonolobus) merupakan sejenis ulam yang popular di Malaysia. Ada juga yang memanggilnya sebagai kacang botol. Selain dicicah dengan budu atau sambal belacan, kacang botor juga enak dimasak tumis. Bukan sahaja sedap dimakan, ulam ini juga banyak khasiatnya.

Kacang botor mempunyai kalori dan lemak yang rendah. Jumlah proteinnya yang tinggi membuatkan ia sesuai dijadikan makanan untuk menurunkan berat badan. Kacang botor mengandungi serat yang dapat membantu anda merasa cepat kenyang. Serat tersebut  mengurangkan rasa lapar yang berterusan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan yang manis.

Di samping itu, kacang botor juga mengandungi asid amino triptofan yang membantu melegakan sakit kepala yang disebabkan oleh tekanan dan ketegangan. Ini kerana triptofan membantu dalam penghasilan serotonin yang boleh menghilangkan gejala sakit kepala dan migrain.

7. Petai

jiran ulam petai

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa cukup dikenali dalam kalangan penggemar masakan kampung. Ia enak dimakan sebagai ulam atau dimasak sambal. Walaupun ia sinonim dengan bau yang kurang menyenangkan, khasiat yang terdapat dalam petai sebenarnya sangat bagus untuk kesihatan.

Petai mengandungi zat besi yang membantu mencegah penyakit anemia iaitu kekurangan sel hemoglobin (darah merah). Zat besi berupaya merangsang dan meningkatkan penghasilan hemoglobin dalam darah.

Jika anda sedang berusaha untuk berhenti merokok dan ingin menggunakan alternatif semula jadi, cubalah makan petai. Ini kerana petai mengandungi vitamin B6 dan B12, kalium dan magnesium yang membantu tubuh melawan ketagihan nikotin.

Mana satu ulam yang paling anda gemari? Jika anda belum pernah cuba ulam-ulaman di atas, mulakan makan ulam hari ini sebagai amalan pemakanan sihat!

Anda suka paparan seperti ini? Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi tip kesihatan dan gaya hidup.