8 Cara Efektif untuk Mengatasi Gejala Zoom Fatigue - Jiran

8 Cara Efektif untuk Mengatasi Gejala Zoom Fatigue

Ikuti langkah-langkah bagi menangani stres yang dihadapi semasa menjalani mesyuarat secara maya

Published on 21 February 2022

Semenjak seluruh dunia dibelenggu wabak COVID-19, kebanyakan syarikat dan organisasi telah melaksanakan amalan work from home (WFH) atau bekerja dari rumah. Sehubungan itu, mesyuarat secara dalam talian melalui platform digital dan aplikasi mudah alih kini menjadi norma baharu dalam kehidupan warga kerja.

Zoom fatigue merujuk kepada rasa penat akibat menggunakan aplikasi Zoom terlalu lama dalam sehari ketika bekerja dari rumah. Walaupun ia dinamakan Zoom fatigue, gejala ini juga terpakai bagi mereka yang menggunakan aplikasi persidangan video yang lain seperti Microsoft Teams, Google Meet, Skype dan banyak lagi. Ia juga boleh terjadi apabila pekerja sudah tidak boleh membezakan masa peribadi dengan masa bekerja kerana kedua-duanya berjalan di tempat yang sama iaitu di rumah.

Antara tanda-tanda Zoom fatigue adalah sukar untuk menumpukan perhatian, menjadi mudah lupa, susah untuk fokus apabila berinteraksi, lebih mudah marah dan simptom fizikal seperti otot berasa tegang, keletihan dan insomnia. Jika anda masih bekerja dari rumah dan mengalami gejala di atas, ada beberapa cara untuk mengatasinya.

1. Gerakkan tubuh badan

jiran gerak tubuh badan

Kadangkalamesyuarat dalam talian boleh berlarutan sehingga dua jam. Pastikan anda meregangkan tubuh badan agar tidak kekal statik dalam posisi yang sama terlalu lama. Anda juga boleh mengangkat komputer riba yang dipakai dan berjalan dalam rumah untuk meregangkan badan.

2. Mulakan dengan permainan

Apa kata cuba mulakan mesyuarat secara santai. Selain daripada bertegur sapa dan bertanya khabar, anda juga boleh bermain permainan mudah seperti teka-teki. Di samping dapat merapatkan hubungan sesama rakan sekerja, ia juga boleh menenangkan minda untuk seketika.

3. Tukar lokasi bekerja

jiran tukar lokasi kerja

Sekiranya anda mempunyai satu ruang khas di rumah untuk bekerja, cuba ubah susun atur ruang tersebut bagi mewujudkan mood yang lebih segar. Pastikan juga ruang tersebut mempunyai pencahayaan yang baik, tidak terlalu gelap dan tidak terlalu terang.

4. Beri ruang untuk berehat sebelum mesyuarat seterusnya

Jika dalam sehari anda mempunyai lebih daripada dua mesyuarat, pastikan setiap mesyuarat tidak bertindih waktunya atau mempunyai jarak masa untuk anda berehat. Ambil sedikit waktu untuk berehat sekitar 10 atau 15 minit sebelum anda masuk ke mesyuarat yang seterusnya.

5. Cuba berehat sekejap

jiran rehat sekejap

Ambil rehat yang pendek daripada video apabila berada dalam mesyuarat yang lama dengan menutup kamera untuk seketika, meminimumkan tetingkap, atau alihkan pandangan dari komputer sepenuhnya untuk beberapa saat dari semasa ke semasa. Kita semua sudah terbiasa dengan mesyuarat menggunakan video dan sudah pasti rakan sekerja anda juga memahami.

6. Manfaatkan ciri voice di aplikasi persidangan video

Tidak semua mesyuarat secara dalam talian memerlukan anda untuk membuka video. Ada sesetengah mesyuarat yang cukup dilakukan dengan menggunakan suara sahaja. Kalau ada perkara yang ingin dijelaskan melalui pembentangan, paparkan sahaja skrin komputer anda.

7. Elak melakukan beberapa perkara serentak

jiran Zoom Fatigue 1200x800 02

Mungkin anda merasakan bahawa anda boleh melakukan perkara lain sewaktu mesyuarat dan ia akan menjimatkan masa, namun kajian mendapati bahawa melakukan beberapa perkara sekali gus boleh menjejaskan prestasi. Ini kerana anda perlu mematikan dan menghidupkan bahagian tertentu otak anda untuk jenis kerja yang berbeza. Pertukaran antara tugas boleh menghabiskan sebanyak 40% masa produktif anda.

8. Meminimumkan waktu bermesyuarat

Cuba berbincang dengan kumpulan kerja atau rakan setugas anda untuk mengadakan mesyuarat dalam jangka masa yang minimum. Jika biasanya mesyuarat mengambil masa satu jam, cuba pendekkan menjadi 30 minit. Selain itu, andai kata ada perkara yang boleh dibincangkan tanpa sidang video, cuba alternatif lain seperti panggilan telefon ataupun e-mel.

Mungkin tidak semua panduan di atas senang untuk dipraktikkan, terutamanya bagi mesyuarat penting yang wajib dihadiri. Namun begitu, langkah-langkah yang telah dikongsikan ini diharapkan dapat membantu anda mengurangkan rasa letih atau tekanan apabila berhadapan dengan mesyuarat dalam talian atau sidang video akan datang. Cuba mulakan dengan yang tip yang mudah terlebih dahulu. Lama-kelamaan anda akan berjaya membiasakan diri dan bijak menyelesaikan sebarang kesulitan.

Ingin tahu fakta menarik yang boleh memanfaatkan hidup anda serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat? Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan juga Twitter untuk maklumat terkini.