Ketepikan gajet anda! Jom kenali semula permainan-permainan klasik ini
Published on 27 August 2021Kecanggihan teknologi kini menyebabkan ramai kanak-kanak mengisi masa lapang dengan permainan telefon bimbit, komputer dan lain-lain alat elektronik. Sekarang jarang kita lihat mereka bermain di luar rumah, lebih-lebih lagi dengan penularan wabak COVID-19. Gaya hidup hari ini berbeza dengan generasi kanak-kanak zaman 70-an, 80-an dan 90-an. Pada era tersebut, kalau tiada kartun untuk ditonton, kita akan keluar untuk mengajak jiran dan rakan main bersama. Mari kita lihat permainan klasik yang boleh kita hidupkan kembali untuk generasi sekarang.
1. Congkak
Congkak amat digemari kanak-kanak suatu ketika dahulu. Permainan tradisional ini sering ditampilkan sebagai salah satu aktiviti sukan sekolah. Permainan congkak dapat meningkatkan kemahiran motor asas pemain dan meningkatkan kecerdasan otak.
2. Gasing
Dulu permainan gasing selalu dijadikan pertandingan sesama kawan-kawan. Masing-masing akan bawa gasing untuk menunjukkan kemahiran tersendiri. Gasing yang berputar paling lama akan menang. Permainan klasik ini digantikan dengan beyblade pada zaman sekarang. Ia menjadi kegilaan ramai anak muda. Beyblade serupa seperti gasing tapi dimainkan tanpa tali.
3. Permainan kad
Siapa sangka permainan kad seperti Old Maid, Donkey, Snap dan Happy Family telah wujud sejak zaman 40-an lagi? Antara variasi permainan ini adalah mencari kad dengan padanan yang sama atau mengelakkan daripada mendapat kad tertentu. Yang pastinya, semua permainan kad ini mampu mencuit nostalgia mereka yang lahir sebelum tahun 90-an.
4. Guli
Permainan ini memerlukan fokus dan dedikasi tinggi untuk mencapai sasaran yang tepat. Setiap pemain akan membawa guli masing-masing dan meletakkan guli tersebut dalam bulatan gelanggang yang dilukis. Pemain akan mengambil giliran untuk ‘menembak’ guli di dalam gelanggang. Yang menariknya, mereka dapat meraih guli daripada pihak lawan yang gulinya disasarkan keluar dari bulatan gelanggang. Pemain yang mendapat jumlah guli paling banyak menjadi pemenang.
5. Lompat getah
Lompat getah sering dimainkan di halaman rumah. Ia menjadi kegemaran kanak-kanak perempuan untuk mengisi waktu rehat di sekolah. Peralatan utama ialah gelang getah yang diikat sambung bagi membuat jalinan untuk membentuk rantaian yang panjang. Permainan ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain. Cabaran permainan ini dapat dirasakan apabila ketinggian getah dinaikkan secara berperingkat sehingga paras kepala. Pemain yang berjaya melepasi kesemua aras tersebut dikira pemenang.
6. Batu seremban
Batu seremban yang turut dikenali sebagai batu serembat atau selambut merupakan permainan tradisional kegemaran kanak-kanak perempuan. Ia sering dimainkan secara berkumpulan dan setiap kumpulan mempunyai seramai dua hingga empat orang ahli. Objek-objek seperti batu kecil yang dikutip, biji getah dan pasir yang dibalut kain digunakan dalam permainan ini. Lambung dan tangkap buah ketika dibaling merupakan corak permainan ini sehingga tidak ada lagi buah yang ditinggalkan.
7. Galah panjang
Galah panjang memerlukan ahli kumpulan yang ramai. Lagi ramai ahli, permainan menjadi lebih menarik dan mencabar. Permainan in hanya perlukan lakaran petak pada tanah untuk membentuk gelanggang yang mempunyai dua lajur dan garisan yang berdasarkan bilangan pemain. Pasukanyang terlepas daripada sekatan pihak lawan hingga ke garisan akhir akan terpilih sebagai pemenang.
8. Dam ular
Dam ular atau Snakes and Ladders pernah popular sebagai permainan papan klasik yang menghiburkan dan sesuai dimainkan bersama ahli keluarga. Giliran pemain ditentukan oleh jumlah mata dadu apabila dilontarkan. Pemain bernasib baik jika dapat menggunakan tangga kerana boleh langkau beberapa langkah. Pemain yang terkena ular pula terpaksa mundur.
Layari laman Nostalgia kami jika anda berminat dengan kisah-kisah menggamit memori seperti ini.