8 Teknologi Yang Inovatif Pada Zaman 90-an - Jiran

8 Teknologi Yang Inovatif Pada Zaman 90-an

Daripada permainan ke alat komunikasi, semuanya mampu membangkit nostalgia

Published on 4 October 2021

Apabila bercakap tentang perkembangan teknologi, kini hampir semua orang memiliki telefon pintar untuk kegunaan harian. Kita sudah biasa dengan peranti dan aplikasi yang mempunyai pelbagai fungsi seperti mengambil gambar, menyimpan nota, menonton video, mendengar lagu dan lain-lain lagi.

Jika diimbas kembali, terdapat teknologi tahun 90-an yang kita rasakan sangat “canggih” dan on-trend pada ketika itu. Jom kita lihat teknologi zaman 90-an yang pasti membuatkan anda terkenang memori silam!

1. Tamagotchi

jiran nostalgia tamagotchi

Sebut sahaja Tamagotchi, tentu anda terbayang permainan digital berbentuk bujur seperti telur, kan? Ia juga merupakan permainan mudah alih yang popular sekitar lewat 90-an dan awal 2000-an. Konsepnya seumpama membela haiwan secara digital. Rangkanya pula datang dalam pelbagai warna menarik dan sangat comel. Permainan Tamagotchi ini berasal dari Jepun dan kemudiannya menjadi fenomena di seluruh dunia kerana ia bukan sahaja digemari oleh kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa!

2. Walkman

jiran nostalgia walkman

Bagi peminat muzik di era 90-an, Walkman merupakan salah satu alat yang wajib dimiliki apabila ingin ke mana-mana. Jika sekarang ramai orang melanggan perkhidmatan muzik di telefon pintar, pada zaman 90-an sumber hiburan selain daripada mendengar radio adalah menikmati koleksi lagu artis kegemaran di Walkman. 

3. Discman

jiran nostalgia discman

Walaupun Discman merupakan peranti yang lebih moden berbanding Walkman, fungsinya tetap sama iaitu mendengar lagu. Peranti ini dilengkapi dengan earphone. Selain mendengar lagu artis kegemaran, ada juga yang rajin membuat mixtape sendiri dan memainkannya di Discman.

4. Perakam kaset video (VCR)

jiran nostalgia vhs

Apabila menyebut tentang VCR atau video cassette recorder, anda tentu teringat kenangan menonton filem menggunakan pita VHS. Apa yang menarik tentang alat ini ialah jika anda merasakan harga kaset video adalah mahal, anda mempunyai pilihan untuk menyewa filem kegemaran! Ya, suatu masa dahulu terdapat kedai yang menawarkan filem pelbagai genre dalam bentuk pita video. Kadar sewaannya sungguh berpatutan dan tidak hairanlah ketika itu ramai yang gemar menyewa pita VHS untuk menonton filem tempatan dan luar negara.

5. Floppy disk/Disket

jiran nostalgia disket

Sebut sahaja floppy disk atau disket, mesti anda terkenangkan objek berbentuk segi empat yang memiliki kapasiti sebesar 1.44MB sahaja. Disket amat popular pada tahun 90-an dan turut hadir dalam pelbagai warna. Apabila dibandingkan dengan zaman sekarang, kapasiti tersebut sebenarnya sangat kecil berbanding pen drive atau hard disk yang kita gunakan sekarang. Namun, pada masa itu disket sangat berguna untuk menyimpan dokumen Word, Excel dan beberapa fail lain yang bersaiz kecil.

6. Internet dial-up

jiran nostalgia dialup

Pada dekad 90-an, penggunaan Internet agak terhad disebabkan pelbagai faktor. Untuk menggunakan Internet, ada beberapa benda yang perlu ada di rumah seperti komputer, telefon dan juga modem. Tanpa telefon, anda tidak boleh membuat sambungan ke talian Internet. Sebelum menyambung ke talian Internet, komputer perlu membuat panggilan kepada server. Proses mendail ini mempunyai bunyi yang sangat unik dan kuat. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bunyi tona dial-up ini telah menjadi ikonik. 

Sebaik sahaja akses Internet diaktifkan, panggilan masuk atau keluar tidak boleh dilakukan. Sebab itu jugalah ada dalam kalangan kita waktu itu sanggup menunggu hingga tengah malam supaya tiada yang mengganggu sambungan Internet. 

7. Pager

jiran nostalgia pager

Pager adalah alat komunikasi yang popular pada tahun 90-an sebelum wujudnya SMS. Ia digunakan untuk mengirim dan menerima pesanan ringkas. Ada juga yang memanggilnya sebagai beeper disebabkan bunyi “beep” yang dihasilkan oleh alat ini. Saiznya yang kecil membuatkan ia mudah dibawa ke mana-mana sahaja. 

8. Telefon bimbit

jiran nostalgia telefonbimbit

Telefon bimbit telah pun wujud pada awal 90-an. Namun begitu, penggunaannya tidak meluas (disebabkan oleh faktor harga) dan kegunaannya juga sangat terhad. Kebanyakan model telefon bimbit hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan dan menerima SMS daripada pembekal perkhidmatan.

Sekitar lewat 90-an, SMS mula digunakan secara meluas. Selain menerima SMS daripada penyedia perkhidmatan, telefon bimbit juga sudah boleh digunakan untuk membalas SMS dan menghantar pesanan kepada nombor telefon lain. 

Suka baca artikel nostalgik seperti ini? Kunjungi laman Nostalgia kami! Jangan lupa ikuti Jiran di Facebook, Instagram dan Twitter untuk banyak lagi kisah terkini.