Abang ‘Punk’ Yang Menjaga Anak-Anak Jiran Anda daripada Kancah Dadah - Jiran

Abang ‘Punk’ Yang Menjaga Anak-Anak Jiran Anda daripada Kancah Dadah

Bersama mengatasi pengaruh dadah

Published on 22 June 2020

Terma ‘punk’ ini kalau kita sebut di depan makcik dan pakcik, mesti tanggapannya buruk. Golongan ‘punk’ dianggap kaki gaduh dan sebagainya. Menurut Khai Aziz atau Ein, ini semua hanyalah tanggapan semata-mata kerana ‘punk’ itu merupakan semangat untuk memberontak. Beliau menggunakan semangat tersebut untuk melawan penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.

Image 1

“Saya dah aktif hampir 25 tahun lepas. Dari scene skateboard ke underground ke hardcore punk. Bila saya mula berjinak dengan hardcore punk itulah yang saya terjumpa straight edge. Fahaman straight edge promosikan hidup bebas dadah dan alkohol yang betul-betul menarik minat saya — dan saya terus ‘terjebak’ di situ. Saya yakin bahawa cara pembawaan drug free ini mampu menarik minat anak muda untuk hidup tanpa dadah.”

Image 2 1 7

Ein terkenal dengan karier muziknya bersama kugiran hardcore Second Combat, salah satu penaung muzik berat di Malaysia. Dengan semangat straight edge dalam dirinya, beliau menubuhkan Drug Free Youth, sebuah NGO yang beroperasi untuk mendidik anak-anak muda agar tidak terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah dengan memperkenalkan gaya hidup yang positif.

Image 3

Beliau memulakan perjuangan ini apabila ramai dalam kalangan kawan-kawannya dan ahli keluarganya sendiri terlibat dengan dadah. Dari situ, Ein tahu beliau perlu membuat sesuatu untuk ‘membersihkan’ masyarakat kita daripada najis tersebut.

“Apa yang drive saya adalah family. Mostly ramai kawan-kawan and family ambil drugs. Kawan-kawan ramai meninggal dunia. Saya nak Malaysia menjadi tempat yang lebih selamat.”

Mungkin sebab itulah strategi NGOnya adalah seakan-akan untuk menjadi seorang role model atau abang yang dekat dengan anak-anak muda. Di era teknologi komunikasi yang canggih, golongan muda lebih tertarik untuk mendengar nasihat ‘abang-abang’ berbanding golongan professional atau ibu bapa mereka. Sebagai seorang jiran, kita juga boleh memainkan peranan tersebut

Image 4 10

“Penting sangat jiran-jiran untuk mengambil tahu tentang anak-anak jiran yang lain. Sebab kita dah tak ambil tau pasal satu sama lain,” katanya. Mungkin kita boleh cuba mengenali anak-anak jiran kita agar mereka juga boleh melihat kita seperti ‘abang’ atau ‘kakak’ yang boleh mereka contohi.

Drug Free Youth Association atau kini bergelar Drug Free Association (DFA) bermula di kawasan kejiranan di Klang, tapi kini sudah dikenali oleh badan-badan komuniti antarabangsa seperti Drug Free World dan juga agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan.

Image 5 11

Sehingga kini, DFA telah pun melawat lebih 300 sekolah di seluruh Malaysia untuk menyebarkan dakwah anti-dadah dengan keunikan yang tersendiri. Antara program yang mereka laksanakan termasuklah program ‘mengenal diri’ untuk para remaja, program komuniti tempatan seperti membersihkan kawasan setempat dan juga penglibatan artis-artis tempatan seperti Radhi OAG, Nas Plague of Happiness dan juga kembar Sekumpulan Orang Gila.

Walau bagaimanapun, penyelesaian gejala dadah ini bermula di rumah.

“Nasihat saya kepada ibu bapa adalah berilah tumpuan kepada anak-anak. Ketahuilah siapa mereka dan dengan siapa mereka bergaul.” Ein bercakap mengikut pengalaman. Ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak mereka, walau sesibuk manapun mereka dengan hal-hal kerja. Anak-anak yang dibiarkan bersendirian mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk terlibat dengan jenayah dadah.

Image 6 4

Dari kejiranan ‘punk’ di Klang ke mata dunia, Ein berjaya membuktikan perasaan kasih dan sayang sesama jiran tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan boleh membantu generasi muda untuk terus cemerlang dan bebas daripada pengaruh dadah. Usaha beliau merupakan sebuah ‘hadiah’ yang beliau sampaikan agar kejiranan anda lebih selamat dan terjamin.

Jenayah di kawasan kejiranan masih wujud sehingga ke hari ini. Sebagai ahli masyarakat, kita perlulah bersama-sama dengan Ein membanteras jenayah kejiranan demi masa depan anak-anak kita. Setiap ahli masyarakat tidak kiralah jika kita seorang guru, anggota polis, usahawan ataupun selebriti perlu memainkan peranan masing-masing dalam membentuk persekitaran komuniti yang lebih sihat dan selamat untuk semua.

Nak tahu banyak lagi kisah penuh inspirasi seperti ini? Jom ikuti kami di FacebookInstagramTwitter dan YouTube sekarang!