Apa Itu Seni Ukiran Kaca? - Jiran

Apa Itu Seni Ukiran Kaca?

Kenali karya kreatif yang indah ini bersama Etch Edge

Published on 13 December 2021

Seni ukiran kaca jarang diperkatakan di Malaysia. Masih ramai yang tidak mengetahui mahupun memiliki ilmu tentang hasil seni kreatif sebegini yang lazimnya boleh kita lihat pada permukaan gelas atau kaca seperti cermin hiasan, pintu, daun tingkap dan banyak lagi.

Bagi merungkai persoalan tentang seni ukiran kaca, Jiran telah menemu bual seorang usahawan muda bernama Nurul Hidayah Abdul Rahman atau lebih mesra dipanggil Nuha yang berusia 34 tahun. Sebelum berkecimpung dalam dunia seni ukiran kaca, Nuha merupakan seorang pereka grafik.

Untuk pengetahuan semua, Nuha ialah pemilik Etch Edge, sebuah perniagaan berasaskan seni ukiran kaca yang dijalankan di akaun Instagram @etch_edge.

Apakah yang membuatkan Nuha berminat dengan seni ukiran kaca?

jiran Etch Edge two

Kira-kira lima tahun lalu, pelekat di pintu kaca rumah saya kian tertanggal akibat terdedah kepada cuaca panas dan hujan. Ia menyebabkan keadaan pintu kaca tersebut menjadi kurang menarik. Dari situlah saya mula mempelajari selok-belok bidang seni ukiran kaca ini.

Saya mulakan proses ukiran dengan mencari corak yang bersesuaian mengikut jenis kaca. Teknik ukiran ini menggunakan bahan kimia. Sebelum bahan kimia diletakkan pada bahagian kaca yang ingin diukir, saya membuat corak stensil terlebih dahulu. Stensil tersebut kemudiannya dilekatkan pada permukaan kaca sebelum bahan kimia tadi dituang ke atas kaca.

Setelah ukiran di pintu kaca rumah saya siap, ramai rakan memuji dan mengatakan bahawa idea ini berpotensi untuk dikembangkan menjadi sebuah perniagaan yang bagus. Namun, pada ketika itu saya tiada sebarang perancangan untuk menjadikannya sebagai karier sepenuh masa. Saya hanya akan menghasilkan ukiran apabila ada tempahan daripada pelanggan.

Bilakah Etch Edge menjadi kerja hakiki Nuha?

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya masih lagi bekerja sebagai pereka grafik. Jadual saya penuh dan tiada masa untuk diri sendiri walaupun bekerja dari rumah secara lebih masa. Gaji saya juga dipotong. Faktor inilah yang mendorong saya untuk menjadikan perniagaan ini sebagai pekerjaan sepenuh masa. Saya baru sahaja menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa sejak setahun yang lalu dan buat masa ini, hanya saya seorang yang menguruskan perniagaan.

Apakah permintaan paling mencabar yang Nuha pernah terima daripada pelanggan?

Ada pelanggan yang meminta saya membuat ukiran ayat al-Kursi pada cermin dinding rumahnya. Cermin tersebut berketinggian 1 meter dan ia memang sudah pun dilekatkan ke dinding pada ketinggian lebih kurang 1.5 meter. Jadi, saya terpaksa memanjat tangga untuk menyiapkan ukiran di cermin ini dalam masa satu hari.

Lebih mencabar lagi, terdapat peraturan ketat untuk memasuki kawasan perumahan pelanggan ini. Saya tidak dibenarkan untuk masuk pada hujung minggu dan hanya dibenarkan berada di situ sehingga pukul lima petang pada hari biasa. Oleh itu, pengurusan masa adalah sangat penting buat saya bagi memastikan pelanggan berpuas hati.

Bagaimana Nuha membuat tulisan di cermin?

jiran Etch Edge three

Langkah pertama: saya akan mencipta tulisan serta ukiran yang dikehendaki di dalam perisian grafik vektor. Sebaik selesai, saya akan menempah pelekat acuan tulisan dan ukiran tersebut yang kemudiannya akan menjadi stensil. Stensil itulah yang akan saya lekatkan di atas permukaan cermin. Selepas itu, barulah proses melakar menggunakan bahan kimia akan dilakukan.

Bahan kimia yang saya sering gunakan untuk mengukir juga adalah berbeza. Terdapat beberapa jenis bahan kimia seperti etching pro, silhouette dan armor. Semua bahan kimia ini digunakan untuk jenis kaca yang berbeza.

Bagaimanakah proses tempahan untuk gelas minuman berukir?

Kebiasaannya saya ada sahaja menyimpan stok jenis kaca yang diminta para pelanggan, melainkan mereka mempunyai pilihan sendiri dan boleh terus menghantar gelas tersebut kepada saya untuk diukir. Namun, pemilihan yang dilakukan haruslah bertepatan kerana bagi menghasilkan ukiran yang cantik, jenis gelas atau kaca haruslah jernih dan tidak mempunyai sebarang corak.

Adakah ukiran ini akan hilang apabila sudah terlalu lama?

jiran Etch Edge one

Soalan yang bagus! Ramai individu salah faham dan menganggap stensil ialah pelekat yang boleh ditanggalkan. Akan tetapi, saya sebenarnya cuma menggunakannya sebagai acuan bagi menuang etching chemical agar dapat menghasilkan bentuk yang dikehendaki. Selepas itu, pelekat tersebut akan saya tanggalkan dan corak yang terbentuk pada permukaan kaca itu akan kekal sehinggalah kaca berkenaan pecah ataupun retak. Ukiran yang terhasil memang kekal selagi dijaga dengan baik.

Selain membuat ukiran pada cawan, gelas dan cermin, Nuha juga pernah menghasilkan wedding board kaca untuk pelanggan. Bagi Nuha, hiasan seperti ini bukan sahaja boleh digunakan semasa hari perkahwinan tetapi boleh juga disimpan sebagai dekorasi kediaman yang menyimpan seribu satu kenangan.

Jika anda berminat menempah ukiran kaca untuk dijadikan hiasan atau hadiah istimewa, anda boleh hubungi Nuha menerusi akaun Instagram miliknya, @etch_edge.  

Jangan lupa ikuti Jiran di InstagramFacebook dan Twitter untuk maklumat perniagaan terkini serta cerita usahawan tempatan di Malaysia.