e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Perniagaan

5 Cara Untuk Memulakan Perniagaan Di Facebook

17 May 2020
  • Berniaga di Facebook ini tidaklah begitu rumit
  • Dapatkan tips-tips Cara Mermulakan Perniagaan di FB di sini

Mahu memulakan perniagaan di Facebook tapi tidak tahu bagaimana? Berniaga di Facebook ini tidaklah begitu rumit, tapi jika anda mahu berjaya, anda perlu ambil tahu tentang beberapa perkara asas untuk berniaga di laman ini.

Ikuti tips-tips dibawah:

1. Cipta akaun Facebook untuk perniagaan

Sebelum anda mula mempromosikan bisnes atau produk anda, anda perlulah mencipta akaun Facebook untuk perniagaan anda terlebih dahulu. Akaun ini akan digunakan sebagai ‘base’ anda di mana segala informasi tentang bisnes anda termasuklah nombor telefon, email, dan juga gambar produk-produk anda harus jelas untuk tatapan bakal pelanggan anda nanti. Anda juga akan menggunakan akaun ini untuk berkomunikasi dengan pelanggan anda.

2. Kenalpasti nama dan visual yang menarik dan sesuai

Berniaga di laman Facebook bukan lah seperti menjual pisang goreng di depan rumah. Jika anda sudah mendaftar akaun Facebook untuk perniagaan anda, anda perlulah berikan ia sebuah nama yang bukan saja sedap didengar atau glamour, tapi juga yang membawa maksud yang baik dan senang diingat. Jom kita ambil contoh laman dibawah:

https://www.facebook.com/sisterskopitiamTTDI/

Image 1

Kedai ini diberi nama Sisters Kopitiam kerana diurus oleh dua adik-beradik yang sangat mahir memasak. Maksud namanya jelas dan ringkas, jika anda pernah menjamu selera di sini, sudah pasti anda mengingati namanya!

Visualnya pula sangat menggiurkan. Dari pandangan kami, Sisters Kopitiam sangat terkenal dengan kekuatan produk mereka, sebagai contoh: char kuey teownya. Jadi, kebanyakan visual mereka fokus kepada menu char kuey teow mereka yang lazat dengan portionnya yang besar.

NAMA dan VISUAL merupakan nadi identiti bisnes anda, dan mampu membuatkan pelanggan-pelanggan lebih setia bersama jenama anda. Cuba elak menggunakan gambar-gambar yang diambil dari laman web Google dan gunalah gambar makanan yang diambil anda sendiri agar para pelanggan dapat menikmati keunikan yang ada pada bisnes anda.

3. Kenalpasti kehendak pelanggan dan platform di mana mereka aktif

Selepas anda sudah berpuas hati dengan nama dan visual yang diciptakan, tiba masanya untuk mengenal pasti ‘pelanggan’ anda. Siapa yang akan berminat dengan produk anda sebenarnya?

Jom kita ambil contoh kedai ini:

https://www.facebook.com/ustazshopdamansarahq/

Image 2

Pasti ramai yang kenal Kedai Ustaz yang menjual barang-barang kelengkapan elektronik yang murah ini. Kedai Ustaz ini unik kerana pengusahanya sangat faham dengan kehendak pelanggannya. Pelanggan Kedai Ustaz mahukan produk yang kebiasaannya murah. Mereka juga mahu membeli kelengkapan-kelengkapan elektronik ini di satu tempat sahaja. Jadi Kedai Ustaz mengambil peluang itu untuk menyediakan bermacam-macam jenis kelengkapan, termasuklah beberapa servis untuk memenuhi kehendak pelanggannya.

Bijak kan?

Image 3

Tetapi anda haruslah aktif dalam mencari lubuk pelanggan yang sesuai. Kami sarankan anda join kumpulan-kumpulan kejiranan seperti Shah Alam, Subang Jaya atau Wangsa Maju, ataupun kumpulan-kumpulan peniaga untuk mencari pelanggan-pelanggan yang mungkin berminat dengan produk atau servis anda.

4. Promosikan produk anda dengan cara beretika dan jujur

Dalam mempromosikan produk anda, ada adab dan etikanya. Perkara yang anda patut jauhi adalah SPAMMING, kerana bukan saja anda bakal ditendang keluar dari kumpulan tersebut, malah groupmate anda juga tidak akan berminat dengan produk anda. Cara promosi anda haruslah beretika.

Yang paling penting, anda perlulah jujur dalam bab promosi. Jika nama kumpulannya sudah terang-terang dinamakan "Bazaar Ramadhan Online Subang Jaya", peniaga-peniaga pun haruslah dari kawasan tersebut. Jika anda hanya mampu menghantar 30 bungkusan kuih tepung pelita, janganlah overpromise dan menjanjikan pelanggan dengan janji manis yang tidak kesampaian.

Image 4

Kejujuran dalam berkomunikasi adalah elemen yang sangat penting dalam bisnes untuk berjaya, jadi sebagai peniaga, ukurlah baju di badan sendiri dan hanya promosikan servis dan produk anda dengan cara yang jujur.

5. Jangan hard-sell saja

Terma hard-sell ini ditujukan kepada peniaga-peniaga yang hanya fokus kepada menjual barang. Ada masanya unutk kita menjual barang, dan ada juga masanya untuk kita bina jenama kita. Dalam membina jenama tersebut, kita haruslah juga menyediakan pengisian yang bukan direct selling, tapi boleh menghiburkan hati pelanggan-pelanggan kita.

Sebagai contoh, jika anda menjual nasi lemak, janganlah hanya posting tentang nasi lemak anda. Mungkin anda boleh kongsikan artikel tentang nasi lemak, khasiatnya ataupun cerita asal usul resepi anda. Berniaga ini bukan lah komunikasi satu hala, tapi ekosistem maklumat dan transaksi yang lebih menyeluruh.

Jika anda berminat untuk membaca inisiatif-inisiatif kejiranan yang lain, anda bolehlah terus melawati pengisian kami di www.jiran.com.my