e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Komuniti

5 Cerita Hantu Pulau Pinang yang Anda Harus Tahu

03 Nov 2020
  • Kisah paling seram di Pulau Mutiara
  • Tentu berdiri bulu roma anda!

Siapa yang tak suka dengan cerita hantu, kan? Jika kisah seperti ini kurang diminati, mustahil filem bergenre seram boleh mendapat sambutan yang hangat setiap kali ditayangkan, contohnya Hantu Kak Limah. Apa yang menarik tentang filem tersebut adalah fokus yang diberikan kepada lokasi dan penduduk setempat. Hari ini, kami akan kongsikan 5 cerita berunsurkan seram dan mistik yang paling top dari Pulau Pinang:

1. Banglo Misteri Batu Ferringhi

image 1 (1) Imej oleh Penang Travel

Jika anda selalu ke Batu Ferringhi, anda pasti sudah biasa dengan jalan bukit menuju ke lokasi tersebut yang sedikit sempit. Tidak jauh dari pangkal jalan tersebut yang juga berdekatan dengan Tanjung Bungah, tersergam sebuah banglo lama yang dibina berhadapan dengan laut.

Mengikut info warga tempatan, satu tragedi yang mengakibatkan kehilangan nyawa telah berlaku di kawasan rumah tersebut. Anak kepada pemilik banglo ini, yang juga merupakan seorang jutawan tersohor, telah ditemui mati dalam keadaan yang mengejutkan. Banyak spekulasi yang timbul ketika kes ini dilaporkan oleh media tempatan. Sehingga ke hari ini, masih tiada penyelesaian yang kukuh yang dapat merungkai kejadian penuh misteri itu.

Apa yang pasti, banglo tersebut pernah jadi tumpuan pelancong suatu ketika dahulu. Kini, ia ditinggalkan kosong tanpa penghuni tetapi masih dijaga dengan baik oleh waris jutawan tersebut.

Sumber: Newspaper SG

2. Puaka Bukit Bendera

image 2 (1) Imej oleh Berita Harian

Ada bermacam-macam cerita hantu yang pernah kami dengar tentang Bukit Bendera. Kawasan tersebut pernah menjadi kawasan penempatan Gabenor Pulau Pinang ketika zaman penjajahan British, malah kediaman rasminya yang digelar Bel Retiro kini dijadikan kafe dan tempat penginapan.

Bukit Bendera dahulunya menjadi tumpuan golongan bangsawan yang datang ke Pulau Pinang. Jadi tidak hairanlah jika lokasi ini mempunyai beberapa buah banglo dan rumah agam yang kini usang dan terbengkalai, dihiasi ranting pokok dan dedaun liar.

Beberapa orang pelancong pernah menerokai bangunan-bangunan tersebut dan mengatakan mereka terdengar suara-suara aneh yang datang dari ruang-ruang kosong di situ. Adakah suara tersebut ada hubung kait dengan bangsawan British yang pernah mendiami kawasan itu?

Source: https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/10/89309/digamit-suara-dari-banglo-tinggal-di-bukit-bendera

3. Elemen paranormal di Penang Free School

image 3 (1) Imej oleh New Straits Times

Kepada yang tidak tahu mengenai Penang Free School, sekolah ini merupakan sekolah aliran Inggeris tertua di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 1816, anak-anak Pulau Pinang daripada pelbagai generasi mesti pernah terdengar cerita-cerita hantu dari sekolah ini.

Fenomena aneh yang biasa dialami oleh penghuni asrama di sana adalah bunyi tapak kaki, ketukan pintu dan perabot bergerak. Ada juga yang pernah ternampak kelibat atau bayang-bayang yang terbang laju mengelilingi mereka, juga suara wanita meminta tolong.

Yang paling mengerikan setakat ini adalah hantu bekas pengetua sekolah tersebut yang kepalanya dikatakan telah dipenggal oleh tentera Jepun. Seram!

Source: https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/12-buah-sekolah-paling-berhantu-di-malaysia-yang-simpan-pelbagai-kisah-misteri-1.924634

4. Pengalaman mistik di Pulau Jerejak

image 4 (1) Imej oleh Meeting Booker

Tidak ramai yang mengetahui kewujudan Pulau Jerejak, mungkin kerana pulau ini mempunyai kisah silam yang agak menakutkan. Pulau Jerejak merupakan sebuah pulau kecil berdekatan dengan Pulau Pinang yang dahulunya pernah dijadikan penempatan penjara. Kebanyakan banduan yang pernah dihantar ke sini adalah penjenayah yang dibuang negeri.

Konsep pulau ini serupa dengan konsep penjara Alcatraz di New York yang tidak dikelilingi dinding atau pagar kawat berduri. Ini kerana jarak di antara Pulau Jerejak dan Pulau Pinang agak jauh. Jika mana-mana banduan berhasrat untuk melarikan diri, mustahil untuk banduan tersebut merentasi laut dan berjaya sampai ke Pulau Pinang.

Ramai pengunjung memberi gambaran yang menyeramkan selepas melawat kawasan penjara lama di situ. Ada di antara mereka yang mendengar jeritan meminta tolong, amukan, tiupan wisel dan bunyi-bunyi misteri yang lain.

5. Hantu pemenggal kepala kanak-kanak

Cerita mitos pemenggal kepala kanak-kanak ini bukan sesuatu yang baru. Dari dulu lagi kita dihantui dengan legenda si pemenggal kepala yang ingin menggunakan kepala kanak-kanak untuk mendirikan jambatan. Struktur sehebat Jambatan Pulau Pinang pun tidak boleh lari daripada mitos ini!

Nak tahu lebih lanjut lagi tentang cerita hantu pemenggal kepala ini? Jom tonton video di bawah: