e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Fakta Menarik

5 Fakta Menarik Yang Mungkin Anda Tidak Tahu Tentang Malaysia

16 Sep 2020
  • Nombor 1…biar betul?
  • Mesti ramai yang tak tahu kan?

Imej muka depan oleh Mothership

Sambutan Hari Kebangsaan ke-63 sudah selesai dan kini tiba pula giliran Hari Malaysia pada 16 September. Bendera Malaysia masih kelihatan di premis perniagaan seperti warung, kedai runcit dan stesen petrol. Jalur Gemilang turut berkibar megah di kawasan kejiranan dan taman perumahan seluruh negara. Ternyata semangat patriotik terus membara!

Untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia tahun ini, apa kata kita terokai cerita-cerita menarik tentang Malaysia yang anda tidak pernah tahu. Kita bukan saja boleh berbangga dengan fakta seperti hutan hujan tertua di dunia (Taman Negara) ataupun bunga terbesar di Asia (Rafflesia), malah ada juga cerita-cerita yang anda akan confirm terkejut!

1. Saiz Malaysia sebenarnya lebih besar daripada… United Kingdom?!

Image 2 Imej oleh Orange Smile

Seandainya anda sudah biasa berkunjung ke United Kingdom, anda tentu tahu betapa besarnya negara tersebut. Mungkin fakta yang kami ingin kongsikan ini tidak diketahui ramai — sebenarnya saiz negara kita lebih besar daripada United Kingdom!

Mengikut kajian, Malaysia mempunyai jumlah keluasan 329,847 kilometer persegi manakala United Kingdom pula hanya meliputi kawasan seluas 242,495 kilometer persegi, selepas menggabungkan Wales, England, Scotland dan keseluruhan Ireland.

Akan tetapi, bilangan penduduk di United Kingdom masih melebihi negara kita iaitu lebih dua kali ganda kerana polisi migrasi dan peluang pekerjaan di sana.

Jika anda mahu bandingkan saiz negara kita dengan negara-negara lain, cuba layari The True Size.

2. Malaysia pernah terlibat dalam operasi Black Hawk Down

Image 3 Imej oleh IMDB

Buat penggemar filem Hollywood, anda pasti pernah menonton filem Black Hawk Down arahan Ridley Scott yang menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Ewan McGregor, Eric Bana, Orlando Bloom dan Tom Hardy. Apa yang anda mungkin tidak tahu adalah penglibatan tentera Malaysia dalam operasi Black Hawk Down yang sebenar pada 1993.

Image 4 Imej oleh Astro Awani

Filem tersebut diadaptasikan daripada insiden Battle of Mogadishu di Somalia. 100 anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja telah dihantar untuk menyelamatkan 70 renjer yang terkandas selepas helikopter mereka ditembak oleh pejuang Somalia di bawah pemerintahan Mohamed Farrah Aidid. Dipimpin oleh Mejar Jeneral Datuk Md Rozi Baharom, askar-askar kita telah berjaya dalam misi menyelamat tersebut.

Mungkinkah kita perlukan filem Black Hawk Down versi Malaysia yang dibintangi oleh barisan pelakon handalan seperti Remy Ishak, Amerul Affendi, Bront Palarae dan ‘Tok Ayah’ Nam Ron sebagai Datuk Md Rozi Baharom?

3. James Bond ‘sebenar’ pernah bertapak di Malaysia

Siapa yang tak kenal James Bond, watak perisik MI6 dari England hasil nukilan penulis tersohor Ian Fleming. Bermula daripada sebuah novel, James Bond telah menghiasi layar perak dengan filem-filem bertaraf antarabangsa. Siapa sebenarnya James Bond ini dan betulkah beliau pernah berada di Malaysia?

Image 5 Imej oleh Free Malaysia Today

Menurut pakar sejarah Lynette Silver, Ian Fleming mengambil inspirasi watak James Bond daripada Denis Emerson-Elliott, rakan seperjuangannya di MI6 ketika Perang Dunia Kedua. Denis pernah dihantar ke Cameron Highlands untuk mengintip komunis yang terkenal ketika itu iaitu Chin Peng.

Denis bukan dihantar ke sana seorang diri. Beliau berpindah ke Cameron Highlands bersama keluarganya dan mendiami sebuah rumah agam yang berdekatan dengan kediaman Chin Peng. Bayangkan jika datuk dan nenek anda menetap di kejiranan tersebut; bolehlah heboh satu kampung yang mereka hidup berjiran dengan James Bond.

Tidak kiralah siapa pun yang akan memegang watak 007 yang seterusnya, Sony perlu pertimbangkan kisah ini untuk ditampilkan dalam filem James Bond yang akan datang. Aksi tembak-menembak antara James Bond dan musuh di ladang strawberi? Pasti kita semua nak tonton!

4. Harta karun tidak ternilai ‘dicuri’ daripada Kesultanan Melaka

Kita dibesarkan dengan kisah legenda lanun dan obsesi mereka dengan harta karun. Kalau anda nak tahu, Malaysia juga ada cerita tentang harta karun yang mungkin lebih menarik daripada karya filem Barat.

Image 6 Imej oleh Ancient Origins

Pernah dengar tentang Flor de la Mar? Ini bukan tajuk drama telenovela tetapi sebuah kapal layar gergasi milik kerajaan Portugis yang pernah belayar di perairan Selat Melaka ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Flor de la Mar, atau maksudnya Bunga Laut, sedang dalam perjalanan pulang ke Lisbon sekitar tahun 1512 selepas ‘mencuri’ harta Kesultanan Melaka ketika itu sebelum karam dipukul ribut dan ombak yang kuat. Khazanah yang dibawanya terkubur di dasar lautan.

Pelbagai pihak dari Malaysia, Portugal, Indonesia, Singapura dan pencari harta karun di serata dunia menghabiskan berjuta-juta ringgit hanya untuk membawa kapal ini pulang ke negara masing-masing. Sehingga hari ini, harta karun ini masih kekal di dasar laut dan nilainya kian meningkat saban hari.

5. Gelaran Tun — pangkat tertinggi di Malaysia

Mesti anda pernah dengar nama-nama tokoh yang memakai gelaran Tun. Tun merupakan gelaran yang hanya boleh diberikan kepada rakyat Malaysia; maksudnya ia gelaran yang khusus untuk negara kita.

Image 7 Imej oleh Pelajar Politeknik Nilai

Pengurniaan Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) membawa gelaran Tun kepada penerimanya. Darjah kebesaran ini sangat istimewa dan hanya terhad kepada 25 orang sahaja (tidak termasuk warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat).

Image 8 Imej oleh Alchetron

Kebanyakan penyandang anugerah ini adalah para pemimpin yang telah banyak berbakti kepada negara seperti Perdana Menteri dan tokoh-tokoh lain. Yang menariknya, jika seorang lelaki digelar ‘Tun’, maka isterinya akan menyandang gelaran ‘Toh Puan’.

Banyak fakta menarik tentang negara kita, kan? Sebab itulah kita perlu memainkan peranan sebagai ahli masyarakat yang sentiasa mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara kita.

Anda tak perlu jadi askar atau polis untuk menjaga keamanan. Hanya dengan menjadi jiran yang baik dan mengamalkan prinsip Rukun Negara pun sudah memadai. Sekiranya anda mahu dapatkan banyak lagi cerita menarik tentang tanah air kita, teruskan layari jiran.com.my! Ikuti kami di Facebook dan Instagram untuk mengetahui perihal kejiranan anda.