e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Fakta Menarik

5 Fakta Tentang Chow Kit Yang Anda Perlu Tahu

29 Oct 2020
  • Konsert terbesar di kawasan ini?
  • Siapakah Chow Kit yang sebenar?

Imej muka depan oleh Vincent Cheok

Chow Kit yang terletak di Kuala Lumpur menyimpan seribu satu kisah dan sejarah. Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan di ibu kota, Chow Kit tersohor dengan seleksi tempat makan yang menyediakan bermacam jenis juadah yang menepati selera pelbagai kaum.

Anda mesti pernah dengar atau lawati kawasan ini, tapi adakah anda benar-benar tahu cerita yang tersembunyi di sebalik kawasan bersejarah ini? Jom baca 5 fakta menarik yang anda perlu tahu tentang Chow Kit!

1. Gerai Ramly Burger pertama di Chow Kit

Siapa yang tak kenal jenama Ramly Burger, kan? Syarikat pengeluar daging kisar inilah yang mempopularkan bisnes burger jalanan sejak zaman 1980-an. Sebelum itu, hidangan burger hanya boleh didapati di restoran makanan segera atau restoran western sekitar Kuala Lumpur. Tahukah anda bahawa gerai Ramly Burger yang pertama didirikan di Chow Kit?

image 2 Imej oleh MauKerja

Rumah pengasasnya terletak di Jalan Haji Hussein bersebelahan dengan Jalan Chow Kit yang kini didominasi oleh kedai menjual pakaian terpakai. Di sinilah bermulanya empayar perniagaan Dato’ Ramly Mokni yang sekarang ini sudah menembusi pasaran antarabangsa.

2. Konsert terbesar di Malaysia

Antara penyanyi dan kugiran dari luar negara yang telah melawat Malaysia sebagai lokasi jelajah album mereka adalah Raja Pop Michael Jackson, artis kontemporari Taylor Swift dan kugiran-kugiran yang pernah mendapat pengiktirafan Grammy seperti The Killers, Smashing Pumpkins dan My Chemical Romance. Walau bagaimanapun, tiada satu pun nama-nama besar di atas yang mampu mengalahkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang berjaya mengumpulkan seramai 100,000 penonton di konsertnya yang berlangsung di Chow Kit.

image 3 Imej oleh Wikipedia

100,000 orang di Chow Kit? Memang hebat! Pada tahun 1986, di sinilah Sudirman mendendangkan lagu-lagu hits beliau termasuklah lagu yang ditujukan kepada lokasi tersebut: ‘Chow Kit Road’. Konsert percuma ini telah mendapat sambutan luar biasa, malah dihadiri lebih ramai peminat berbanding dengan jumlah penonton konsert Michael Jackson yang pernah diadakan di negara ini .

3. Yut Kee — kedai makan pra-merdeka

Jika anda sudah biasa dengan kawasan Chow Kit, anda pasti familiar dengan kedai bernama Yut Kee yang terletak bersebelahan dengan Hotel Stripes di Jalan Kamunting. Kedai yang telah menjangkau usia lebih 90 tahun ini telah menyediakan makanan buat lebih sejuta pelanggan dalam tempoh tersebut. Ramainya!

image 4 Imej oleh Venoth's Blog

Kedai ini cukup terkenal sejak zaman pra-merdeka lagi, ketika pemiliknya yang bernama Jack Lee masih muda. Ia menjadi sebutan ramai di kalangan peminat masakan Hainan dan merupakan antara restoran popular di kawasan Chow Kit.

4. Lokasi asal Rumah Degil terletak di Chow Kit

Biasanya kita dengar tentang manusia yang degil, tetapi di kawasan Chow Kit rumah pun ‘degil’! Dibina pada tahun 1926, Rumah Degil merupakan struktur rumah tradisional Melayu terakhir yang masih kukuh berdiri di Chow Kit sehingga pertengahan 2000-an. Isu Rumah Degil ini pernah mendapat perhatian ramai kerana pemiliknya yang dikenali sebagai Nenek Norma enggan berpindah ke tempat lain walaupun rumahnya dikelilingi bangunan-bangunan baharu.

image 5 Imej oleh Nandros

Kini, rumah yang sarat dengan nostalgia silam ini telah dipindahkan ke perkarangan Balai Seni Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan diberi nama Rumah Pusaka Chow Kit.

5. Siapa Chow Kit sebenarnya

Loke Chow Kit dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1864. Setelah berpindah ke Kuala Lumpur, Chow Kit pernah bekerja dengan Loke Yew, seorang ahli perniagaan yang sangat terkenal pada masa itu dan seterusnya membuka syarikat sendiri atas nama Chow Kit & Co.

image 6 Imej oleh AirAsia

Tokoh perniagaan ini telah banyak berjasa kepada masyarakat tempatan. Beliau membuka banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai, terutama dalam industri penghasilan produk timah.

Jika anda mahu baca lebih banyak fakta menarik tentang kawasan kejiranan di Malaysia, bolehlah follow IG kami di @kitajiran! Mana tahu suatu hari nanti, kami akan paparkan kisah kejiranan anda pula.