e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Nostalgia

5 Kartun Klasik Yang Mengembalikan Memori Zaman Kanak-Kanak

17 Dec 2020
  • Nombor 5 kegemaran kami!
  • Berlalu sudah zaman kegemilangan ini

Ingat lagi tak zaman ‘kanak-kanak riang’ dulu? Kita sanggup bangun awal pagi pada hujung minggu hanya untuk menonton siri kartun kegemaran di kaca TV. Ada juga yang turut sama menyanyikan lagu pembukaan rancangan animasi popular sambil meniru aksi watak kartun kesayangan mereka. Siapa pernah buat macam tu, kita geng!

Namun zaman itu sudah berlalu pergi. Kanak-kanak sekarang boleh mengakses kartun-kartun pilihan mereka melalui aplikasi telefon pintar, YouTube atau platform streaming yang lain. Kebanyakan kartun era digital sudah berubah kepada bentuk animasi 3D seperti Upin & Ipin, BoBoiBoy, Ejen Ali dan sebagainya. Malah, generasi hari ini bebas untuk menentukan durasi yang mereka inginkan dan selalunya memilih untuk skip lagu pembukaan kartun kegemaran mereka. Tak feel la macam tu, dik!

Sebuah tweet daripada @zulakmalxx mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil.

Mengambil ilham daripada tweet ini, kami sediakan sebuah senarai kartun klasik untuk dikongsikan dengan anda. Jom ikut bernostalgia bersama kami!

1. Dragon Ball

image 1 Imej oleh: Mepixels

Dragon Ball memang menjadi kegilaan kanak-kanak lelaki tahun 1990-an. Laungan “Kamehameha” sewaktu bermain di depan rumah pada petang hari sudah menjadi kebiasaan di kawasan kejiranan waktu itu.

Kartun ini berkisar tentang seorang anak muda bernama Goku yang membantu rakannya Bulma mencari mutiara naga yang mampu menunaikan segala yang mereka hajati. Bermula dengan kisah Goku semasa bayi sehinggalah detik beliau bertukar warna rambut, siri kartun ini telah memberikan impak yang ketara kepada kehidupan 90s kids — mengajar mereka untuk sentiasa kuat dan tidak mengaku kalah dalam apa jua situasi.

Apa cerita sekarang: Goku dan Vegeta kini membawa semangat kepahlawanan mereka ke laman kosmik dalam pertempuran melawan pihak musuh dari galaksi yang lain.

2. Crayon Shin-chan

Siri kartun Crayon Shin-chan mengisahkan gelagat seorang budak lelaki bernama Shin-chan bersama keluarganya, keluarga Nohara. Siri ini dikatakan menggalakkan kanak-kanak menjadi malas dan pengotor, walhal buat anak-anak muda ketika itu cerita ini hanyalah hiburan semata-mata.

image 2 Imej oleh: Shin Chan Wall

Buat generasi yang sempat menonton kartun ini, watak Shin-chan sangatlah menjengkelkan dan lucu pada masa yang sama.

Apa cerita sekarang: Sebuah syarikat animasi di Jepun telah menghasilkan spin-off kepada siri ini. Ia memberi lebih fokus kepada anjing peliharaan keluarga tersebut bernama Shiro. Kini, Shiro memegang watak adiwira yang menyelamatkan Tokyo daripada pelbagai bentuk ancaman.

3. Tom and Jerry

Siapa yang tak kenal kartun Tom and Jerry? Diterbitkan oleh MGM Cartoons, siri ini cukup ikonik. Pada zaman kegemilangannya, ia pernah memenangi tujuh anugerah Academy Awards dan memberi saingan yang sengit kepada siri kartun Warner Brothers, Looney Tunes.

image 3 Imej oleh: Wikipedia

Kini, kartun ini tidaklah sepopular siri animasi yang lain. Tapi untuk penonton tegarnya, Tom and Jerry akan selamanya mengingatkan mereka akan saat-saat indah di zaman kanak-kanak.

Apa cerita sekarang: Baru-baru ini sebuah trailer telah mempromosikan filem Tom and Jerry terbaharu ala Space Jam di mana watak-watak kartun tersebut wujud dalam dunia yang nyata: https://www.youtube.com/watch?v=KW8fGRTFWKc

4. Keluang Man

“Dia…bagai seorang pahlawan!” Lagu tema siri animasi Keluang Man masih terngiang-ngiang di telinga para peminat walaupun telah memasuki alam dewasa. Popular pada tahun 1996 sehingga 1998, watak Keluang Man tidak mempunyai kuasa luar biasa seperti kebanyakan adiwira yang lain. Siri ini memaparkan kisah Borhan, seorang pesakit mental di Hospital Bahagia Tampoi yang bertukar menjadi Keluang Man untuk menentang penjenayah yang bermaharajalela di Metropolitan Tampoi.

image 4 Imej oleh: Toluna

Dicipta oleh Allahyarham Kamn Ismail, pelopor industri animasi di Malaysia, kartun ini menjadi benchmark kepada golongan artis dan pelukis tempatan. Sehingga kini, hanya Cicakman yang dapat memberi impak yang lebih kurang sama dengan kartun ini.

Apa cerita sekarang: Ada desas desus bahawa kartun ini bakal difilemkan. Pengarah filem bersiri XX Ray, Aziz M Osman mengatakan ia masih dalam perancangan.

5. Doraemon

Rakyat Malaysia memang sukakan kucing. Sebab itulah filem kartun bersiri Doraemon pernah menjadi fenomena di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Doraemon merupakan seekor kucing robotik yang telah dihantar dari abad ke-22 untuk mendampingi seorang kanak-kanak lelaki bernama Nobita. Penerimaan siri ini sangat baik di Malaysia. Watak Doraemon serta rakan-rakannya iaitu Shizuka, Suneo dan Gian sudah menjadi sebahagian daripada budaya pop di Malaysia — sehinggakan menjadi inspirasi sebuah lagu gubahan artis tempatan.

image 5 Imej oleh: Pixabay

Apa cerita sekarang: Syarikat yang memiliki francais Doraemon baru sahaja mengeluarkan sebuah filem animasi bertajuk Stand by Me Doraemon 2, sambungan kepada filem Stand by Me Doraemon yang dirilis pada tahun 2014.

Sukakan artikel-artikel nostalgik seperti ini? Pastikan ada follow kami di Instagram dengan instahandle @kitajiran!