e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Raya

5 Sambutan Aidilfitri Di Seluruh Dunia

28 May 2020
  • Meraikan bulan Syawal dengan budaya yang berbeza
  • Terkenangkan memori menyambut hari raya di kampung

Bila radio memainkan lagu ‘Dendang Perantau’ saja, terus! kita terkenangkan memori menyambut hari raya di kampung. Tahun ini sedikit berbeza kerana kita terpaksa akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kebaikan kita semua. Akan tetapi, memori-memori inilah yang menjadikan Aidilfitri sebuah perayaan yang bermakna dalam kehidupan kita semua.

Kita mungkin sudah biasa dengan cara orang Malaysia menyambut Aidilfitri, tapi pernah tak anda tertanya bagaimana umat islam di negara lain menyambutnya? Adakah mereka juga bakal menikmati rendang tok seperti kita?

Mari kita tengok bagaimana umat Islam lain menyambut hari yang mulia itu!

1. Aidilfitri di Arab Saudi

Muslim Raya 1 Source : The Rahnuma Daily

Di Arab Saudi, Aidilfitri hanya disambut dalam masa satu hari sahaja, iaitu 1 Syawal. Pada hari tersebut, warga Arab Saudi akan pulang ke kampung halaman belah lelaki dan menyambut Aidilfitri dengan keenakan Mugalgal, masakan kambing yang menjadi ‘rendang’ mereka. Perayaan ini juga tidak akan lengkap tanpa Debyazah, pencuci mulut kekacang dan juga duit raya versi Arab Saudi - 2 aspek yang amat digemari oleh kanak-kanak di sana.

Walaubagaimanapun, kebanyakan warga Saudi tidak menyambut Aidilfitri di pagi raya seperti kita. Selalunya mereka menyambutnya pada waktu tengah hari atau malam.

2. Aidilfitri di Indonesia

Aidilfitri di Indonesia sebenarnya tidak jauh beza dengan konsep perayaan ini di Malaysia. Kebanyakan kaum Melayu Islam di Malaysia memang ‘serumpun’ dengan kaum-kaum yang majoritinya beragama islam di sana. Yang menarik tentang Indonesia adalah kepelbagaian cara dalam menyambut perayaan ini. Bagi orang Jawa, menu pentingnya adalah ketupat bersama dengan Ayam Ungkep, manakala untuk orang Padang pula Rendang Padang, yang menjadi inspirasi kepada variasi rendang di Malaysia.

Muslim Raya 3 Source : RojakDaily

Jika kita berbaju Melayu, rakyat Indonesia pula menggayakan berbagai jenis baju raya mereka tersendiri mengikut tradisi kaum masing-masing. Ramai juga dikalangan warga Indonesia yang akan menggayakan pakaian berwarna putih bagi melambangkan kesucian dari dosa (selepas Ramadan).

3. Aidilfitri di United Kingdom

Walaupun United Kingdom dikenali sebagai negara Barat, ramai di antara penduduk mereka merupakan saudara islam kita. Sambutan Aidilfitri di UK juga selalunya meriah. Tahun lepas, Datuk Bandar London Sadiq Khan, yang juga seorang muslim, telah mengaturkan sebuah majlis perayaan Aidilfitri secara besar-besaran di Trafalgar Square yang dikunjungi oleh ribuan masyarakat di London.

Makanan Aidilfitri di UK banyak diinspirasikan dari makanan India dan Pakistan seperti Shahi Briyani, Sheer Khurma dan Haleem. https://www.youtube.com/watch?time_continue=128&v=OBQaQhYdhew&feature=emb_logo

4. Aidilfitri di Turki

Dipanggil juga Seker Bayrami, perayaan Aidilfitri telah disambut oleh warga Turki sejak zaman Uthmaniyyah lagi. Warga Turki juga seperti kita: selalunya mereka akan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama kaum keluarga. Mungkin sedikit berbeza kerana mereka tiada dendangan lagu raya seperti ‘Balik Kampung’ oleh Sudirman dalam versi Turki.

Muslim Raya 5 Source : Hurriyet Daily News

Hidangan-hidangan tradisi mereka seperti Baklava, Kunefe dan juga Kofta sangat lazat dan bukanlah hidangan asing bagi warga Malaysia yang gemar dengan masakan Timur Tengah.

5. Aidilfitri di China

Seperti rakyat Malaysia, kaum Hui dari negeri Gansu juga menyambut Aidilfitri dengan pesta makanan dan muzik. Keturunan penduduk Gansu kebanyakkannya merupakan para peniaga di Laluan Sutera (Silk Road) yang cukup dikenali dalam sejarah peradaban manusia. Di Laluan Sutera tersebutlah Islam telah berkembang melalui pedagang-pedagang dari Timur Tengah dan warga muallaf dari Xinjiang.

Mereka juga popular dengan mee tarik daging lembu yang menjadi santapan harian mereka dan juga ketika perayaan seperti hari raya.

Beginilah cara bulan Syawal disambut oleh saudara seagama kita di merata dunia.

Bagaimanakah pula raya anda tahun ini bersama jiran tetangga serta komuniti setempat?