e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Kisah Jiran

Abang ‘Punk’ Yang Menjaga Anak-Anak Jiran Anda Dari Kancah Dadah

22 Jun 2020
  • Bersama mengatasi pengaruh dadah
  • Keperihatinan Abang Punk terhadap anak-anak jiran terdekat

Terma ‘punk’ ini kalau kita sebut di depan makcik pakcik, mesti tanggapannya buruk. Golongan ‘punk’ dianggap kaki gaduh, makan sampah dan sebagainnya. Ini semua hanyalah tanggapan semata-mata kerana punk itu merupakan semangat untuk memberontak. Khai Aziz, atau Ein, menggunakan semangat tersebut untuk melawan budaya dan pengaruh dadah dalam masyarakat.

Punk 1

“Saya dah aktif hampir 25 tahun lepas. Dari scene skateboard ke underground ke hardcore punk. Bila saya mula berjinak dengan hardcore punk itulah yang saya terjumpa straight edge. Fahaman straight edge promosikan hidup bebas dadah dan alkohol yang betul-betul menarik minat saya - dan saya terus terjebak disitu. Saya yakin bahawa cara pembawaan drug free ini mampu menarik minat anak muda untuk hidup tanpa dadah.”

Ein terkenal dengan karier muziknya bersama kugiran hardcore ‘Second Combat’; salah satu penaung untuk muzik berat di Malaysia. Dengan semangat straight edgenya, beliau menubuhkan Drug Free Youth, sebuah NGO yang beroperasi untuk mendidik anak-anak muda agar tidak terjebak ke dalam kancah dadah dengan memperkenalkan gaya hidup yang seronok.

Beliau memulakan perjuangan ini apabila ramai dari kawan-kawannya termasuklah ahli keluarganya sendiri, terlibat dengan dadah. Dari situ, Ein tahu beliau perlu membuat sesuatu untuk ‘membersihkan’ masyarakat kita dari najis tersebut.

“Apa yang drive saya adalah family. Mostly ramai kawan-kawan and family ambil drugs. Kawan-kawan banyak meninggal dunia. Saya nak Malaysia menjadi tempat yang lebih selamat diduduki.”

Mungkin sebab itulah strategi NGOnya untuk seakan-akan menjadi seorang role model atau abang yang dekat kepada anak-anak muda. Dengan era teknologi komunikasi yang canggih, golongan muda lebih tertarik untuk mendengar nasihat ‘abang-abang’ dari seorang professional atau ibu bapa mereka. Sebagai seorang jiran, kita juga boleh memainkan peranan tersebut.

“Penting sangat jiran-jiran untuk mengambil tahu tentang anak-anak jiran yang lain. Sebab kita dah tak ambil dah tau pasal satu sama lain,” katanya. Jika kita selalu ternampak anak-anak jiran kita bermain di luar halaman mereka, mungkin boleh kenali mereka agar mereka juga boleh melihat kita seperti ‘abang’ yang mereka boleh contohi.

Drug Free Youth Association atau kini bergelar Drug Free Association (DFA) bermula dengan kawasan kejiranan di Klang, tapi kini sudah dikenali oleh badan-badan komuniti antarabangsa seperti Drug Free World dan juga agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan.

Sehingga kini, DFA telah pun melawat lebih 300 sekolah di seluruh Malaysia untuk menyebarkan dakwah anti-dadah dengan keunikan mereka sendiri sejak penubuhan mereka. Progam-program mereka termasuklah program ‘mengenal diri’ untuk para remaja, program komuniti tempatan seperti membersihkan kawasan setempat dan juga penglibatan artis-artis tempatan seperti Radhi OAG, Nas Plague of Happiness dan juga kembar Sekumpulan Orang Gila.

Walaubagaimanapun, penyelesaian gejala dadah ini bermula di rumah.

“Nasihat saya kepada ibu-bapa adalah berilah tumpuan kepada anak-anak. Ketahuilah siapa mereka, dan dengan siapa mereka bergaul.” Ein bercakap mengikut pengalaman. Ibubapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak mereka, walau sesibuk manapun mereka dengan hal-hal kerja. Anak-anak yang dibiarkan bersendirian mempunyai potensi yang lebih tinggi untuk terlibat dengan jenayah dadah.

Dari kejiranan ‘punk’ di Klang ke mata dunia, Ein berjaya membuktikan perasaan kasih dan sayang sesama jiran tak kiralah warna kulit dan kepercayaan boleh membantu generasi muda terus cemerlang tanpa sebarang pengaruh dari dadah dan budayanya. Inilah sebuah hadiah yang beliau usahakan agar kejiranan di kawasan rumah anda lebih selamat dan terjamin.

Jenayah di kawasan kejiranan masih wujud sehingga ke hari ini, jadi kita sebagai ahli masyarakat perlulah bersama-sama dengan Ein membanteras jenayah kejiranan untuk masa depan anak-anak kita. Di dalam warga Jiran ini, penting bagi kami saling mengingat kan bahawa semua ahli masyarakat tidak kiralah jika kita seorang guru, anggota polis, usahawan ataupun seorang selebriti perlulah memainkan peranan masing-masing dalam membentuk persekitaran komuniti kita supaya menjadi lebih sihat dan selamat untuk semua.

Mungkin satu hari nanti, kita tidak perlu terlalu risau untuk membiarkan anak-anak kita bermain di taman bersama rakan-rakan seumur mereka.