e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Komuniti

Adik-Beradik ini Mengutip Pelitup Muka Terbuang di Kawasan Kejiranan Mereka

14 Oct 2020
  • Orang Seberang Perai memang boleh!
  • Berjaya menggalakkan orang ramai untuk lebih prihatin

Dalam melindungi diri kita daripada ancaman wabak COVID-19, pemakaian pelitup muka dengan betul dan membuangnya di tempat yang sepatutnya haruslah menjadi amalan norma baharu kita.

Malangnya, ada segelintir masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata sehinggakan pelitup muka yang sudah digunakan pun tidak dibuang dengan cara yang baik dan selamat. Kelompok ini langsung tidak mempedulikan kesejahteraan awam, lantas mencemarkan pula alam sekitar. Mujurlah masih ada pihak yang ingin membendung gejala sebegini, seperti adik-beradik yang ingin kami paparkan ini.

image 1

Vasugi Murasami dari Seberang Perai, Pulau Pinang mula membuat operasi membersihkan kawasan setempatnya pada 6 September. Ketika itu, banyak pelitup muka dibuang di tepi jalan, perhentian bas, longkang dan sebagainya. Setelah Vasugi bersama adik-beradiknya bertindak melakukan aktiviti pembersihan, kawasan tersebut tampak lebih kemas dan terjaga daripada biasa.

image 2 (1)

Yang menariknya, usaha murni mereka mendapat sambutan yang hangat daripada netizen dan mendorong lebih ramai orang untuk mengambil inisiatif membersihkan kawasan rumah mereka, termasuklah anak-anak muda dan kanak-kanak.

image 3

Amalan mulia Vasugi dan keluarganya telah memberi contoh yang baik bukan sahaja kepada jiran tetangga tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

image 4

Sambil kita bersama-sama menangani COVID-19, ingatlah bahawa kita juga sedang berdepan dengan ujian pemanasan global. Tabiat membuang sampah dengan cara yang salah, contohnya mencampakkan pelitup muka terpakai di atas jalan boleh memberikan impak yang ketara kepada persekitaran kita.

image 5

Menurut Dr Theng Lee Chong, seorang pakar dalam proses pembuangan sampah, sebanyak 10 juta pelitup muka pakai buang digunakan di Malaysia setiap hari. Angka tersebut kian meningkat sejak pihak kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka beberapa bulan yang lepas.

Pertambahan angka tersebut harus dijadikan peringatan penting buat semua rakyat Malaysia. Pelitup muka hendaklah dibuang di tempat yang sewajarnya kerana plastik pelitup muka tersebut boleh memakan masa 450 tahun untuk dilupuskan sepenuhnya.

Tahniah kepada Vasugi dan keluarga kerana memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia agar terus prihatin terhadap alam sekitar dan kejiranan masing-masing.

Berminat dengan cerita-cerita seperti ini? Jangan lupa ikuti kami di Facebook dan Instagram hari ini!