e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
#ShopLokal

FUNDING SOCIETIES DAN TMIM BEKERJASAMA BAGI MENYEDIAKAN CAPAIAN KEWANGAN DIGITAL DAN MENYOKONG MSME

22 Oct 2020
  • Bantuan kewangan daripada Funding Societies untuk MSME tempatan
  • Membuka pintu buat 70,000 MSME di bawah senaraian Yellow Pages
  • Bantuan kewangan daripada Funding Societies untuk MSME tempatan yang tercicir dengan memanfaatkan penyelesaian pengiklanan digital Yellow Pages untuk membantu pengembangan dan kelestarian perniagaan semasa tempoh yang mencabar ini.
  • Menyediakan pilihan kewangan yang penting kepada MSME sedia ada dan turut menjadi batu loncatan bagi usahawan yang baru bermula.
  • Kerjasama ini bakal merancakkan ekonomi digital, memenuhi misi Funding Societies bagi memperbaiki kelangsungan MSME dan peranan TM sebagai penggerak Digital Malaysia.
  • MSME yang berminat boleh memohon bantuan kewangan tersebut daripada Funding Societies di laman web Yellow Pages.

Funding Societies Malaysia, platform pembiayaan rakan setara (P2P) terbesar di negara ini dan Asia Tenggara, baru-baru ini berkolaborasi dengan TM Info-Media Sdn Bhd (TMIM), anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan (MSME) yang tercicir (underserved) dan tidak dibantu (unserved). Misi ini bermula rancak dengan memanfaatkan platform digital Yellow Pages, produk oleh TMIM dan merupakan direktori perniagaan terkemuka di Malaysia.

Kerjasama ini akan menyediakan MSME dengan akses yang lebih meluas kepada penyelesaian-penyelesaian pembiayaan digital. Penyelesaian ini akan membantu pengembangan perniagaan serta memastikan kelesterian MSME. Ia menyediakan pilihan pembiayaan yang penting untuk MSME sedia ada dan menjadi batu loncatan kepada para usahawan yang baru bermula. Kolaborasi bersinergi ini adalah langkah penting ke arah misi Funding Societies bagi memperbaiki kelangsungan MSMEs dan peranan TM sebagai penggerak Digital Malaysia.

Ia turut membuka pintu buat sejumlah 70,000 MSME di bawah senaraian Yellow Pages kepada pelbagai produk pembiayaan yang boleh diubahsuai. Dengan sasaran untuk membawakan revolusi yang mengubah cara perniagaan kepada para pelanggan mereka, Yellow Pages Malaysia bukanlah entiti asing dalam merealisasikan transformasi inovatif agar kekal relevan dalam era digital.

Wong Kah Meng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Funding Societies Malaysia, mengulas mengenai kerjasama tersebut: “Pembiayaan digital semakin menjadi kelaziman di Malaysia dengan keupayaannya mengetengahkan keterangkuman pembiayaan (financial inclusion), terutamanya yang memberi manfaat kepada MSME yang mungkin tercicir atau tidak mendapat bantuan daripada sumber kewangan tradisional dengan menawarkan capaian yang mudah kepada penyelesaian-penyelesaian kewangan. Selaku platform kewangan rakan setara P2P terbesar di rantau ini, kerjasama kami dengan TMIM bakal memacu capaian kami dalam menyediakan bantuan kewangan yang amat diperlukan oleh pemain MSME tempatan. Ini amat bersesuaian pada masa kini kerana MSME adalah antara kumpulan yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19.”

Sementara itu, Sean Koh Chin Soon, Ketua Pegawai Eksekutif, TMIM berkata: “Platform Yellow Pages Malaysia kami telah berevolusi daripada edisi bercetak kepada digital, laman web yang interaktif dan aplikasi mudah alih, dan ini merupakan cara yang tepat untuk menghubungkan para MSME di luar sana dengan sumber-sumber yang mereka perlukan. Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Funding Societies Malaysia dalam memperkasakan perniagaan tempatan menerusi penyelesaian kewangan. Ini membolehkan mereka mengembangkan potensi mereka dengan lebih jauh seterusnya menyokong kelestarian perniagaan, terutamanya semasa pandemik Covid-19. Ini juga selari dengan usaha Kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan melonjakkan perniagaan tempatan. Inisiatif ini amat bertepatan dengan peranan unik Kumpulan TM dalam pembinaan negara dan sebagai penggerak aspirasi Negara Digital Malaysia.”

Pembiayaan P2P ini merupakan penyelesaian pembiayaan digital yang kian mendapat tempat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cara pendekatannya yang moden dan proses yang pantas dapat menyelesaikan kerumitan pembiayaan tradisional. Faktor-faktor seperti keperluan cagaran, pelbagai dokumentasi, tempoh masa pusingan yang perlahan dan syarat-syarat minimum yang tinggi, semuanya menjadi penghalang untuk perniagaan kecil mendapatkan bantuan kewangan segera. Menerusi kerjasama ini, perniagaan yang berkelayakan di platform Yellow Pages boleh memohon bantuan kewangan daripada Funding Societies tanpa perlu berkunjung ke mana-mana cawangan fizikal.

MSME yang berkelayakan boleh menikmati manfaat kewangan daripada Funding Societies seperti berikut:

  • Potongan diskaun yuran pemprosesan
  • Kemasukan wang segera dengan kelulusan pantas dalam tempoh lima (5) hari bekerja
  • Tempoh yang fleksibel sehingga 18 bulan
  • Tiada cagaran diperlukan
  • Keperluan dokumen yang minimum

MSME yang berminat boleh memohon bantuan kewangan daripada Funding Societies di laman web Yellow Pages bermula 5 Oktober 2020. Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama di antara Funding Societies dan TMIM, sila layari yellowpages.my/fundingsocieties/.

Mengenai Funding Socities Malaysia

Dilancarkan pada awal tahun 2017, Funding Societies Malaysia merupakan platform pembiayaan P2P pertama dan terbesar di Malaysia. Berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti, platform pembiayaan P2P ini menghubungkan PKS dengan para pelabur menerusi platform pasaran dalam talian, justeru meluaskan akses kepada pembiayaan untuk PKS.

Dengan melabur dalam PKS, para pelabur boleh mendapat pulangan dengan risiko yang boleh diubah. Manakala PKS mendapat akses kepada bantuan kewangan jangka pendek untuk mengembangkan perniagaan menerusi proses dalam talian yang pantas dan mudah. Selain itu, PKS mendapat menfaat dengan tidak perlu menyediakan cagaran untuk bantuan kewangan, manakala kos faedah dapat dikurangkan disebabkan tempoh pembiayaan jangka pendek.

Funding Societies juga beroperasi di Singapura dan Indonesia (dikenali sebagai Modalku), menjadikannya sebagai platform pembiayaan digital terbesar di Asia Tenggara. Funding Societies dan Modalku telah meraih modal lebih RM5 billion untuk PKS di seluruh Asia Tenggara sejak penubuhannya. Untuk maklumat lanjut mengenai Funding Societies Malaysia, sila layari https://fundingsocieties.com.my.

Mengenai TMIM

TM Info-Media Sdn Bhd membawakan Yellow Pages Malaysia, platform sehenti bagi memenuhi keperluan pengiklanan dan penerbitan anda! Dengan jenama yang sentiasa dekat di hati pelanggan melebih satu abad, Yellow Pages Malaysia berbangga dengan kedudukannya sebagai pelopor direktori perniagaan tempatan yang menyatukan komuniti dan perniagaan.

Dalam kami terus berkembang kukuh, kami telah menyuntik sentuhan kreativiti dan inovasi. Hasilnya, platform pengiklanan ini telah diperluaskan daripada edisi bercetak kepada digital, daripada laman web interaktif kepada aplikasi mudah alih dan kini kami disokong sepenuhya oleh Goodle Adwords, WiFi@unifi dan banyak lagi Kombinasi yang hebat ini akan melonjakkan jenama anda ke hadapan dan terus ke sasaran pasaran anda.

Layari http://tmim.my untuk penyelesaian pengiklanan yang pastinya menepati keperluan perniagaan anda.