e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
#ShopLokal

Geran Padanan Pendigitalan PKS: Membawa Perniagaan Kecil ke Alam Maya

20 Jul 2020
  • Masa depan kita terletak di ruang Internet
  • Inisiatif untuk perusahaan kecil dan sederhana

Imej muka depan oleh The Star

Sejak bermulanya wabak COVID-19, kerajaan Malaysia telah meningkatkan inisiatif untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan lonjakan digital dalam norma baharu. Bagi menjayakan misi tersebut, Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan Geran Padanan Pendigitalan PKS dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional, SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

MDEC Imej oleh Kryptopos

Geran ini ditawarkan oleh kerajaan kepada pemilik PKS yang masih beroperasi secara manual untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka. Dengan insentif perniagaan ini, para pengusaha PKS kini boleh mendapatkan perkhidmatan digitalisasi seperti membuat laman web dan menambah perkhidmatan e-dagang demi memajukan lagi perniagaan mereka.

Usaha transformasi pendigitalan sememangnya diperlukan kerana terdapat banyak PKS yang sedang mencuba sedaya upaya untuk bertahan dalam tempoh yang mencabar ini. Malah, sektor perniagaan secara amnya telah mengambil langkah untuk beroperasi secara digital dalam usaha memperkukuhkan operasi serta pendapatan syarikat. Dalam ekonomi pasca COVID-19, usahawan PKS perlu meluaskan sasaran pemasaran supaya mereka terus teguh dalam merintangi kegawatan dan cabaran akibat penularan wabak tersebut.

SME businesses Imej oleh Yellow Pages

Bagi membolehkan pengusaha PKS mempromosikan perniagaan mereka di dunia digital, geran pendigitalan PKS menawarkan bantuan sebanyak 50% atau maksimum RM5,000 daripada jumlah invois untuk membuat laman web. Geran ini juga memantapkan lagi proses pendigitalan perniagaan dengan perkhidmatan e-dagang, Sistem Jualan Elektronik (e-POS), Perencanaan Sumber Daya Perusahaan (ERP), Sistem Penggajian Sumber Manusia (CRM), Pemasaran Digital (contohnya iklan digital di Facebook atau Google) dan produk operasi digital yang lain di bawah panel yang disenaraikan oleh MDEC.

Customers shopping locally Imej oleh NST

Fungsi geran ini adalah untuk membuka peluang kepada PKS untuk menguasai beberapa ruang digital yang boleh memperkuatkan visi perniagaan mereka. Buat peniaga kecil yang kurang arif dengan pemasaran digital, inilah masa yang sesuai untuk mendalami bidang tersebut kerana ia dapat memberikan anda akses kepada pelanggan yang berpotensi untuk menggunakan khidmat anda. Pelan pemasaran digital inilah yang mampu untuk mengembangkan lagi perniagaan anda di alam maya. Tanpa strategi pemasaran digital yang sesuai, bisnes anda mungkin dianggap tidak lagi relevan dan gagal untuk terus berdaya saing.

EPOS Imej oleh Mobile Transaction

Satu lagi manfaat yang bakal diterima oleh PKS adalah sistem e-POS, atau nama panjangnya Electronic Point of Sales System. Sejak pandemik COVID-19 melanda, ramai pihak termasuklah pihak kerajaan sudah pun menggalakkan rakyat untuk menggunakan sistem pembayaran tanpa sentuhan. Dalam persediaan menghadapi norma baharu, pemilik bisnes haruslah peka dan prihatin terhadap sensitiviti berkaitan dengan kebersihan, kesihatan dan keselamatan pengguna. Justeru, dalam konteks krisis COVID-19 ini, e-POS memberikan jalan penyelesaian yang berkesan dan mesra pelanggan buat peniaga PKS.

Tidak lupa juga, proses perolehan yang selalunya dijalankan secara fizikal akan menjadi lebih mudah jika dilakukan secara digital. Geran ini memperkenalkan e-procurement untuk membantu pemilik perniagaan kecil seperti anda melaksanakan proses tersebut dengan cekap.

MDEC Imej oleh Berita Harian

Syarikat PKS yang ingin memohon Geran Padanan Pendigitalan PKS mestilah dimiliki oleh sekurang-kurangnya 60% warganegara Malaysia dan beroperasi dalam jangka masa lebih satu tahun. Semak kriteria-kriteria kelayakan yang lain di laman web ini.

Anda berminat dengan digitalisasi dan ingin menceburi urus niaga dalam talian? Layari yellowpages.my dan terokai bermacam-macam jenis kepakaran di medan digital untuk meningkatkan prestasi perniagaan anda.