e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Komuniti

Kewujudan Air Terjun Pelangi: Rahsia Warga Pahang Terbongkar

30 Oct 2020
  • Seperti dalam filem Hollywood
  • Di luar negara? Salah, di Kuantan je!

Sebagai negara yang terletak di garisan khatulistiwa, tanah air kita kaya dengan pelbagai keunikan alam yang dikelilingi hutan hujan tropika. Jadi nama-nama seperti Air Terjun Sungai Chiling, Air Terjun Buaya Sangkut dan Air Terjun Lata Kinjang bukan lagi asing bagi penggemar aktiviti lasak dan jungle trekking. Tetapi tidak ramai yang tahu akan rahsia yang sudah lama disimpan oleh warga Pahang — kewujudan Air Terjun Pelangi.

image 2

Air Terjun Pelangi merupakan sebuah tarikan semula jadi yang terletak di Sungai Lembing, Pahang. Berbeza dengan tarikan seperti Air Terjun Sungai Chiling yang hanya memerlukan anda berjalan kaki selama sejam, mereka yang mahu mengunjungi Air Terjun Pelangi perlu menaiki kenderaan jenis 4x4 untuk sampai ke kawasan berhampiran lokasi tersebut. Jangan bawa kereta biasa pula, pengsan nanti nak servis!

image 3

Kalau anda tidak dapat membayangkan bagaimana rupa Air Terjun Pelangi, seorang netizen yang menggunakan nama @IsskndarAriffin telah memuat naik sebuah thread di Twitter yang memaparkan perjalanannya ke air terjun tersebut.

Menurut beliau, pelangi di kawasan itu hanya muncul pada jam 9 hingga 10.30 pagi, bergantung kepada cuaca dan kedudukan awan ketika itu. Jadi kepada kaki hiking atau mereka yang minat dengan fotografi, anda perlulah membuat persiapan dan bertolak lebih awal jika ingin ke Air Terjun Pelangi.

image 4

Lokasi ini masih tidak diketahui ramai kerana faktor perjalanannya yang mungkin sukar bagi sesetengah pihak yang tidak memiliki kenderaan yang sesuai. Anda perlu meredah Hutan Simpan Remen Chereh sejauh 18 kilometer. Hampir sejam diperlukan untuk tiba di tapak lokasi.

Mengikut seorang blogger pula, Hasif Hamsyari, kenderaan anda akan merentasi tiga sungai iaitu Sungai Jin, Sungai Hillview dan Sungai Bunga atau nama timangannya Sungai Cuci Kaki. Kenapa dipanggil ‘Cuci Kaki’? Ini kerana di kala cuaca buruk, kenderaan anda mungkin tidak boleh merentasi sungai tersebut dan anda hanya mampu ‘mencuci kaki’ sahaja.

image 5

Air Terjun Pelangi juga mendapat pengiktirafan daripada TripAdvisor dan telah disenaraikan sebagai salah sebuah air terjun yang tercantik di Malaysia. Ini sudah tentu membuatkan anda tidak sabar untuk menyaksikan sendiri keindahannya, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup. Walaupun di era pandemik ini kita perlu berwaspada dalam setiap pergaulan dan mematuhi peraturan ketika menyertai aktiviti riadah atau sukan lasak, janganlah kita lupa untuk menikmati kehidupan dan menghayati khazanah alam ciptaan Tuhan ini.

Jika anda mahu baca atau kongsi lebih banyak cerita seperti ini, apa kata follow kami di Instagram dan like Facebook kami.