e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Nostalgia

Lagu-Lagu Negeri Ini Pasti Mengimbau Memori

11 Nov 2020
  • Nombor 5 kekal popular sampai sekarang!
  • Hasil nukilan anak Malaysia sendiri

Sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Malaysia kaya dengan pelbagai lagu rakyat ataupun lagu berunsur patriotik. Lagu-lagu seperti ‘Standing in the Eyes of the World’ nyanyian Ella dan ‘Gemilang’ oleh Jaclyn Victor ternyata mampu membuat kita semua tersenyum penuh bangga. Bagaimana pula dengan lagu-lagu negeri? Sebelum anda baca senarai yang kami sediakan, jom kita tengok lagu apa yang dipilih oleh John Bear dan Elena Laurel sebagai lagu negeri kegemaran mereka:

1. Lagu Pesta Pulau Pinang oleh Crosstown

“Pakat mai sini! Pulau Pinang satu destinasi!” Lagu yang menghiburkan ini telah memainkan peranan dalam usaha mempromosikan keindahan Pulau Pinang. Pada asalnya, Crosstown menulis lagu ini sebagai lagu rasmi Pesta Pulau Pinang, acara tahunan yang menjadi tumpuan warga tempatan dan pelancong.

Mengikut netizen @udabangi dan beberapa warganet lain, lagu ini kerap diputar di radio. Disebabkan komposisi iramanya yang sangat sesuai dengan cita rasa tempatan, lagu ini terus menjadi lagu ikonik buat Pulau Pinang.

2. ‘Anak Kampung’ oleh One Nation Emcees dan Jimmy Palikat

Ketika peminat hip-hop di Malaysia sedang dipukau dengan melodi dendangan Ruffedge dan VE, One Nation Emcees yang dicungkil bakat melalui program muzik Gang Starz muncul untuk memeriahkan lagi industri hip-hop lewat tahun 2000-an. Salah sebuah lagu mereka yang mendapat perhatian adalah hasil kolaborasi bersama Jimmy Palikat, iaitu ‘Anak Kampung’. Walaupun lagu ini mendapat sambutan yang baik di seluruh negara, penggunaan dialek Sabah dalam liriknya membuatkan lagu ini istimewa dan dekat di hati orang Sabah.

Dikeluarkan pada tahun 2012, lagu ini masih berkumandang di corong radio dan dimainkan di kedai-kedai makan di serata Negeri di Bawah Bayu.

3. ‘Bulan Lapan di Sandakan’ oleh Gerodok

Anda mungkin kenal lagu ini dalam rendisi heavy metal oleh kumpulan Khalifah dan juga persembahan akustik daripada Ainan Tasneem. Sebenarnya, lagu ini hasil ciptaan sebuah kumpulan punk dari Lahad Datu bernama Gerodok. Mengikut netizen @amansixB yang memuat naik versi asal lagu tersebut, lagu ini dikeluarkan dalam bentuk demo yang digubah dan ditulis oleh gitarisnya, Sofian Damsah atau P-Yan.

Walaupun kualitinya sedikit raw, lagu ini tetap menjadi pilihan anak-anak muda.

4. ‘Puteri Santubong’ oleh Madzhi Johari

Lagu-lagu seperti ‘Sarawak’ oleh Noh Saleh dan ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ oleh Andrewson Ngalai kini menjadi kebanggaan rakyat Sarawak. Tidak kurang hebatnya, ‘Puteri Santubong’ juga dianggap lagu yang penting buat negeri tersebut. Lagu ini ditulis lebih 40 tahun dahulu oleh Madzhi Johari, seorang anak jati Sri Aman.

Ketika ditemu ramah oleh Bernama, Madzhi menceritakan bahawa lagu tersebut dihasilkan di atas perahu sewaktu beliau dalam perjalanan ke Ulu Limbang. Dalam perahu pun boleh gubah lagu yang tidak pudar ditelan zaman!

5. ‘Apo Nak Dikato’ oleh Blues Gang

Lagu ini boleh dikategorikan sebagai irama keramat orang ‘Nogori’. Menurut vokalis Blues Gang, Ito Mohd, lagu ini tidaklah ditulis di mana-mana pekan di Negeri Sembilan. Ia sebenarnya dicipta di sebuah lapangan terbang di Australia semasa kugiran ini sedang menjalani kembara album mereka di sana.

Lagu inilah yang memberi ruang kepada Blues Gang untuk menempa nama sebagai salah sebuah kugiran legenda di Malaysia.

Jika anda suka topik-topik seperti ini, jom follow Instagram dan like Facebook @kitajiran!