e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Komuniti

Menyara Anak-Anak OKU Dengan Menjual Karipap

06 Oct 2020
  • Kalau macam tu, karipap bagi RM50 lah, makcik!
  • Mari selami kehidupan warga OKU

“Ayah dan ibu, ayah dan ibu… Itulah permulaan kami…”

Ramai mesti mengingati lirik dan lagu Ayah dan Ibu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini. Setelah beberapa tahun di bawah didikan ibu bapa, tibanya giliran kita untuk berdikari dan berbakti pula kepada mereka. Akan tetapi, ada segelintir daripada kita yang kurang bernasib baik dan terpaksa bergantung hidup kepada bantuan penjaga sehingga akhir hayat.

Image 1 Imej oleh sinarplus

Bagi Normah Lahajar dan Ya’acob Mohamed, kasih sayang mereka jelas terbukti melalui pengorbanan menjaga empat orang anak mereka yang sudah dewasa.

“Anak sulung saya yang bernama Nazri kekejangan otot pada usia lapan tahun. Selepas itu, dia mengalami masalah lembam dan lemah dalam semua mata pelajaran. Anak kedua yang kini berusia 43 tahun, cacat kedua-dua tangan dan kakinya pula merengkot selepas diserang demam panas yang teruk pada usia lima tahun. Kini dia bergantung pada kerusi roda untuk bergerak,” jelas Normah.

Image 2 Imej oleh sinarplus

Pasangan ini dikunjungi oleh wartawan Sinar Harian di kediaman persendirian di Puchong. Air mata Puan Normah sentiasa berlinang sepanjang sesi temu ramah tersebut. Sambil mencuri pandangan ke arah anak-anaknya, Puan Normah masih gigih mengadun karipap ketika perbualan berlangsung.

“Nazrul, 42, pula mengalami masalah pertuturan sejak lahir selain berdepan masalah kulit yang kritikal manakala yang bongsu, Zainab, 32, disahkan autisme seawal usia enam tahun,” ujarnya lagi.

Untuk Normah, pengorbanan ini sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa, tetapi beliau tidak pernah sangkakan yang keempat-empat zuriat beliau terpaksa berdepan dengan ujian fizikal dan mental.

image 3 Imej oleh sinarplus

“Bila doktor sahkan anak sulung tidak normal, hati makcik sedih sangat tapi usahakan juga untuk dia bersekolah khas di Petaling Jaya sampai tingkatan tiga. Nak sambung masa itu susah sangat sebab belum ada sekolah khas yang dekat dengan rumah,” katanya.

“Tiada ibu akan mendoakan yang buruk-buruk buat anak-anak. Macam ibu lain, makcik nak juga lihat anak-anak berkahwin dan hidup selesa, bahagia bersama pasangan masing-masing. Tidak pernah terfikir anak-anak yang makcik kandung jadi seperti ini.”

Seperti jatuh ditimpa tangga, Encik Ya’acob pula diberhentikan kerja sebagai pelombong pada usia 45 tahun.

image 4 Imej oleh sinarplus

“Memang buntu ketika itu. Pun demikian, tanpa disangka walau sudah lanjut usia, pakcik diterima kerja sebagai buruh kasar sebelum menjadi operator di kilang kimpalan hingga umur 55 tahun. Masa itu, pakcik dah tak boleh kerja berat lagi dan dengan wang simpanan yang ada, pakcik langsaikan hutang rumah. Harta pakcik hanyalah rumah untuk anak-anak dan isteri berteduh serta sebuah motosikal kapcai untuk ke mana-mana,” jelas beliau.

Image 5 Imej oleh sinarplus

Dengan keadaan anak-anaknya dan segala masalah yang mereka hadapi, Puan Normah bersama suaminya Encik Ya’acob mencari rezeki dengan menjual kuih-muih seperti karipap sardin dan kentang, apam pisang dan macam-macam lagi.

“Makcik menjaga anak-anak makcik yang kadang-kadang ‘luar kawalan’. Bayangkan, tiada pengasuh sanggup menjaga mereka. Sebab itulah makcik usahakan buat kuih seawal Subuh setiap hari untuk tampung belanja dapur. Ini semua ujian daripada Allah dan dugaan ‘indah’ untuk kami suami isteri,” katanya.

Jika anda ingin membeli kuih daripada Puan Normah dan Encik Ya’acob, bolehlah singgah ke alamat di bawah:

55, Jalan DAH 18, Taman Desa Air Hitam, Puchong, Selangor

Untuk yang ingin menyumbangkan derma pula, salurkan sumbangan anda menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1015741000079203 atas nama Nazri Ya’acob.

Anda pun ada produk makanan atau frozen foods? Kunjungi yellowpages.my dan daftarkan perniagaan anda. Lagi senang pelanggan baru nak jumpa anda!

Artikel ini diadaptasi daripada sinarplus