e-Bazar
About
Privacy Policy
Profile
Komuniti

Subang Jaya Kini Berstatus Bandar Raya

14 Jul 2020
  • Apakah perubahan yang bakal dihadapi bandar ketiga terbesar di Selangor?
  • Subang Jaya, yang mempunyai populasi lebih 700,000 penduduk berserta infrastruktur yang canggih dan potensi komersial yang tinggi

‘Budak Subang Jaya memang ada gaya, macam hari-hari, hari raya’ adalah lirik yang pernah dipopularkan oleh rapper Joe Flizzow, yang juga merupakan penduduk setempat Subang Jaya. Bagi kebanyakan masyarakat luar, gambaran mereka terhadap kejiranan ini hanyalah lambakan orang ramai di kedai teh boba, perkampungan pelajar-pelajar kolej dan kesesakan lalu lintas. Walau bagaimanapun, di sebalik itu semua, Subang Jaya telah membangun dengan pesat sehingga kini dinaik taraf sebagai bandar raya terbaharu di Selangor.

Usaha untuk mencapai status bandar raya oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bukanlah suatu rahsia, malah sudahpun diuar-uarkan melalui media sosial dan laman rasminya sejak tahun 2019 lagi. Subang Jaya, yang mempunyai populasi lebih 700,000 penduduk berserta infrastruktur yang canggih dan potensi komersial yang tinggi, sudah lama bersedia untuk dianugerahkan status bandar raya.

Tetapi bagaimana pula dengan penduduk tempatan Subang Jaya atau USJ? Adakah anda sudah bersedia dengan perubahan ini?

Taraf hidup dan harga hartanah bakal naik?

Pengiktirafan status bandar raya ini mungkin nampak gah, namun ramai yang tertanya-tanya akan implikasinya terhadap kehidupan seharian mereka. Yang paling ketara: Kenaikan taraf hidup.

Seperti yang ramai sedia maklum, sebahagian kecil penduduk tempatan sudah sekian lama tidak ‘merestui’ kewujudan kolej-kolej di sekitar kawasan Subang Jaya. Kedatangan pelajar-pelajar daripada kawasan luar bukan sahaja menyumbang kepada kesesakan jalan raya tetapi juga antara penyebab kenaikan harga hartanah. Kehadiran mereka antara faktor yang menjadi punca kepada pembinaan pangsapuri-pangsapuri student yang disewakan dengan harga yang mahal.

High Rise Building Imej oleh Sime Darby Property

Harga hartanah dijangka bakal melambung lagi dengan kenaikan taraf Subang Jaya sebagai bandar raya. Dengan adanya MRT dan penambahbaikan KTM, harga rumah di kawasan sekeliling stesen-stesen ini mungkin terkesan. Tidak lupa juga rumah-rumah berdekatan dengan kolej-kolej swasta di SS15. Tetapi adakah ini benar-benar memberi kesan buruk terhadap penduduk asal Subang Jaya?

Lembaran baru untuk Subang Jaya

Ya, bagi masyarakat luar, kawasan SS15 sudah lama dilihat sebagai nadi utama Subang Jaya. Mungkin ada juga kebenaran di sebalik persepsi tersebut. Kawasan ini kaya dengan perniagaan-perniagaan kecil tempatan: daripada penjual cendol, rojak dan vadei sehinggalah kepada pengusaha kafe artisan, segalanya kini menjadi tarikan ramai pengunjung dari seluruh negara.

Warung Cendol Imej oleh Nikel Khor

Anugerah status bandar raya ini bakal memberi lebih banyak peluang kepada pengusaha tempatan untuk membuka perniagaan baru atau kekal berniaga di kawasan tersebut. Ramai yang mungkin risaukan persaingan daripada syarikat luar yang melabur di Subang Jaya. Namun begitu, pembangunan infrastruktur di SS15 telah membuktikan bahawa perniagaan tempatan mampu bersaing dan berkongsi medan tempur dengan perniagaan antarabangsa walaupun di kawasan yang penuh dengan pelajar asing dan masyarakat urban.

Cafe Imej oleh Kok Chee Hou

Peluang pekerjaan juga akan meningkat buat penduduk tempatan apabila Subang Jaya berjaya menarik lebih banyak syarikat luar negara untuk melabur di bandar raya ini. Dengan adanya kemudahan awam yang serba lengkap, jangan terkejut jika Subang Jaya suatu hari nanti mampu menjadi seperti Silicon Valley yang menjadi pusat industri teknologi dan kreatif, memandangkan lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan kolej-kolej yang mampu menghasilkan graduan-graduan berkualiti.

Mall Imej oleh Booking.com

Dalam masa 10 tahun lagi, tidak mustahil bagi Subang Jaya untuk terus berkembang menjadi bandar raya maju yang masih mengekalkan budaya kejiranan suburban dan semangat muhibbah di samping menjalinkan hubungan erat sesama jiran tetangga.

Ternyata Subang Jaya menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat. Ingin ketahui pilihan perniagaan yang menepati citarasa anda? Sila layari www.yellowpages.my

Apa pendapat anda pula? Andakah anda teruja untuk melihat the new Subang Jaya?