Busana Aidilfitri: Fesyen Raya 2021 - Jiran

Busana Aidilfitri: Fesyen Raya 2021

Semangat lebaran tetap utuh walaupun sambutan berbeza

By Izwani Ismail Published on 11 May 2021

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang! Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara telah diumumkan, jadi Raya tahun ini kita sambut dalam norma baharu. Namun, ia bukanlah penghalang untuk kita meraikan kemenangan menunaikan ibadah puasa Ramadan dan meraikan kemeriahan Syawal.

Bagaimana persiapan Raya anda? Sudah tempah atau beli baju baru? Saat ini, mungkin golongan wanita lebih teruja untuk memastikan penampilan mereka tampak cantik dan manis berseri. Jom tengok tip dan koleksi baju Raya yang trending bagi tahun 2021!

Warna, corak dan perincian yang menjadi pilihan untuk Raya 2021

Pemilihan warna sangat penting untuk memastikan penampilan anda tetap elegan dan menawan walaupun beraya di rumah sahaja. Corak juga memainkan peranan utama dalam pemilihan baju Raya. Warna yang menjadi pilihan ramai tahun ini adalah rona lembut, nude dan pastel.

Image 1 1
Image 2 1

Untuk gaya yang lebih anggun, baju kebaya amat sesuai bagi semua golongan terutamanya anak muda dan juga kanak-kanak. Mereka yang menggayakan busana ini akan kelihatan lebih kemas dan bergaya dengan baju yang dilengkapi dengan kain susun atur bahagian depan dan bahagian bawah baju yang sedikit kembang.

Bagi mereka yang berkulit cerah, anda disarankan untuk memilih warna yang berbeza dengan kulit anda. Sebagai contoh, warna coklat, merah dan biru gelap akan menaikkan lagi seri wajah anda.

Manakala, bagi mereka yang berkulit sawo matang, anda akan kelihatan paling menawan dengan pemilihan warna yang sedikit terang atau lebih gelap. Elakkan memakai warna hijau atau kuning kerana warna-warna ini mungkin terlalu dekat dengan warna kulit anda.

Seterusnya, bagi mereka yang berkulit gelap, warna paling selamat untuk dipadankan adalah putih, tetapi jika anda ingin mencuba warna lain seperti merah jambu, ungu, oren, pic, kuning dan hijau, anda akan kelihatan lebih menyerlah.

Image 3 1

Jika diperhatikan aliran fesyen kontemporari, fesyen remaja kini lebih menjurus ke arah konsep Muslimah atau modest wear. Kaftan atau jubah moden menjadi pilihan. Busana yang labuh berserta longgar dapat memberi keselesaan kepada pemakainya serta kelihatan lebih bergaya dan eksklusif, tambahan pula apabila diiringi dengan rekaan corak yang mewah dan mengikut trend terkini tetapi masih mengekalkan unsur tradisi.

Material juga menjadi ukuran busana Raya 2021

Keselesaan mesti diutamakan ketika membeli kain untuk dijadikan baju Raya atau busana ready to wear, khususnya buat mereka yang amat menjaga kualiti berbanding kuantiti. Pakaian yang diperbuat daripada kain kapas, como crepe dan duchess sememangnya popular dan menarik minat ramai golongan wanita khasnya kerana kualiti kain yang lembut, tidak panas dan tidak jarang.

Rekaan di bawah bersesuaian dengan mereka yang memiliki bentuk tubuh sederhana. Rekaannya yang kelihatan ringkas dan mempunyai drape pada bahagian pinggang mampu serlahkan gaya feminin si pemakai.

Image 4

Di sebalik keadaan yang serba mencabar, masih ada kegembiraan yang perlu kita raikan dengan penuh kesyukuran. PKP 3.0 dan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri tidak bermaksud bahawa kita harus menolak sama sekali kemeriahan Raya. Dengan memakai busana yang indah di rumah masing-masing, keceriaan menyambut lebaran tahun ini pasti terasa. Apa pun, sambil kita sama-sama membendung penularan COVID-19, kita mesti sedar bahawa semangat Raya tetap ada!

Nak dapatkan koleksi fesyen dan aksesori idaman anda dengan mudah, cepat dan selamat di musim PKP ini? Layari pautan ini sekarang.