Cabaran Kerisik Café & Catering Meneruskan Perniagaan dan Beramal - Jiran

Cabaran Kerisik Café & Catering Meneruskan Perniagaan dan Beramal

Pandemik COVID-19 bukanlah penghalang untuk kekal beroperasi sambil menjalankan usaha murni

Published on 12 November 2021

Nama Kerisik Café & Catering tidak asing lagi buat warga Kota Damansara. Kedai ini dibuka pada tahun 2019 dan dikenali sebagai Surian Café & Catering yang dahulunya terletak di sebuah kelab perumahan di Seksyen 4, Kota Damansara.

Mengorak langkah ke arah permulaan baharu, kafe ini menukar konsep serta namanya dan seterusnya berpindah lokasi untuk menyajikan makanan yang lebih ringkas. Pemilik Kerisik Café, Wan Azuar dan Mariatul Zairin berkongsi cerita tentang cabaran menjalankan perniagaan pada musim pandemik. 

Kerisik Café dibuka pada 2019, kurang setahun sebelum pandemik COVID-19 bermula. Apakah reaksi anda apabila mengetahui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan perkhidmatan dine-in?

Secara jujurnya, kami tidak tahu bagaimana untuk menghadapi semua itu memandangkan ia merupakan pengalaman pertama buat kita semua. Kami hanya mampu berdoa dan memerhatikan keadaan sekeliling bagi menentukan langkah yang sesuai untuk menjalankan perniagaan tanpa perkhidmatan dine-in. Kami bermula dengan menggunakan khidmat penghantaran makanan Foodpanda dan pesanan dalam talian selain menggunakan media sosial untuk tujuan promosi.

jiran kerisik interior

Walaupun tidak beroperasi seperti biasa, Kerisik Café gigih menyediakan sajian katering untuk anggota barisan hadapan (frontliner) yang bertugas. Boleh ceritakan bagaimana tercetusnya idea ini?

Sewaktu PKP bermula, kami mendapati petugas frontliner bertungkus lumus tanpa rehat untuk menyelamatkan nyawa orang ramai. Maka terdetik di fikiran kami untuk membuka peluang kepada masyarakat untuk turut serta bersama kami membantu anggota frontliner. Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan. Sokongan yang dihulurkan juga telah membantu kami untuk kekal beroperasi.

Bagaimanakah anda menjana wang untuk menampung kos penyediaan makanan yang disumbangkan kepada petugas barisan hadapan? 

Ramai yang menyuarakan hasrat untuk membantu golongan frontliner termasuk keluarga dan sahabat handai sebagai tanda penghargaan kepada usaha keras mereka tetapi tidak tahu bagaimana untuk berbuat demikian. Kami mengumpul dana daripada setiap pihak yang ingin menyumbang dan seterusnya menyedia dan menghantar makanan kepada frontliners.

Bantuan yang diterima bukan sahaja dari segi wang ringgit malah dalam bentuk sumbangan makanan kering, tenaga dan sebagainya. Terdapat sekumpulan pemilik kereta sewa yang menyumbangkan khidmat mereka untuk membantu dalam penghantaran makanan. Kami sangat berterima kasih kepada mereka juga.

jiran kerisik frontliner

Kerisik Café juga menyediakan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan pada setiap hari Jumaat. Apakah yang menjadi inspirasi anda untuk memulakan inisiatif ini?

Ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Ada yang kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan. Salah satu usaha untuk meringankan beban mereka adalah dengan menyediakan makanan percuma pada setiap hari Jumaat buat sesiapa sahaja yang memerlukan. Lama-kelamaan, kami juga menerima sumbangan untuk menyediakan makanan tersebut. 

Kami turut menerima sumbangan makanan dan minuman daripada rakan-rakan dan pihak lain yang ingin turut sama berkongsi rezeki. Inspirasi untuk membantu datang apabila kami terdengar tentang keluarga yang terpaksa mencatu makanan dan berpuasa akibat pandemik yang melanda. Ia menyentuh perasaan kami dan mencetuskan idea untuk membantu sekadar yang kami mampu.

Bagaimanakah sambutan daripada masyarakat setempat terhadap inisiatif ini?

Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Sayu hati kami apabila kadangkala 30 hidangan makanan yang disediakan habis dan tidak mencukupi. 

jiran kerisik free food

Apakah aspek paling mencabar dalam menjalankan perniagaan ketika pandemik?

Sudah tentu perkara yang paling mencabar adalah mempromosikan kafe kami di musim pandemik. Transisi dari satu PKP ke fasa PKP yang lain juga mendatangkan cabaran yang tersendiri memandangkan kami terpaksa akur dengan peraturan dan syarat baharu yang telah ditetapkan. Ada kalanya kami berasa buntu. Tetapi kami tekad untuk kekal positif dan tidak berputus asa selain terus berharap agar segala usaha kami akan membuahkan hasil. 

Selain menawarkan makanan berkonsepkan kafe, produk lain juga ada dijual. Bagaimanakah anda memilih barangan yang sesuai untuk dijual?

Kami membuat pilihan mengikut cita rasa kami. Kami ada membuat carian makanan viral dan memilih yang bersesuaian dengan konsep kami. Semestinya kami akan mencuba dahulu setiap produk sebelum bersetuju untuk menjualnya di kafe kami. 

jiran kerisik cake

Kongsikan perancangan masa depan Kerisik Café supaya terus maju dan mendapat sambutan

Sejujurnya, kami tidak mempunyai sebarang perancangan yang spesifik memandangkan situasi masa depan di era pandemik ini masih sukar untuk dijangkakan. Bagaimanapun, kami akan terus mempromosikan perkhidmatan kafe dan katering. Kami juga kekal optimis memandangkan kebenaran mengadakan majlis dan acara sudah diberikan. Pastinya kami berharap dan berdoa yang terbaik buat perniagaan kami. 

Jika anda berminat untuk menderma makanan kepada pasukan frontliner atau penduduk Kota Damansara, hubungi Kerisik Café melalui Instagram. Marilah kita bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi cerita tentang perniagaan tempatan dan jenama buatan Malaysia.