Cakoi & Kopi Cipta Kelainan Jual Cakoi Bersama Sos Karamel Masin - Jiran

Cakoi & Kopi Cipta Kelainan Jual Cakoi Bersama Sos Karamel Masin

Menu nostalgik berkonsep moden ini menjanjikan santapan petang yang penuh kenikmatan!

Published on 4 April 2022

Cakoi popular dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai menu minum petang. Kuih ini biasanya dinikmati panas-panas dengan sos manis seperti kaya.

Sebuah syarikat milik anak tempatan telah berjaya mencuri perhatian dengan menu cakoi yang dimakan bersama sos karamel masin (salted caramel). Ia berani tampil membawa konsep moden tetapi masih mengekalkan rasa cakoi asli sehingga membuatkan ramai pelanggan jatuh hati. Jom kenali usahawan di sebalik jenama Cakoi & Kopi serta keistimewaan kuih cakoi yang dijualnya.

Baru enam bulan beroperasi tetapi sudah kumpul ramai pelanggan tetap

jiran cakoi dan kopi Anis

Cakoi & Kopi baru sahaja membuka sayapnya dalam dunia perniagaan sekitar bulan Oktober 2021. Menurut pengasasnya, Anis Sabrina Azizuddin, idea untuk memulakan jenama Cakoi & Kopi tercetus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu, fokusnya adalah untuk menambah pendapatan sampingan dengan menjual makanan jalanan yang lain daripada yang lain.

Setelah mengambil kira beberapa perkara dan meneliti dari pelbagai sudut, Anis membuat keputusan untuk merealisasikan jenama Cakoi & Kopi bersama enam orang rakannya dengan bermodalkan RM20,000 bagi menampung kos permulaan perniagaan. Ini termasuklah kos penghasilan dan ujian resipi, gerai, peralatan memasak, bahan mentah serta pengurusan pemasaran.

jiran cakoi dan kopi beratur

Kata Anis lagi, biarpun bermula daripada sifar, konsep dan kelainan yang dibawakan ialah antara faktor pendorong yang membuatkan Cakoi & Kopi berjaya menambat selera pelanggan.

Tema nostalgia yang disisip dalam setiap hantaran yang dimuat naik ke dalam laman sosial Cakoi & Kopi di Facebook dan Instagram sangat menarik kerana banyak menyelitkan elemen humor menerusi penggunaan dialog yang dipetik daripada filem-filem klasik Tan Sri P Ramlee.

Pendekatan ini dipraktikkan dengan harapan jenama Cakoi & Kopi mampu menyalurkan inspirasi menerusi hidangan yang ditawarkannya sepertimana Tan Sri P Ramlee telah memberi inspirasi kepada para penonton menerusi karya-karya hebat sepanjang zaman yang dikenang sehingga kini oleh segenap lapisan masyarakat.

Mahu jadi jenama street food nombor satu pilihan pelanggan

jiran cakoi dan kopi produk

Menyedari bahawa rakyat Malaysia sememangnya menggemari kudapan, Cakoi & Kopi mewujudkan suatu kelainan dengan menawarkan sajian berupa cakoi panas yang digandingkan dengan kopi ais. Lebih mengujakan apabila menu Cakoi & Kopi tersebut boleh dibeli dalam bentuk set pada harga kombo yang berpatutan. Ini membuatkan pengalaman minum petang menjadi lebih menyeronokkan! Bukan sahaja sedap tetapi sangat menjimatkan.

Dengan harga RM10.00, pelanggan sudah boleh mendapatkan hidangan lengkap dipanggil Set Abg Jamil yang terdiri daripada segelas Kopi Latte Kampung, 10 biji cakoi mini dan dua bekas sos karamel masin.

Keistimewaan rasa cakoi oleh Cakoi & Kopi

Anis menjelaskan bahawa resipi cakoi yang digunakan di Cakoi & Kopi berasal dari Thailand dan merupakan resipi turun-temurun yang berusia lebih 20 tahun. Kelazatan dan keunikan rasa cakoi oleh Cakoi & Kopi bermula daripada proses pembuatannya. Hanya bahan mentah berkualiti premium digunakan untuk dibancuh menjadi doh.

Bancuhan doh pula dilakukan di dapur sentral milik Cakoi & Kopi sebelum dihantar terus ke gerai untuk dibentuk dan digoreng pada hari yang sama bagi menjamin kesegarannya. Cara menguli doh, membentuk doh dan menggoreng amat mempengaruhi kualiti cakoi yang dihasilkan kerana keenakan sebenar cakoi terletak pada kerangupan tekstur luaran serta kelembutan isi di dalamnya.

jiran cakoi dan kopi gerai 1

Sos karamel masin yang diperkenalkan oleh Cakoi & Kopi juga tidak kurang hebatnya kerana ia memberi sensasi moden kepada kuih tradisi yang selalunya dihidangkan bersama kaya atau kastard. Kelainan inilah yang membuatkan ramai orang mahu mencuba cakoi keluaran Cakoi & Kopi. Cakoinya juga dibuat dalam saiz mini bagi memudahkan orang ramai menikmatinya.

Rata-rata pelanggan juga sepakat berpendapat bahawa cakoi yang dijual Cakoi & Kopi sungguh berlemak dan apabila dicicah dengan sos karamel masin, ia mempersembahkan rasa yang menakjubkan. Sos karamel masin ialah gandingan unik yang belum pernah diketengahkan oleh mana-mana peniaga cakoi sebelum ini.

Setiap hari, kira-kira 70 hingga 80 kilogram doh diperlukan untuk menghasilkan lebih 4,000 hingga 6,000 biji cakoi yang laris dijual.

Cabaran dalam menguruskan Cakoi & Kopi

Sejak hari pertama dibuka, Cakoi & Kopi menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan. Promosi yang dilakukan menerusi media sosial juga amat membantu Cakoi & Kopi mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi di samping meraih lebih ramai pelanggan baru.

Perkara paling mencabar dalam membangunkan bisnes makanan dan minuman adalah memastikan bahawa kualiti produk dikekalkan setiap hari. Ini termasuklah dari segi saiz serta rasa agar pelanggan sentiasa berpuas hati dan mahu datang berulang kali.

jiran cakoi dan kopi pelanggan

Bagi Anis, beliau berharap jenama Cakoi & Kopi bakal menjadi antara jenama tempatan yang diyakini di peringkat antarabangsa dan mampu berkembang sebagai perniagaan francais dalam masa terdekat.

Bagi yang mahu mencuba sendiri kelazatan sajian Cakoi & Kopi, bolehlah singgah di kedainya di J Corner, Cyberjaya.

Anis mengakui banyak menerima pertanyaan dan tawaran daripada pihak yang berminat menjadi rakan perniagaan dan membuka francais Cakoi & Kopi di daerah lain. Beliau sedang mengatur perancangan untuk membuka lebih banyak lagi cawangan Cakoi & Kopi secepat mungkin di sekitar Lembah Klang memandangkan permintaan semakin tinggi.

Nasihat untuk usahawan baharu

“Untuk menjadi usahawan, kita mestilah berjiwa kental dan berani mengambil risiko. Kita juga mesti mempunyai strategi pemasaran dan penjenamaan yang baik supaya perniagaan kita mudah diingati orang. Paling penting, jangan mudah mengalah atau berputus asa jika perniagaan kita belum menampakkan apa-apa keuntungan. Just continue to work hard and trust the process.” — Anis, Cakoi & Kopi

Teringin memulakan bisnes tetapi kurang pengetahuan dalam bidang keusahawanan? Kunjungi unifi Business Club (uBC), pusat sehenti yang memberi panduan dan solusi perniagaan digital.