Cara-Cara Menyambut Hari Raya di Bawah Arahan PKP - Jiran

Cara-Cara Menyambut Hari Raya di Bawah Arahan PKP

Lebaran kini tiba! Syawal dirai, SOP dipatuhi

Published on 22 May 2020

Waktu seperti ini, para ibu pasti sedang sibuk menyediakan rendang dan ketupat. Kaum lelaki pula sedang membakar lemang atau mengacau dodol. Mungkin tahun ini, Aidilfitri tidaklah seperti tahun-tahun yang lepas. Ramai yang berada di perantauan tidak boleh pulang ke pangkuan keluarga — tapi ini bukanlah satu halangan besar untuk kita semua menghayati maksud sebenar perayaan ini.

Aidilfitri tetap akan menjadi simbol kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa. Jadi, usahlah resah tentang halangan yang menimpa. Jika kita mahu, pasti ada jalan!

1. Panggilan video di pagi Raya

Kepada yang berjauhan daripada yang tersayang, mungkin tahun ini anda tidak berpeluang menikmati juadah Hari Raya bersama keluarga. Mari kita gantikan rutin tersebut dengan video call di pagi Raya melalui aplikasi-aplikasi seperti Zoom dan Skype.

Image 1 1 7
Imej oleh Popular Science

Aplikasi seperti Zoom bukan saja boleh menghubungkan anda dengan ahli keluarga yang jauh di mata, malah anda juga boleh menukar ‘suasana’ Hari Raya anda melalui variasi latar belakang Zoom. Raya di Jepun boleh, di Mesir pun boleh, asalkan boleh berinteraksi bersama keluarga!

2. Elakkan bersalaman bila berkunjung ke rumah keluarga

Memanglah sesi bersalam-salaman di pagi Aidilfitri antara aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh para Muslimin dan Muslimat di Malaysia. Untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan dengan wabak COVID-19, elakkanlah bersalaman sesama kita atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan.

image2
Imej oleh Stockunlimited

Walau bagaimanapun, kemaafan bukanlah hanya dapat diperoleh dengan berjabat tangan di hari lebaran. Yang penting adalah keredaan yang datang daripada hati yang ikhlas, di mana saja anda berada.

3. Duit raya melalui e-wallet

Tahun-tahun yang lepas, pelbagai jenis sampul duit raya boleh didapati di pasaran. Yang boleh jadi kalendar pun ada!

Dengan kurangnya kedatangan tetamu ke kediaman kita, tahun ini kita boleh lupakan sebentar gaya dan rupa sampul duit raya dan hantarkan duit raya melalui e-wallet. Ada bermacam-macam jenis aplikasi yang anda boleh gunakan dan semuanya di hujung jari sahaja.

Jadi tiadalah sesi masukkan duit raya ke dalam sampul yang buatkan kita sakit belakang!

4. Biar ‘leceh’ asal selamat

Perayaan Aidilfitri itu penting, tapi yang lebih penting adalah memastikan bahawa kita dapat menyambut Hari Raya di tahun-tahun akan datang. Dengan itu, haruslah kita membersihkan dan membasmi kuman di rumah kita agar tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Jika ada yang berkunjung, pastikan beberapa botol hand sanitiser disediakan di pintu masuk. Kalau rajin, belilah termometer elektronik!

5. Raikan bersama jiran sekeliling

Ramai yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri walaupun sudah diberi peringatan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Nasihat kami adalah raikanlah Aidilfitri kali ini bersama jiran-jiran anda. Inilah masanya untuk kita mengenali jiran tetangga dengan lebih dekat lagi.

Ini jugalah waktu yang sesuai untuk memohon maaf kepada jiran-jiran anda andainya ada sebarang perbuatan kita yang mungkin telah menyinggung perasaan mereka. Sebenarnya mereka ibarat keluarga yang sangat dekat dengan kita.

Kami di Jiran ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!

Mencari keperluan bagi menyambut 1 Syawal? Layari laman web Yellow Pages Malaysia untuk beraneka produk menarik buatan tempatan.