Floristo.co Kongsi Pengalaman Bangunkan Bisnes Kedai Bunga dari Rumah - Jiran

Floristo.co Kongsi Pengalaman Bangunkan Bisnes Kedai Bunga dari Rumah

Hobi menggubah bunga berkembang menjadi sebuah perniagaan yang kian dikenali ramai

Published on 14 December 2021

Bunga bukan sahaja mampu menceriakan ruang di dalam rumah bahkan sering dijadikan bingkisan istimewa bagi menzahirkan rasa cinta dan perasaan kasih terhadap seseorang. Dalam filem genre romantik umumnya, selalu sahaja diketengahkan babak yang memperlihatkan si jejaka mengambil hati wanita idamannya dengan pemberian jambangan bunga. Maklum sahajalah, wanita memang gemar akan benda yang cantik.

Floristo.co merupakan kedai bunga dalam talian yang menawarkan pelbagai gubahan bunga menarik khusus buat individu yang gemarkan rekaan jambangan bunga moden. Menurut pemiliknya, Intan Izzatul Fariza Rosli, 30, antara jenis bunga kegemaran pelanggannya ialah baby’s breath, bunga ros, bunga matahari dan bunga daisi gerbera.

Seperti kebanyakan pengusaha bisnes lain yang rata-ratanya bermula dari bawah, Intan memulakan perniagaan dengan mengambil upah menggubah bunga semenjak tahun 2017 iaitu sewaktu berada di semester akhir pengajian peringkat ijazah. Ketika itu, Intan hanya menjalankan perniagaan secara suka-suka dengan bermodalkan kira-kira RM50. Jambangan bunga pertama yang dijualnya saat itu cuma berharga RM3.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Siapa sangka, berkat usaha yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan berbekalkan minat yang mendalam, hobi ini akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan yang menjanjikan keuntungan biarpun ia cuma dijalankan secara sambilan dari rumah.

Bagaimana mendapat idea melakukan perniagaan florist dari rumah? Siapa yang mendorong dan memberi sokongan kepada anda?

Saya mendapat idea untuk berkecimpung dalam perniagaan florist dari rumah secara serius sewaktu saya masih belum mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian sarjana muda. Namun, enam bulan kemudian, saya akhirnya menerima tawaran pekerjaan sebagai pensyarah di sebuah institusi pendidikan di Putrajaya. Saya masih lagi menguruskan perniagaan ini sehingga sekarang tetapi secara sambilan sahaja.

Ahli keluarga sentiasa memberi dorongan penuh kepada saya. Rakan-rakan juga sering menempah dan membeli gubahan bunga sebagai tanda sokongan terhadap perniagaan saya ini.

jiran Floristo.co one

Kenapa memilih menjual gubahan bunga dan bukannya produk lain seperti baju dan tudung ataupun menjadi stokis yang menjual semula jenama milik orang lain?

Pada asalnya, sebelum saya menceburi perniagaan florist, saya telah banyak membuat bisnes lain seperti menjual makanan dan pakaian. Saya juga pernah menjadi dropshipper snek Coco Jar pada masa yang sama. Namun, menggubah bunga lebih dekat di hati saya. Sebab itulah saya nekad mahu mengusahakan bisnes ini.

Pernahkah anda mendapat pelanggan yang cerewet? Bagaimana anda menangani situasi tersebut demi menjaga hati para pelanggan dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap perkhidmatan yang anda berikan?

Pernah. Tetapi sebagai seorang yang profesional, saya perlu menghadapi pelanggan sebegini dengan cara dan tingkah yang beradab. Saya akan beri maklum balas yang sebaiknya kepada pelanggan tersebut dan biarkan mereka fahami mengapa ada ketikanya saya tidak dapat memenuhi semua kehendak mereka.

Sudah menjadi asam garam kehidupan seorang usahawan, kita akan berurusan dengan ramai pelanggan dan berdepan dengan berbagai-bagai kerenah. Apa yang pasti, kita perlu sabar dan menjalankan urusan jual beli dengan budi pekerti yang baik.

jiran Floristo.co three

Boleh ceritakan serba sedikit berkenaan cabaran menjalankan bisnes florist dari rumah?

Disebabkan saya sudah mempunyai pekerjaan sepenuh masa, antara cabaran yang sering saya lalui adalah kekangan masa dan masalah penghantaran bunga.

Selalunya dalam sehari ada berapa tempahan yang diterima dan perlu disiapkan?

Minimum, sehari satu tempahan. Paling maksimum yang saya boleh terima dalam sehari cuma lima tempahan. Masa yang diambil bagi menyiapkan satu-satu gubahan adalah bergantung kepada saiz dan rekaan gubahan itu sendiri. Kebiasaannya, 10 minit sehingga 1 jam diperlukan memandangkan saya perlu melakukan semuanya seorang diri tanpa sebarang bantuan daripada orang lain.

jiran Floristo.co four

Bagaimana proses anda menyiapkan tempahan — daripada mendapatkan stok bunga hidup sehinggalah kepada proses penghantaran?

Lazimnya, saya yang menetapkan sendiri kepada pelanggan untuk membuat tempahan seawal tiga hari sebelum tarikh penghantaran agar saya dapat membuat persiapan secukupnya. Saya akan mengambil stok bunga-bungaan hidup daripada pemborong di sekitar Kuala Lumpur.

Ada kalanya saya sendiri akan ke kedai bunga untuk membeli jenis kuntuman yang dikehendaki. Ada juga masanya saya akan membuat pembelian menerusi WhatsApp dan meminta pemborong menghantar terus stok bunga hidup tersebut ke rumah. Ini bergantung kepada situasi semasa.

Proses penghantaran bunga pula bergantung kepada kelapangan waktu. Jika saya mempunyai masa, saya sendiri yang akan membuat penghantaran kepada pelanggan. Kalau tidak, saya akan menggunakan perkhidmatan Lalamove. Bagi sebarang tempahan yang harus dihantar pada waktu malam, saya memang akan menggunakan perkhidmatan Lalamove sepenuhnya.

Selain gubahan bunga, apa lagi tempahan gubahan paling unik yang pernah anda hasilkan?

Gubahan paling unik pernah saya buat ialah jambangan wang kertas. Keseluruhan wang kertas itu bernilai RM1,000 dan dibentuk menjadi kuntuman bunga ros!

Boleh kongsikan tip ringkas bagaimana bunga segar dapat tahan lebih lama dan apakah cara terbaik untuk merendam jambangan bunga dalam pasu hiasan?

Tidak semua bunga hidup mampu bertahan lama, manakala ada jenis bunga yang akan tetap kelihatan cantik biarpun sudah kering dan boleh dijadikan hiasan.

Cuaca di Malaysia yang tidak menentu serta panas dan lembap sepanjang tahun boleh mengakibatkan bunga cepat layu. Antara tip mudah untuk bunga hidup tahan lebih lama:

  • Sebelum diletakkan di dalam pasu yang berisi air, potong hujung tangkai secara menyerong agar kuntuman bunga mudah menyerap air.
  • Tambahkan serbuk flower food (selalunya dijual dalam bentuk sachet di kedai bunga). Jika tiada, boleh gantikan dengan sedikit gula yang dilarutkan bersama air rendaman bunga.
jiran Floristo.co two

Intan tidak pernah menghadiri sebarang kelas bisnes sebaliknya banyak mempelajari selok-belok perniagaan menerusi carian di Internet, platform YouTube dan TikTok. Hebat bukan?

Menurut Intan lagi, apa yang menjadi motivasi buat dirinya untuk kekal bersemangat dalam menjalankan perniagaan adalah apabila para pelanggan sangat menghargai karya gubahannya dan mempercayai kebolehan dirinya.

Sehingga kini, sudah lebih 2,500 gubahan bunga berjaya dijual. Jika diberi peluang di masa akan datang, dirinya mahu mengembangkan perniagaan Floristo.co ke tahap yang lebih maju dengan membuka sebuah kedai fizikal. “Itulah cita-cita dan impian saya selama saya menjadi seorang penggubah bunga,” jelas Intan.

Masih tercari-cari kedai bunga yang mampu menghasilkan jambangan bunga yang anda idamkan? Atau mahukan bunga tangan untuk hari pertunangan dan majlis pernikahan? Kunjungi akaun Instagram @floristo.co atau terus sahaja membuat tempahan di pautan Linktree ini.

Jangan lupa singgah laman #ShopLokal kami untuk lebih banyak kisah kejayaan usahawan tempatan dan ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter hari ini!