Impak dan Hikmah Perkahwinan Zaman COVID-19 - Jiran

Impak dan Hikmah Perkahwinan Zaman COVID-19

Majlis akad nikah dan kenduri kahwin yang ringkas mungkin dianggap kurang meriah tetapi sebenarnya tetap bermakna dan mampu menjimatkan perbelanjaan

Published on 29 March 2022

Sebelum COVID-19, majlis perkahwinan di Malaysia dijalankan dalam suasana meriah. Bunyi hiruk-pikuk ketika sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai berkumpul menambahkan keceriaan. Kehadiran ratusan atau ribuan tetamu yang datang untuk meraikan detik bersejarah disambut dengan tangan terbuka. Mereka dijamu dengan hidangan lauk-pauk kenduri yang beraneka macam sambil ditemani paluan kompang dan alunan muzik.

Segalanya berubah dalam sekelip mata apabila wabak COVID-19 merebak ke setiap pelosok dunia. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di negara kita demi keselamatan semua pihak. Kenduri yang dianjurkan bagi menyambut pasangan pengantin baru cuma boleh dihadiri kaum keluarga dan kenalan rapat sahaja. Bagi segenap lapisan masyarakat, tiada lagi istilah wedding of the year pada zaman pandemik ini.

Kluster majlis perkahwinan

Dipetik daripada laporan Bernama, Persatuan Usahawan Majlis Perkahwinan Malaysia mengumumkan bahawa terdapat 150,000 majlis perkahwinan yang dirancang dalam tempoh pandemik COVID-19 terpaksa dibatalkan di seluruh negara sejak April 2020.

Ini kerana aktiviti kenduri atau majlis perkahwinan dikhuatiri boleh mencetuskan jangkitan COVID-19 apabila penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka sukar dilaksanakan dalam keadaan majlis yang sesak dihadiri ramai tetamu. Para tetamu yang berkongsi makanan dan minuman juga berdepan dengan jangkitan COVID-19 terutamanya jika majlis perkahwinan tersebut diadakan dalam bangunan atau dewan yang tertutup.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan seramai 21 individu disahkan positif dalam kluster yang dilabel sebagai Kluster Kampung Haji Saman. Ia berpunca daripada seorang wanita bergejala yang menghadiri majlis perkahwinan di Bachok, Kelantan pada 18 Julai tahun lalu.

Impak kepada penggiat industri perkahwinan

jiran perkahwinan pandemik bufet 1

Peningkatan kes COVID-19 menyebabkan SOP bagi majlis perkahwinan terpaksa diperketatkan. Akhirnya, peniaga-peniaga bermusim seperti usahawan katering dan perancang perkahwinan menanggung kerugian.

Rata-rata mereka berdepan dengan masalah untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan. Mereka perlu membayar semula wang sepenuhnya kepada pelanggan jika kenduri atau majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan kerana PKP.

Apabila dirujuk kepada peguam tentang permasalahan ini, dari segi undang-undang, syarikat yang mengelolakan majlis seperti pengusaha katering dan perancang perkahwinan dikehendaki mengembalikan semula wang pelanggan yang tidak dapat meneruskan majlis. Bagaimanapun, caj pengurusan sebanyak 10% masih boleh dikenakan dan semuanya tertakluk kepada budi bicara antara pihak pengelola majlis dengan pihak pengantin.

Bakal pengantin turut berdepan kerugian

Ada juga segelintir kes yang menyebabkan bakal pengantin kerugian besar apabila wang pendahuluan yang telah dibayar kepada perancang perkahwinan untuk menampung kos keperluan majlis seperti pelamin, solekan dan khidmat jurugambar tidak dapat dituntut kembali.

Seperti kes yang menimpa sepasang bakal pengantin di Seremban, Negeri Sembilan sekitar Disember lalu, wang yang sudah sekian lama dikumpul demi sebuah majlis resepsi yang gilang-gemilang akhirnya lesap begitu sahaja apabila sebuah syarikat perancang perkahwinan yang diberi amanah untuk menguruskan majlis mereka didapati telah gulung tikar.

Pihak tidak bertanggungjawab itu mengambil kesempatan menghilangkan diri di saat-saat akhir kerana tidak mahu menanggung kerugian dengan memulangkan kembali wang pelanggan.

Perkahwinan zaman pandemik menjimatkan?

jiran akad nikah perkahwinan pandemik 1

Ramai yang menerima hakikat ini secara positif dan beranggapan bahawa kemelut COVID-19 mempunyai hikmah tersendiri. Umpamanya, dengan pengurangan jumlah tetamu sudah tentu kos bagi melangsungkan sesebuah majlis resepsi adalah lebih menjimatkan.

Apabila kenduri dilakukan secara kecil-kecilan dengan kehadiran tetamu yang tidak sampai 500 orang, tidak perlulah keluarga pengantin menyewa ruangan dewan yang besar, menempah makanan yang banyak atau membeli cenderamata dalam jumlah tinggi untuk dijadikan buah tangan kepada para jemputan.

Duit simpanan seeloknya digunakan sebagai dana untuk menampung kehidupan baru selepas berkahwin. Sebagai contoh, lebihan wang yang ada boleh dibelanjakan untuk membeli keperluan rumah, membayar deposit rumah sewa dan lain-lain. Secara tidak langsung, ia dapat meringankan beban kewangan pengantin baru yang kebanyakannya masih muda iaitu dalam lingkungan 23 hingga 27 tahun.

Percaya atau tidak, dengan hanya RM10,000 pasangan sudah mampu bernikah tanpa perlu membebankan diri dengan berhutang demi melangsungkan majlis. Malah ada syarikat yang mengelolakan majlis perkahwinan menawarkan pakej serendah RM3,000 dengan keperluan lengkap seperti busana, katering, khidmat jurugambar dan pelamin.

Majlis perkahwinan ‘kebiasaan baharu’ kian aktif

jiran pelamin perkahwinan pandemik 1

Selepas dua tahun bergelut dengan COVID-19, banyak pihak yang terkesan terutamanya penyedia khidmat katering dan pengurus acara yang hanya bergantung kepada penganjuran majlis-majlis keramaian seperti kenduri-kendara demi kelangsungan hidup. Syukurlah, kini penganjuran majlis perkahwinan dilihat sudah kembali rancak seperti sedia kala.

Sewaktu PKP fasa pertama dahulu, hanya upacara pernikahan secara maya boleh dilakukan menerusi sidang video dalam talian. Kerajaan kemudian membenarkan penganjuran majlis sosial seperti acara kenduri kahwin bermula Julai 2020, tetapi penganjuran majlis perlulah dihadkan antara tiga hingga lima jam dengan kapasiti tetamu yang hadir tidak melebihi 250 orang.

Paling terkini, tiada lagi had maksimum 250 tetamu, Sebaliknya, penganjur atau tuan rumah cuma perlu mengehadkan bilangan tetamu berdasarkan keluasan tempat dengan syarat adanya pematuhan penjarakan fizikal. Pengumuman ini ternyata memberi kelegaan kepada bakal pengantin yang mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang sempurna meskipun diadakan dalam keadaan bersederhana.

Tip penjagaan SOP di majlis akad nikah dan resepsi

Apa yang paling penting, tuan rumah perlulah menjaga dan memperketatkan SOP dalam kalangan tetamu yang hadir termasuklah memastikan mereka memakai pelitup muka ketika tidak makan dan minum serta mengingatkan tetamu untuk kekal berada di meja yang telah ditetapkan tanpa perlu berjalan ke hulu ke hilir jika tiada keperluan.

Lebih baik andainya para tetamu diundang secara berjadual mengikut sesi yang telah dibahagikan mengikut jam. Sebagai contoh, hanya 30 hingga 50 orang tetamu yang dibenarkan berada dalam majlis pada satu-satu masa bergantung kepada keluasan ruangan majlis.

Selain itu, tuan rumah juga perlu peka terhadap aspek penyediaan makanan. Elakkan rewang iaitu bergotong-royong memasak sendiri makanan di rumah kerana hal ini akan menggalakkan orang ramai untuk berkumpul bagi menyediakan sajian kenduri. Penyediaan makanan menggunakan konsep bungkus atau packed food adalah disyorkan kerana lebih selamat dan praktikal di musim sebegini.

Jangan lupa untuk merekodkan nama, nombor telefon, tempat tinggal dan status vaksinasi para tetamu. Tuan rumah perlu menyediakan kod QR MySejahtera dan memastikan agar tetamu mengimbas kod tersebut sebelum masuk ke ruangan majlis.

Langkah ini sangat penting bagi membantu mengenal pasti kontak rapat jika berlaku sebarang kluster atau jangkitan COVID-19 seusai majlis. Periksa juga status vaksinasi mereka seorang demi seorang untuk benar-benar memastikan yang mereka sudah divaksinasi dan bebas daripada jangkitan wabak berkenaan.

Sama-samalah kita memainkan peranan dalam menjaga keselamatan dan kepentingan bersama saat menghadiri atau menganjurkan majlis perkahwinan.

Ketahui isu-isu semasa yang berlaku dalam komuniti anda. Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk maklumat terkini.