Inisiatif Masyarakat Serlahkan Semangat #JiranPrihatin - Jiran

Inisiatif Masyarakat Serlahkan Semangat #JiranPrihatin

Bantuan bukan sekadar barang makanan? Jom kita lihat usaha murni yang boleh dilaksanakan

Published on 21 July 2021

Selepas hampir dua tahun kita bertarung dengan pandemik COVID-19, Malaysia berhadapan dengan situasi yang sukar. Semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan tetap. Para peniaga pula terpaksa menutup perusahaan mereka. Disebabkan putus mata pencarian, semakin ramai yang menghadapi masalah kewangan sehingga sukar mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan minuman.

Perkara ini bukan sahaja memberi impak kepada sumber kewangan isi rumah malah ia turut meninggalkan kesan kepada kesihatan mental mereka yang terjejas akibat wabak ini. Dari Januari hingga Mei 2021, sebanyak 468 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini. Trend peningkatan kadar pengangguran dan bunuh diri ini amat membimbangkan kerana ia menunjukkan rakyat bukan sahaja terjejas dari segi kewangan tetapi juga kesihatan mental.

Pentingnya keprihatinan dan kerjasama komuniti

Dalam suasana sebegini, kita sebagai anggota masyarakat perlu lebih prihatin dengan keadaan orang sekeliling terutamanya kebajikan jiran tetangga. Perhatikan jika ada jiran kita yang memerlukan bantuan sumber makanan dan bekalan makanan haiwan peliharaan. Jangan lupa juga dekati mereka yang memerlukan sistem sokongan dalam menangani masalah kesihatan mental.

Berbekalkan semangat #JiranPrihatin dan #KitaJagaKita, kami di komuniti Jiran ingin menjadi pusat perkongsian untuk anda semua membantu jiran tetangga dan ahli masyarakat yang memerlukan. Anda boleh gunakan maklumat atau sumber yang kami kongsikan di laman web dan media sosial kami untuk mengenal pasti di mana anda boleh menyalurkan bantuan agar sampai kepada pihak yang sepatutnya.

Contohnya, salah satu aplikasi yang baharu dibangunkan dan sangat berguna untuk membantu jiran terdekat adalah kitajaga.co. Aplikasi ini boleh dilayari melalui laman web dan mudah digunakan, sama ada oleh mereka yang memerlukan bantuan atau yang ingin menghulurkan sumbangan.

pin peta

Apabila ia dibuka, aplikasi ini akan memaparkan peta lokasi berhampiran anda. Di sini anda boleh melihat pin peta berwarna merah yang bermaksud “Saya perlu bantuan” dan pin peta biru bermaksud “Saya ingin bantu”. Setiap pin ini juga boleh diklik dan mesej daripada mereka yang ingin meminta atau memberi bantuan akan tertera.

Sama-sama jaga kesejahteraan mental masyarakat

Jika ada dalam kalangan keluarga, rakan terdekat atau jiran anda yang memerlukan bantuan dari segi kesihatan mental, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ada menawarkan bantuan sokongan emosi dan kaunseling menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial KKM. Talian bantuan ini telah diwujudkan sejak 25 Mac 2020 oleh pegawai psikologi kaunseling KKM dan sukarelawan pegawai psikologi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

yellow rectangular wooden box drawn face outline with chalk blackboard

Kebajikan haiwan kesayangan juga perlu dipelihara

Selain daripada bantuan untuk masyarakat, terdapat juga inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Haiwan Malaysia untuk pemilik haiwan yang memerlukan bantuan makanan buat haiwan peliharaan mereka.

Usaha ini berpunca daripada kenaikan jumlah haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing yang dibuang ke jalanan oleh pemilik mereka disebabkan kesempitan hidup yang melanda akibat pandemik. Menerusi kempen ini, pemilik haiwan hanya perlu mengibarkan bendera merah sebagai isyarat memerlukan bantuan makanan haiwan kepada jiran sekeliling.

cute cats eating together outdoors

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Segala usaha yang dilakukan oleh rakyat Malaysia ini sesungguhnya menggambarkan semangat kekitaan yang sangat utuh. Sikap saling membantu inilah yang membuktikan bahawa kita semua bukan sahaja prihatin dalam menjaga kebajikan jiran dan masyarakat setempat, malahan haiwan peliharaan mereka juga.

Uar-uarkan bersama kami

Anda mempunyai inisiatif bagi membantu kejiranan dan komuniti anda? Hantarkan mesej peribadi ke platform media sosial kami untuk menyebarkan sebarang bentuk bantuan yang ditawarkan.

Buat anda yang ingin membantu atau memerlukan bantuan, ikuti Jiran di Facebook, Instagram dan Twitter untuk berita terbaru tentang inisiatif #JiranPrihatin ini.