Jelajah Jiran: Bangi Pesat Membangun, Tawar Pelbagai Tarikan Menyeronokkan - Jiran

Jelajah Jiran: Bangi Pesat Membangun, Tawar Pelbagai Tarikan Menyeronokkan

Jangan lupa singgah di beberapa lokasi menarik apabila anda datang ke sini. Ada banyak aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga

Published on 28 April 2022

Bangi mendapat jolokan sebagai ‘Bandar Ilmu’ pada tahun 2008 kerana ia dikelilingi oleh beberapa buah pusat pengajian tinggi kebanggaan negara seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). 

Selain itu, Bangi juga terkenal sebagai syurga membeli-belah terutamanya dalam kalangan peminat fesyen Muslimah kerana ia menempatkan bermacam-macam butik pakaian dan jenama hijab untuk melengkapi penampilan serta keperluan wanita bertudung. 

Bagi anda yang mencari tempat untuk menghabiskan waktu di hujung minggu bersama keluarga, Jiran kongsikan beberapa lokasi menarik yang ada di Bangi. 

Taman Tasik Cempaka 

jiran jelajah bangi taman cempaka

Taman rekreasi ini dibangunkan di atas tanah berkeluasan 16.8 hektar. Ia mendapat namanya daripada pohon cempaka yang banyak tumbuh di sekitar kawasan taman. Tasik buatan yang terbentang indah di taman ini pula menjadi habitat kepada beberapa spesies burung seperti burung raja udang dan bangau. 

Faktor lain yang membuatkan pengunjung gemar datang ke Taman Tasik Cempaka ialah trek jogging yang sangat luas dan panjang. Fasiliti senaman dan taman permainan yang serba lengkap turut disediakan untuk orang ramai bersantai dan beriadah setiap hari. 

jiran taman chempaka playground

Jika ada pengunjung yang mahu melegakan rasa lapar dan dahaga selepas penat beriadah, terdapat sebuah restoran yang terletak di dalam kawasan taman ini iaitu Lake House Restaurant. Di sini, para pengunjung bukan sahaja boleh menikmati hidangan bufet sarapan pagi yang istimewa, bahkan pakej bufet makan tengah hari juga ada disediakan bagi mereka yang mahu makan sambil melihat pemandangan tasik yang kaya dengan khazanah alam semula jadi. Harga yang dikenakan untuk seorang ialah RM15.90 bagi bufet sarapan dan RM20 bagi bufet makan tengah hari.  

Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi 

jiran jelajah bangi Masjid AlHasanah

Masjid Al-Hasanah merupakan salah sebuah masjid utama di Bangi. Ia dibuka pada tahun 1997 sebelum diubah suai dan dilancarkan semula secara rasminya pada 10 Mac 2000. Masjid yang dihiasi kubah gergasi dan genting berwarna hijau ini dikatakan mampu menampung sehingga 5,000 kapasiti jemaah pada satu-satu masa. Ia turut dilengkapi kemudahan awam seperti tandas, bilik wuduk serta beberapa kedai mini dan gerai minuman di perkarangan masjid bagi memudahkan para Muslimin dan Muslimat yang datang beribadah. 

Masjid Al-Hasanah bukan sahaja tempat untuk menunaikan solat fardu semata-mata tetapi ia juga beroperasi sebagai pusat ilmu yang giat menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas hafazan, kursus intensif umrah dan haji serta sesi dakwah yang mampu memberi faedah kepada semua umat Islam, baik dalam kalangan masyarakat setempat mahupun orang luar.

jiran masjid alhasanah herb garden

Jika anda datang ke masjid ini khususnya pada hari Jumaat, jangan ketinggalan untuk mendapatkan kelengkapan solat seperti telekung, makanan sunnah atau bahan bacaan ilmiah yang boleh dibeli daripada penjaja yang menjual di perkarangan masjid sebagai satu inisiatif untuk menyokong golongan peniaga kecil. Ini sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga kecil memajukan perniagaan mereka. 

Bangi Sentral 

jiran jelajah bangi bangi sentral 1

Siapa kata tiada tempat membeli-belah yang hebat di Bangi? Bangi Sentral sangat terkenal sebagai sebuah pusat jualan yang menempatkan deretan butik dan kedai pakaian pelbagai jenama. Ia merupakan kawasan paling sibuk pada bulan Ramadan kerana menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk mendapatkan kelengkapan Hari Raya pada harga yang sangat berpatutan. 

Selain tersohor sebagai lubuk butik pakaian dan tudung, Bangi Sentral juga sering menjadi tumpuan bakal pengantin yang ingin menyewa busana majlis perkahwinan. Terdapat banyak galeri dan butik pengantin di Bangi Sentral yang menawarkan servis serta pakej pengurusan majlis perkahwinan yang serba lengkap termasuklah katering, jurusolek dan banyak lagi. 

jiran bangi sentral row shops 1

Studio penggambaran juga ada dibuka di sekitar kawasan Bangi Sentral bagi memudahkan pemilik-pemilik perniagaan untuk melakukan penggambaran komersial di dalam studio (indoor) untuk mempromosi produk dan perkhidmatan mereka. Untuk pengetahuan, banyak jenama fesyen tempatan yang menggunakan khidmat jurugambar serta menyewa ruang studio di Bangi Sentral untuk melakukan penggambaran katalog bagi keluaran fesyen terbaru mereka. 

Kompleks PKNS Bangi 

jiran jelajah bangi kompleks bangi

Kompleks PKNS Bangi ialah pusat membeli-belah yang dekat di hati penduduk sekitar. Biarpun bangunannya kelihatan agak lama, terdapat beberapa buah restoran ternama yang boleh dijadikan tempat makan pilihan. 

Ia juga sering menerima kunjungan warga tempatan yang mahu membeli keperluan asas harian seperti barangan basah segar di pasar raya yang beroperasi di tingkat bawah. Kedai gunting rambut, kedai jahit dan kedai buku juga boleh ditemui di dalam bangunan Kompleks PKNS ini. 

jiran kompleks pkns bangi interior

Bagi pengunjung yang mahukan kelainan, terdapat satu tarikan baru di pekarangan tempat letak kereta utama di hadapan Kompleks PKNS Bangi iaitu food truck PKNS Bangi. Pengunjung boleh bersantai sambil menikmati pelbagai menu menyelerakan di samping turut dihiburkan dengan dendangan lagu daripada kumpulan muzik yang membuat persembahan secara langsung. Food truck PKNS Bangi dibuka setiap hari dari pukul 5 petang hingga 12 malam.  

Restoran Ana Ikan Bakar Petai 

jiran jelajah bangi ana ikan bakar

Jika anda sukakan sajian berasaskan makanan laut yang segar, sedap dan murah, terdapat sebuah restoran di Bangi yang kerap dibanjiri orang ramai hampir setiap hari. Restoran Ana Ikan Bakar Petai popular dalam kalangan penduduk setempat kerana ia menawarkan pelbagai jenis ikan bakar yang dimakan dengan sambal petai menyengat! Berpuluh jenis ikan dan makanan laut ada ditawarkan. Setiap masakan mempunyai rasa dan keenakan tersendiri yang sukar ditemui di tempat lain.  

Antara menu wajib yang perlu anda cuba apabila menjejakkan kaki ke sini ialah pari bakar petai, udang goreng pedas dan sotong goreng tepung. Setiap hidangan ikan bakar akan didatangkan bersama air asam dan sambal kicap. 

jiran ana ikan bakar menu

Jangan risau kerana ruang makan di restoran ini sangat luas dan mesra keluarga. Ia sesuai untuk pelanggan yang mahu mengadakan jamuan besar-besaran. Surau dan tandas awam juga ada disediakan bagi kemudahan dan keselesaan orang ramai yang datang menjamu selera. Para pengunjung pasti akan berpuas hati dan tidak jemu untuk berkunjung kembali bagi menikmati ikan bakar petai di sini. 

Nantikan siri Jelajah Jiran yang seterusnya dan ketahui destinasi serta aktiviti menarik untuk manfaat bersama! 

Ikuti media sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi info terkini tentang tempat-tempat menarik yang boleh dijelajahi.