Kelebihan Perniagaan Trak Makanan Ketika Pandemik - Jiran

Kelebihan Perniagaan Trak Makanan Ketika Pandemik

Adakah model perniagaan sebegini membuahkan hasil yang menguntungkan?

Published on 11 October 2021

Perniagaan makanan berkonsepkan trak makanan atau food truck bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita. Trak makanan di Malaysia bukan sahaja menjual pelbagai jenis makanan tempatan, tetapi juga menawarkan makanan Barat, Timur Tengah, Jepun dan pelbagai lagi.

Trak makanan secara amnya mudah dijumpai terutamanya di acara keramaian seperti konsert, festival makanan, acara sukan, malahan majlis perkahwinan.

Disebabkan perniagaan trak makanan semakin berkembang maju, maka wujudlah tempat jualan seperti TAPAK. Selain popular kerana lokasinya yang berdekatan dengan KLCC, hab tersebut menjadi tumpuan orang ramai kerana ia menawarkan pelbagai pilihan makanan yang enak. 

jiran tapak food
Imej: Facebook TAPAK Urban Street Dining

Namun, pandemik COVID-19 memberi impak yang besar kepada golongan peniaga. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada Mac 2020, ramai peniaga yang terjejas pendapatan, termasuklah peniaga trak makanan.

Nor Ikhwan Sulong, 36, dari Johor Bahru berjinak-jinak dalam perniagaan trak makanan sekitar tahun 2017 setelah menjual bisnes makanan milik keluarganya kerana beliau berpindah ke negeri lain selepas berkahwin. 

Nor Ikhwan membuat keputusan untuk memulakan perniagaan trak makanannya sendiri yang diberi nama Kaloori. Bersandarkan latar belakang kulinari yang dimilikinya, beliau mencipta variasi makanan dengan gaya tersendiri untuk dijual di trak makanan beliau. 

Pada awalnya, beliau mengakui agak terikut-ikut dengan trend trak makanan di Malaysia yang kebanyakannya menjual makanan Barat. Lama-kelamaan beliau sedar yang makanan tempatan juga boleh memikat selera pelanggan. Oleh itu, beliau kini memilih untuk menyajikan makanan warisan keluarganya iaitu lontong goreng. 

jiran kaloori lontong
Imej: Facebook Kaloori

Menyentuh tentang kelebihan dan kekurangan menguruskan trak makanan, Nor Ikhwan mengakui bahawa perniagaan makanan, sama ada trak makanan ataupun kedai makan, datang dengan cabaran yang berbeza-beza.

Menurutnya, kelebihan menguruskan trak makanan adalah sifat mobile perniagaan tersebut. Berfungsi sebagai restoran bergerak, trak makanan boleh diparkir di tempat strategik bagi menarik lebih ramai pelanggan. Selain itu, media sosial turut memainkan peranan penting dalam sebaran maklumat mengenai lokasi dan menu setiap trak makanan. Tambahan pula, kos untuk pemilik trak makanan memulakan cawangan perniagaan yang lain tidaklah terlalu mahal kerana “cawangan” tersebut adalah dalam bentuk trak.

Meskipun begitu, terdapat juga cabaran dalam memulakan perniagaan trak makanan, antaranya mereka perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Disebabkan undang-undang yang berbeza mengikut daerah dan negeri, menurut Nor Ikhwan, setiap PBT mempunyai cara berbeza dalam urusan perniagaan trak makanan.

jiran kaloori foodtruck
Imej: Facebook Kaloori 

Menurut Nor Ikhwan lagi, kelemahan trak makanan adalah kesempitan ruang di atas trak tersebut. Akibat ruang yang terhad, pemilik trak makanan perlu mengurangkan bilangan pekerja dan ini turut menghadkan kapasiti jualan. Walau bagaimanapun, masalah ini boleh ditangani sekiranya sistem bekerja secara syif diamalkan.

Pada pendapat beliau, trak makanan merupakan satu model perniagaan yang sesuai dijalankan sewaktu pandemik memandangkan norma baharu kini membuatkan pelanggan lebih suka berada di kawasan terbuka dan tidak terlalu sesak. Membuka cawangan trak makanan baharu juga menjadi lebih mudah kerana kelonggaran undang-undang yang diberikan oleh PBT.

jiran cikmakpakhang truck
Imej: Instagram @cikmakpakhang

Pengalaman menjadi pengusaha trak makanan turut dikongsi oleh Mohd Zulhelmie Zullifan (Elmi), 33, dari Seremban yang menguruskan trak makanan Cik Mak Pak Hang. Pada tahun 2016, Elmi mencadangkan kepada dua rakannya, Nabil dan Alif, untuk memulakan perniagaan. Idea tercetus setelah beliau mencuba masakan kedua-dua sahabatnya itu. Nabil menguasai teknik masakan Barat, manakala Alif pula handal memasak nasi lemak, jadi Elmi mencadangkan agar mereka menggabungkan kedua-dua menu tersebut.

Perniagaan yang pada asalnya hanya dibuat pada waktu malam berhampiran INTI College di Nilai akhirnya membuahkan hasil kerana gabungan unik seperti Nasi Lemak Meatballs dan Nasi Lemak Chicken Chop ternyata laris. Sejak itu, di mana sahaja trak makanan Cik Mak Pak Hang berada, pasti ada pelanggan berpusu-pusu melawat trak ini untuk mencuba keenakan menu fusion Timur dan Barat.

jiran meatballs cikmakpakhang
Imej: Facebook Cik Mak Pak Hang 

Menurutnya, kelebihan perniagaan trak makanan adalah kemudahan untuk bertukar kawasan. Pada awalnya, Cik Mak Pak Hang bermula di jalan yang kecil dan hasil jualannya cukup baik. Untuk mendapatkan hasil jualan di kawasan yang lain pula, tiga sahabat ini mencuba kawasan jalan utama. Strategi ini terbukti berkesan kerana hasil jualan mereka berganda.

Mereka juga boleh bergerak ke kawasan yang berbeza pada hari yang berlainan bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati makanan Cik Mak Pak Hang tanpa perlu keluar jauh dari kawasan tempat tinggal mereka.

Selain itu, trak makanan boleh disewakan kepada peniaga lain. Sebaliknya, agak sukar untuk para pemilik kedai makan biasa untuk menyewakan kedai makan mereka kepada peniaga lain, terutamanya ketika pandemik ini.

Namun begitu, Elmi mengakui ada juga kekurangan dalam menjalankan perniagaan trak makanan di tengah pandemik. Menurut beliau, sebelum pandemik melanda, peniaga trak makanan lazimnya boleh meraih hasil jualan yang hebat jika dijemput ke karnival atau acara yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau swasta. Malangnya, anjuran karnival dan acara dilarang buat masa ini.

Tidak kira apa jua faktor yang menyebabkan usahawan trak makanan memilih model perniagaan ini, jelas bahawa keazaman and kegigihan mereka serta fleksibiliti model perniagaan trak makanan membolehkan mereka menyesuaikan diri dalam musim pandemik ini. Semoga industri trak makanan terus maju dan para peniaga berjaya mencetus idea penjualan makanan yang lebih inovatif di masa akan datang. 

Jika anda gemar membaca tentang trend terkini, jangan lupa like dan ikuti kami di Instagram, Facebook dan Twitter untuk pelbagai cerita semasa.