Kenali 3 Perniagaan Kopi Jalanan yang Unik - Jiran

Kenali 3 Perniagaan Kopi Jalanan yang Unik

Bisnes kopi hipster jadi pilihan golongan belia hari ini

Published on 14 January 2022

Kopi dahulunya dikenali sebagai minuman yang sering dipesan oleh golongan berumur di restoran mahupun di gerai minuman tepi jalan. Kini, anak muda juga kian terpikat dengan aroma dan rasa kopi segar, lebih-lebih lagi jenama kopi yang menampilkan pelbagai pilihan perisa moden seperti kopi mocha mahupun matcha latte.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula awal tahun 2020, muncul trend minuman kopi dalgona yang secara tidak langsung telah mengubah persepsi masyarakat di serata dunia tentang minuman berkafein ini. Baik di TikTok, YouTube, Instagram atau Twitter, terdapat bermacam-macam versi resipi kopi dalgona yang dikongsikan netizen. Mungkin dari situlah golongan belia di Malaysia mula tertarik untuk menjual kopi yang unik dan berbeza.

Hari demi hari, semakin banyak jenama kopi jalanan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ada jenama kopi lokal yang pada awalnya tidak dikenali ramai tetapi sekarang sudah berjaya membina francais.

Jiran senaraikan tiga perniagaan kopi jalanan popular yang mempunyai cerita menarik untuk dikongsikan dengan para pencinta kopi.

#1 Kopi Saigon

jiran kopi saigon kedai

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Kopi Saigon sudah mempunyai ramai peminat tegar kerana berjaya menghasilkan kopi berperisa unik menggunakan biji kopi premium terpilih jenis Robusta.

Minuman yang menyegarkan ini menggabungkan kopi bermutu dengan sedikit rasa kelapa. Hasilnya memang sedap tak terkata! Bagi mengekalkan rasa asli kopi Vietnam, pati kopi espreso disaring menggunakan kaedah titisan (dripping) dan penapis jenis phin. Teknik ini bersandarkan kaedah pembuatan kopi tradisional yang telah diamalkan oleh masyarakat Vietnam sejak berkurun lamanya.

jiran minuman kopi saigon

Nama ‘Saigon’ pula bersempena dengan nama lama ibu negara Vietnam yang kini dikenali sebagai Ho Chi Minh City.

Matlamat utama Kopi Saigon adalah untuk menyajikan kopi Vietnam terbaik untuk rakyat Malaysia.

Gerai pertama Kopi Saigon dibuka pada bulan Jun 2020 di Taman Dato Harun, Petaling Jaya. Hampir 20 cawangan kini beroperasi di sekitar Lembah Klang. Bagi yang belum pernah mencuba jenama ini, terdapat 12 pilihan perisa kopi yang mampu menepati cita rasa anda.

Kopi Saigon juga mempunyai sebuah kafe yang menghidangkan aneka pastri iaitu Melur by Kopi Saigon yang bertempat di Jalan Jejaka 9, Taman Maluri, Kuala Lumpur. Jika berkunjung ke sana, jangan lupa untuk pesan Butterscotch Biscoff Croissant. Dengar kata, menu pastri ini sering mendapat sambutan!

Instagram: @kopisaigon

#2 Wöw Kopi

jiran gerai wow kopi

Jenama kopi jalanan yang baru sahaja dilancarkan pada bulan Ogos 2021 ini pernah tular sehingga terpaksa menutup gerainya yang terletak di Sentul kerana kehabisan stok gara-gara diserbu ramai pelanggan.

Wöw Kopi  bukan sahaja menjual minuman kopi pelbagai perisa, tetapi juga minuman coklat serta menu mocktail yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Apa yang membuatkan jenama ini sangat istimewa ialah bancuhan kopi yang menggunakan 95% biji kopi premium jenis Arabika.

jiran minuman wow kopi

Bagi minuman coklat dan mocktail pula, bancuhan yang digunakan terdiri daripada rangkaian DaVinci Gourmet bagi menyerlahkan lagi rasa minuman yang dihasilkan. Untuk pengetahuan, DaVinci Gourmet ialah jenama campuran bancuhan minuman berkualiti tinggi yang banyak digunakan oleh barista di kedai kopi mewah.

Biarpun baru sahaja membangunkan bisnes kopi jalanan ini, Wöw Kopi sudah pun memiliki beberapa cawangan termasuklah di Bangi, Shah Alam, Saujana Putra, Ampang dan USJ serta beberapa buah gerai di sekitar Lembah Klang.

Instagram: @kopi.wau

#3 Kopi Dua Darjat

jiran kopi dua darjat

Walaupun imej Kopi Dua Darjat ini kelihatan moden, hakikatnya produk keluaran jenama ini dibancuh menggunakan 100% kopi kampung asli!

Diusahakan oleh dua orang sahabat yang pernah menghadapi masalah kewangan sewaktu PKP, mereka akhirnya membuat keputusan untuk menambah pendapatan dengan membuka warung kopi jalanan di Lake Fields, Sungai Besi.

jiran minuman kopi dua darjat

Menurut dua sekawan ini, jenis kopi yang digunakan cuma kopi kampung tempatan namun rasanya telah diolah untuk disesuaikan dengan selera peminat kopi kontemporari. Setiap produk minuman kopi yang ditawarkan juga boleh dikatakan murah harganya iaitu dijual di bawah RM10.

Ramai mengakui Kopi Dua Darjat adalah antara jenama kopi jalanan yang terbaik. Jenama ini sudah berjaya memiliki 40 cawangan francais di sekitar ibu kota dan mampu mencatat jualan kasar melebihi lima angka sebulan.

Instagram: @kopiduadarjat

Ada banyak lagi kisah yang kami paparkan tentang perniagaan yang dibangunkan oleh anak muda tempatan. Untuk dapatkan cerita terkini, pastikan anda ikuti laman sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter!