Kenali Jenama Kreatif Aiman Ariff yang Sarat dengan Nilai Seni - Jiran

Kenali Jenama Kreatif Aiman Ariff yang Sarat dengan Nilai Seni

Karya yang dicipta menggunakan media campuran sesuai dijadikan dekorasi nan indah untuk kediaman

Published on 25 April 2022

Individu masa kini gemar mengekspresikan diri dengan berbagai-bagai cara. Seni ialah antara aktiviti dan medium yang sering menjadi pilihan golongan anak muda untuk meluahkan isi hati mereka. 

Ramai sebenarnya pengamal seni visual yang telah berjaya menyalurkan bakat kreatif mereka tanpa sebarang pengalaman atau latar belakang berkaitan seni lukis atau seni reka. Contohnya, Aiman Ariff Khairuddin banyak memanfaatkan waktu lapang sewaktu pandemik untuk menghasilkan karya seni memukau sehingga mampu membangunkan jenama sendiri. 

Minat mengatasi pengalaman 

Sebagai graduan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (UiTM), Aiman Ariff langsung tidak mempunyai pengalaman atau ilmu mendalam tentang penghasilan karya seni. Beliau akui banyak mengamalkan pendekatan belajar sendiri.  

jiran kenali aiman ariff work

Semuanya bermula apabila seorang kenalan rapatnya, Indra Gondi, yang merupakan pelukis visual dan abstrak terkemuka tempatan menghadiahkan sebuah kanvas kosong kepadanya. Sejak dari itu, Aiman Ariff mula mengorak langkah mendalami bidang seni, bahkan cukup tertarik untuk bermain dengan tekstur serta perincian abstrak menerusi teknik media campuran dalam setiap karya seni kontemporari yang dihasilkannya. 

Berjinak hasilkan karya seni semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 

Bagi Aiman Ariff, beliau menggunakan masa yang terluang semasa PKP untuk mendalami minat baharu. Hampir setiap minggu, beliau akan bereksperimen dengan pelbagai gaya lukisan. Aiman Ariff menghasilkan karya seni secara konsisten menggunakan kanvas bersaiz kecil sehinggalah akhirnya beliau berani dan berasa selesa untuk beralih kepada penggunaan kanvas yang lebih besar seperti sekarang. 

jiran kenali aiman ariff studio

Dedikasikan lukisan “Hand-in-Hand” kepada barisan hadapan  

“Hand-in-Hand” yang dipaparkan di dalam gambar di awal artikel ini ialah karya pertama yang dihasilkan oleh Aiman Ariff sewaktu PKP. Ia cukup istimewa kerana didedikasikan khas buat para petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban waktu dan tenaga bagi menyelamatkan nyawa rakyat. Terdapat elemen menarik yang diselitkan dalam karya ini untuk menggambarkan kesukaran yang dihadapi masyarakat akibat pandemik COVID-19. 

“Saya hendak karya seni yang dihasilkan ini mampu menyampaikan cerita. Seni ialah cara untuk saya mengekspresikan pengalaman serta emosi. Oleh itu, saya mengambil peluang yang ada untuk mencipta sebuah karya kreatif di atas kanvas yang mengetengahkan isu serta krisis yang berlaku sepanjang tahun 2020,” jelas Aiman Ariff. 

Palet rona perang yang menyerupai warna kulit manusia sengaja digunakan untuk menggambarkan ciri perpaduan antara pelbagai kaum. Jika dilihat secara teliti, Aiman Ariff bijak menggunakan sarung tangan getah seperti yang sering dipakai petugas barisan hadapan untuk menyerlahkan lagi perincian karya sulungnya itu. 

Setiap helaian sarung tangan getah yang menghiasi “Hand-in-Hand” telah diwarnakan menggunakan cat akrilik terlebih dahulu sebelum disusun rapi secara menyerong di atas kanvas kosong. Hasilnya? Sungguh mengagumkan! 

Guna pelbagai medium untuk hasilkan seni media campuran 

jiran kenali aiman ariff collection

Menurut Aiman Ariff, rata-rata karya seni yang dihasilkannya adalah jenis media campuran. Beliau menggunakan kanvas kosong sebagai latar untuk digabungkan dengan penggunaan material bertekstur lain seperti campuran tanah liat, helaian kanvas mentah serta pewarna cat akrilik. 

Cat akrilik akan mengeras setelah kering dan memberikan kesan yang lebih artistik terhadap seni visual abstrak yang ingin dihasilkan. Pemilihan warna yang digunakan juga penting kerana ia sedikit sebanyak dapat mempengaruhi perasaan dan jiwa pencinta seni atau sesiapa sahaja yang menyaksikannya. 

Daripada hanya suka-suka kini menjadi karier 

Pada awalnya, tujuan asal Aiman Ariff melukis dan menterjemahkan idea kreatif beliau di atas kanvas putih hanyalah sekadar untuk memenuhkan masa yang terluang semasa PKP. Kini, secara perlahan-lahan beliau cuba menceburkan diri dalam dunia perniagaan dengan mengambil upah menghasilkan karya seni. Ini secara tidak langsung telah membuka peluang kepada dirinya untuk bergelar usahawan. 

Sebelum ini, beliau pernah berkolaborasi dengan karyawan tempatan dalam sebuah pameran seni di ibu negara. Aiman Ariff mempamerkan lima buah karya seninya dan empat daripadanya berjaya dijual. 

Aiman Ariff menghasilkan karya berbentuk media campuran yang boleh dijadikan hiasan dalaman rumah, sesuai untuk individu yang meminati seni kontemporari. Jika anda berminat untuk membeli karya Aiman Ariff, boleh lawati akaun Instagram beliau. 

Ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk kenali jenama kreatif tempatan yang menawarkan produk berkualiti setaraf antarabangsa! 

Sekiranya anda perlukan bimbingan untuk merealisasikan impian menjadi usahawan, kunjungi portal unifi Business Club (uBC) hari ini.