Menjemput Sinar Cahaya Ramadan dalam PKP - Jiran

Menjemput Sinar Cahaya Ramadan dalam PKP

Bertemu lagi kita dengan Ramadan al-Mubarak

Published on 27 April 2020

Kebiasaannya, menjelang 1 Ramadan, kita dapat merasakan debaran itu seminggu atau dua minggu lebih awal. Kedai-kedai runcit mula menjual pelbagai jenis buah kurma, gudang-gudang kain akan dipenuhi dengan kunjungan para pelanggan dan dimeriahkan lagi dengan lagu-lagu raya klasik — tetapi bukan pada tahun ini.

Setelah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal dilanjutkan, rakyat Malaysia sudah menerima hakikat bahawa kita akan menyambut Ramadan kali ini dengan cara yang berbeza. Walau bagaimanapun, kita dapat melihat pelbagai reaksi daripada sebahagian netizen di media sosial:

Walaupun ini merupakan cabaran yang bakal kita hadapi di bulan Ramadan ini, haruslah kita bermuhasabah dan kembali kepada erti sebenar Ramadan iaitu menyambut kesederhanaan dengan keredaan Allah.

Dalam kita sedang sibuk mengidam kuih tepung pelita atau merindui majlis berbuka puasa bersama keluarga yang tersayang, kebahagiaan yang sebenar terletak pada kesederhanaan beribadah. Ia mengingatkan kita untuk merasai kehidupan seharian golongan yang tidak bernasib baik.

Setiap cabaran dan dugaan pasti ada hikmahnya. Inilah waktu yang sempurna untuk kita kekal harmoni dan bersatu apabila berhadapan dengan kesan COVID-19 dalam kehidupan seharian kita.

Teruskan menghulurkan bantuan dan sokongan kepada para frontliners kita, pasukan keselamatan negara, golongan yang kurang bernasib baik, malah kepada usahawan-usahawan tempatan kita, dalam pelbagai cara, sambil mengamalkan penjarakan sosial. Jangan lupa juga untuk menghubungi sanak saudara dan bertanya khabar kerana ketika inilah kita semua perlukan sokongan moral dan emosi yang ikhlas.

Selain itu juga, mengambil kira segala aspek dalam menghadapi cabaran new normal ini, kami bawakan anda sebuah hab khusus untuk Ramadan, agar anda dapat terus mengamalkan ibadah berpuasa dengan informasi dan petua-petua yang bakal kami sajikan kepada anda.

Bukan itu sahaja, kami juga menyediakan pelbagai info mengenai inisiatif e-bazar untuk anda terus menikmati juadah-juadah kegemaran anda seperti kebiasaannya sebelum ini. Ini juga sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga e-bazar ini.

Walaupun Ramadan kali berbeza, kami ingin anda tahu yang kami sentiasa bersama dengan anda. Bersama-samalah kita tabah menghadapinya.

Salam Ramadan daripada kami di Jiran!