‘Menyelam’ di Kedai ‘Bundle’ yang Menarik dan Menjimatkan! - Jiran

‘Menyelam’ di Kedai ‘Bundle’ yang Menarik dan Menjimatkan!

Pemilik Put’s Wardrobe berkongsi pengalaman dan petua mengendalikan perniagaan barangan terpakai

Published on 18 October 2021

Menjalankan perniagaan ketika musim pandemik pastinya datang dengan risiko dan cabaran yang besar. Kedai bundle merupakan antara perniagaan yang banyak persaingan dan terjejas akibat COVID-19.

Bagi anda yang kurang arif tentang perusahaan bundle, ia merupakan perniagaan menjual pakaian atau barangan terpakai yang berkualiti dan dijual semula pada harga yang berpatutan.

Penerimaan masyarakat terhadap barangan bundle kini semakin baik. Orang ramai mula sedar akan kelebihan membeli barang bundle seperti menjimatkan wang dan mengurangkan sisa buangan tekstil, sekali gus menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar. Selain pakaian, perabot dan aksesori juga boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. 

Jom kita ketahui bagaimana perusahaan kedai bundle beroperasi dengan mendekati Puteri Nurul Syafiqa, pemilik Put’s Wardrobe yang viral di media sosial baru-baru ini. Kedai bundle ini menawarkan pilihan barangan khusus buat wanita pada harga yang murah namun masih berkualiti. 

Konsep yang berbeza

jiran putswardrobe racks
Imej: Instagram @putswardrobebundle

Strategi pemasaran yang kreatif dan hiasan dalaman yang unik berbanding kedai lain merupakan faktor penting untuk menarik perhatian pelanggan. Dekorasi kedai bundle kini lebih versatil dan tersusun rapi serupa dengan kedai pakaian berjenama. Bayangkan, kedai yang menerapkan gaya ala butik mewah menjual baju dan barang-barang serendah RM5.

Perbezaan istilah preloved dan bundle

Pengusaha kedai preloved dan bundle menjual barangan terpakai dengan harga yang lebih murah dan berpatutan. Barangan yang diklasifikasikan sebagai bundle ataupun kadangkala dipanggil thrift dibeli secara pukal.

Produk bundle selalunya diimport dari negara luar seperti Jepun dan Korea Selatan. Pelanggan mungkin terkejut apabila menemui barang-barang berjenama mewah dan susah didapati. Preloved pula merupakan item yang pernah digunakan oleh pemilik asal dan dijual semula dalam keadaan yang masih baik dengan harga yang jauh lebih rendah. 

Aneka pilihan

jiran putswardrobe clothes
Imej: Instagram @putswardrobebundle

Variasi barangan yang dijual secara dalam talian dapat meningkatkan hasil jualan yang sama seperti di kedai. Pelbagai kategori tersedia buat pelanggan yang melangkah masuk ke dalam premis kedai bundle, daripada tudung dan blaus hinggalah skirt dan blazer.

Membeli secara walk-in pastinya memberikan kepuasan berbanding secara dalam talian. Pemilik kedai bundle juga boleh memutarkan lagu-lagu yang rancak untuk menaikkan mood pelanggan ketika membeli-belah.

Petua untuk pelanggan

jiran putswardrobe counter
Imej: Instagram @putswardrobebundle

Para peminat barang bundle dikenali sebagai ‘kaki menyelam’ kerana mereka bersedia meluangkan masa yang lama untuk mencari barangan yang terbaik. Setiap aspek produk yang anda pilih memerlukan perhatian yang terperinci. Anda disarankan untuk meneliti keadaan produk daripada segi corak, tag jenama dan kualiti jahitan sehingga anda benar-benar berpuas hati. Walaupun tiada perbezaan harga dengan pembelian secara dalam talian, membeli barang bundle di kedai memberi peluang untuk anda bertanya soalan kepada penjual. 

Sama-sama capai matlamat

Penularan COVID-19 memberi kesan yang besar terhadap sektor ekonomi dan golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Oleh itu, pengusaha kedai bundle harus kekal fokus dan tangkas membuat penyesuaian di zaman pandemik ini. 

Strategi pemasaran digital amat penting untuk memastikan perniagaan kekal beroperasi dan berkembang maju. Selain itu, sokongan yang konsisten daripada keluarga terdekat, rakan-rakan dan komuniti setempat berupaya membakar semangat PKS untuk kekal optimis dan positif dalam menjalankan perniagaan. 

Perlukan bantuan untuk pasarkan perniagaan anda secara digital? Klik pautan ini sekarang.

Jangan lupa ikuti Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi topik menarik!