Nikmati Keindahan Alam Semula Jadi di 5 Homestay Sekitar Selangor - Jiran

Nikmati Keindahan Alam Semula Jadi di 5 Homestay Sekitar Selangor

Lokasi paling ideal untuk percutian singkat pada hujung minggu yang menjanjikan keseronokan berganda

Published on 9 May 2022

Istilah staycation membawa erti sebuah percutian pendek yang tidak melibatkan perjalanan jauh untuk sampai ke destinasi yang dituju. Bagi anda yang sering terikat dengan rutin harian yang memenatkan, inilah masanya untuk anda menikmati percutian sebegini agar dapat beristirahat serta menyegarkan minda dan fizikal.

Jika anda mencari lokasi percutian yang menarik, terdapat banyak tempat istimewa di negeri Selangor untuk anda terokai bersama insan tersayang. Ada juga pelbagai destinasi yang sangat sesuai untuk ibu bapa yang ingin membawa anak-anak pergi makan angin di hujung minggu!

Jiran kongsikan lima homestay (inap desa) di Selangor yang bukan sahaja cantik tetapi turut dikelilingi flora yang memukau.

1. Rumah Kebun

jiran 5 homestay rumah kebun

Jika anda ingin merasai pengalaman menginap dalam kawasan hutan, jangan lepaskan peluang untuk bermalam di Rumah Kebun. Keindahan kawasan yang dikelilingi sungai serta pepohon yang rimbun cukup menenangkan. Kicauan burung serta kokokan ayam yang ada di persekitaran vila ini bakal membuatkan percutian anda menjadi lebih berbaloi kerana dapat berinteraksi dengan alam semula jadi secara langsung.

Anda teringin hendak menganjurkan jamuan barbeku bersama keluarga besar? Jangan risau kerana Rumah Kebun ada menyediakan kemudahan seperti tempat membakar dan arang. Jika tidak mahu berenang di kolam renang yang tersedia di hadapan rumah, anda boleh berjalan sedikit untuk sampai ke anak sungai yang terletak dalam kawasan sama.

Rumah kebun mempunyai tiga bilik utama iaitu dua bilik utama di tingkat bawah dan satu bilik utama di tingkat atas. Ia boleh memuatkan hingga 14 orang tetamu. Rumah kecil yang dibina bersebelahan vila utama pula boleh memuatkan hingga enam orang tetamu. Kesemua bilik dilengkapi bilik air, penyaman udara serta kipas.

2. Naurah Homestay

jiran 5 homestay naurah homestay

Inap desa yang dipanggil Naurah Homestay di Beranang ini menyediakan penginapan jenis vila dan chalet yang indah kerana dikelilingi alam semula jadi yang mempesona. Dari segi struktur binaan, ia banyak mengambil inspirasi daripada Bali yang boleh dilihat pada gerbang utama vila serta beberapa ruangan dalaman rumah.

Ia merupakan lokasi terbaik untuk percutian hujung minggu yang melibatkan keluarga besar. Acara seperti majlis sambutan hari jadi atau hari keluarga bersama rakan sepejabat boleh diadakan di sini kerana kawasan pekarangannya yang luas dan selesa. Homestay ini juga boleh disewa sebagai tempat untuk mengadakan majlis perkahwinan berkonsep dalam taman.

Selain dilengkapi kolam renang yang besar, tetamu turut berpeluang membuat hidangan piza sendiri cara lama menggunakan dapur kayu. Jangan lupa untuk membawa bekalan topping piza pilihan anda apabila datang menginap di sini nanti.

3. Ratu Rening Residency

jiran 5 homestay dusun raja

Ratu Rening Residency ialah sebuah penginapan berkonsepkan ala kampung yang terletak dalam perimeter hutan simpan di pinggir Banjaran Titiwangsa. Kawasan ini dikelilingi sungai yang mengalir ke seluruh sempadan tanah kampung Hulu Rening. Terdapat dua jenis lot yang boleh disewa iaitu Dusun Raja dan Sekebun Bunga.

Dusun Raja merupakan penginapan yang dibina dalam kawasan dusun. Ia dikelilingi sungai berwarna hijau serta pohon-pohon buah eksotik. Kawasan ini mempunyai landskap yang unik dan menempatkan tiga buah unit rumah yang berlainan iaitu Rumah Tok Raja, Basa Tok Btara dan Gog Tok Slapik. Setiap rumah boleh menampung hingga lima orang tetamu.

jiran 5 homestay sekebun bunga
Imej: Airbnb

Seperti namanya, Sekebun Bunga dihiasi latar semula jadi dalam taman dengan tiga buah bilik yang mampu memuatkan hingga tujuh orang tetamu. Jika dibandingkan dengan Dusun Raja, Sekebun Bunga memiliki saiz rumah yang lebih kecil namun kedua-duanya menarik dan sesuai untuk dijadikan tempat bersantai di hujung minggu khususnya bagi aktiviti seperti barbeku, mandi sungai dan berkhemah.

4. Daun Retreats

jiran 5 homestay daun retreat
Villa Gerimis Senja

Anda mengimpikan sebuah percutian santai yang mewah? Daun Retreats ada semuanya untuk merealisasikan impian anda. Ia terletak di kawasan berbukit di daerah Hulu Langat dan sering menjadi sebutan orang ramai kerana suasana persekitarannya yang mendamaikan dan sesuai untuk mereka yang mahu lari daripada kesibukan bandar.

Daun Retreats sangat sempurna untuk dijadikan tempat berbulan madu atau sebagai lokasi bersantai di hujung minggu bersama keluarga tercinta. Terdapat tiga unit penginapan yang ditawarkan iaitu Gerimis Senja Villa yang boleh memuatkan hingga 15 orang tetamu, Kasturi Cabin yang memuatkan lapan orang tetamu dan Norehan’s Place yang sesuai untuk dijadikan penginapan keluarga besar kerana tiada had tetamu.

5. Glamgoat Aman Dusun Farm Retreat

jiran 5 homestay aman dusun

Dibina di pinggir sungai yang dikelilingi tumbuhan menghijau serta pokok buah-buahan, Glamgoat Aman Dusun Farm Retreat ialah sebuah kawasan ladang dan dusun yang terletak di daerah Hulu Langat. Perkataan “Glamgoat” yang tertera pada namanya merujuk kepada ladang kambing yang beroperasi dalam kawasan sama bagi menghasilkan pelbagai produk tenusu termasuklah susu kambing segar, yogurt dan keju!

Selain penginapan yang selesa, Glamgoat Aman Dusun Farm Retreat turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh para pengunjung seperti berbasikal, kelas barbeku dan membuat piza serta lawatan ke ladang.

Terdapat dua buah unit rumah iaitu The Blue House yang mampu memuatkan hingga 14 orang tetamu manakala The Riverview House pula sesuai untuk jumlah tetamu yang lebih kecil dan mampu memuatkan hingga 10 orang tetamu. Kedua-dua rumah ini dilengkapi dengan dapur namun pakej sarapan ada disediakan bagi sesiapa yang membuat tempahan penginapan.

Ikuti media sosial Jiran di Instagram, Facebook dan Twitter untuk banyak lagi info tentang kawasan percutian menarik yang boleh anda terokai.

Ingin memulakan perniagaan homestay anda sendiri? Kunjungi unifi Business Club (uBC) untuk perlbagai panduan dan info niaga.